(19 JULAI – 19 OGOS 2012)

RAMADAN EVE

19 Julai 2012: IHRAM ’12 membuka tirai Ramadan 1433H kali ini dengan program Ramadan Eve yang bertempat di QIS. Majlis yang bermula pada pukul 4 petang ini telah diserikan dengan qasidah dari Saudara Muhammad Izzat bin Abdul Hadi. Majlis yang lebih berbentuk motivasi untuk menaikkan semangat bagi menyambut bulan Ramadan ini telah dibentangkan oleh Ustaz Syed Ridhwan dan Saudara Mohamed Nasarudeen sebagai moderator. Sesi soal jawab juga telah diadakan di akhir majlis. Tidak ketinggalan di majlis tersebut, IHRAM telah mengadakan jualan buku Ramadan al-Mubarak yang berharga LE 6 sahaja.

IFTAR JAMAIE PERTAMA

25 Julai 2012: IHRAM ’12 telah mengadakan Iftar Jamaie kali pertama pada bagi seluruh mahasiswa dan mahasiswi Sains Kesihatan yang berada di Mansurah. Majlis ini telah dihadiri lebih kurang 150 orang. Iftar Jamaie ini telah dimulakan dengan zikir munajat bagi menunggu masuknya waktu berbuka puasa. Mereka yang datang mula berbuka dengan kurma dan air sebagai pembuka mulut. Setelah itu, solat maghrib secara berjemaah dilakukan di QIS sebelum juadah berat dihidang. Juadah berat diteruskan seusai solat,berlaukkan ayam masak lemak kuning, sambal belacan dan ulam yang dihidang menggunakan dulang. Selesai iftar,solat terawih secara berjemaah bagi siswi telah diadakan di QIS yang berakhir pada pukul 9.30 malam.

KURSUS PRAKTIKAL HAJI & UMRAH 
27 Julai 2012:Buat pertama kalinya Kursus Praktikal Haji dan Umrah berjaya dilangsungkan dibawah kelolaan Unit Pengisian IHRAM pada Ramadan kali ini yang bertempat di Qaah Ibnu Sina(QIS). Seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada 21 orang mahasiswa dan 59 orang mahasiswi telah menyertai kursus ini.Kursus Praktikal Haji dan Umrah ini telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi teori dan praktikal. Sesi teori bermula pada jam 1.30 petang yang telah dikendalikan oleh dua orang ustaz jemputan dari Kaherah yang berpengalaman mengerjakan haji dan umrah. Sesi ini diakhiri dengan slot soal jawab dari para peserta. Seusai solat asar,sesi praktikal pula dijalankan bagi memberi gambaran jelas kepada peserta tentang pelaksanaan haji dan umrah dan mereka telah dibahagikan kepada empat kumpulan kecil. Bagi sesi praktikal ini,peserta lelaki telah ditempatkan di Darul Rahmah dan dikendalikan oleh 2 orang ustaz jemputan manakala peserta wanita yang dikendalikan oleh 3 orang ustazah jemputan telah ditempatkan Qaah Ibnu Sina. Kedua-dua dewan ini telah dibahagikan kepada beberapa bahagian sebagai gambaran tempat-tempat suci antaranya Masjidil Haram(Kaabah), tempat Miqat, Mina dan Muzdhalifah. Program ini diakhiri dengan pembahagian makanan berbuka kepada peserta sekitar jam 6 petang.

FIQH PERUBATAN 2: HAID, NIFAS, IITIHADAH DAN PUASA PESAKIT MMA DAN IFTAR JAMAIE IHRAM ’12 
3 Ogos 2012: Dibawah kelolaan Mansoura Medical Academy(MMA), Fiqh Perubatan 2: Haid,Nifas,Istihadah dan Puasa Pesakit telah berjaya diadakan yang bertempat di QIS.Majlis telah dimulakan dengan bacaan al-Fatihah oleh pengerusi majlis pada jam 1 petang. Penceramah Ustaz Syafiq memulakan program dengan membentang kertas kerja bertajuk “Puasa Pesakit” pada pukul 10 pagi. Pembentangan kertas kerja berlangsung selama 2 jam diikuti dengan sesi soal jawab antara peserta dan penceramah. Majlis ditangguh untuk memberi laluan kepada waktu solat jumaat.Majlis dimulakan semula pada pukul 1.45 tengah hari dengan pembentangan kertas kerja yang kedua bertajuk “Haid, Nifas dan Istihadah” dan diikuti dengan pembentangan kertas kerja ketiga bertajuk “Masalah berkaitan haid dan istihadah”.Sesi soal jawab antara peserta dan penceramah dilakukan setiap kali berakhirnya pembentangan kertas kerja. Pembentangan kertas kerja tamat tepat jam 6 petang dan ahli jawatankuasa IHRAM mengambil alih untuk meneruskan program. Pihak IHRAM mengadakan tayangan video dan menganjurkan kuiz kepada hadirin yang hadir sebelum berbuka puasa. Majlis disudahi dengan berbuka puasa beramai-ramai.

SOLAT TERAWIH DI MASJID SALLAB
5 & 9 Ogos 2012: IHRAM’12 telah mangadakan dua kali aktiviti solat terawih di Masjid Sallab untuk pelajar-pelajar siswi yang berhasrat untuk berterawih di masjid. Seramai 16 orang siswi tidak melepaskan peluang ini pada kali yang pertama manakala seramai 22 orang siswi untuk kali yang kedua. Kami berkumpul sekitar jam 7.50 malam di dua tempat berbeza samada di Syari’ Samanudi atau di Istad Gamaah sebelum bertolak ke masjid dengan menaiki tremco dan ditemani beberapa orangg mushrif.Solat terawih berakhir sekitar jam 10.30 malam.

JAULAH MAKAM MANSURAH

7 Ogos 2012: Unit Sukan & Aktiviti Luar (UNISAL) PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) 2011/12 telah mewarnai takwim IHRAM’12 pada 19 Ramadan 1433 H dengan jayanya telah menganjurkan lawatan ke makam-makam para tokoh Islam yang terletak di sekitar Mansurah.Di samping dapat melihat serta memikirkan tentang kebesaran ciptaan Ilahi, para peserta juga dapat melahirkan rasa cintakan kepada para tokoh ilmuwan yang banyak menabur jasa dalam penyebaran Islam.Seramai 23 orang peserta telah mengikuti lawatan ini yang terdiri daripada 12 orang mahasiswi dan 11 orang mahasiswa serta 4 orang peserta dari Kaherah.Bagi melancarkan program lawatan ini,2 orang tetamu khas turut diundang daripada Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah (DPMM) iaitu Saudara Muhammad Aliffudin Ramlee dan Md Nuzul Haqimi Ibrahim untuk memberi pengisian sepanjang lawatan. Bergerak sekitar jam 7.15 pagi sehingga 3.30 petang, sebanyak 6 makam para tokoh Islam yang telah berjaya dilawati.Antaranya termasuklahImam As-Sya’rawi.di perkampungan Daqadus di daerah Mit al-Ghamr,Mohamad bin Abu Bakar di persisiran Sungai Nil yang bernama Mit Damsis,Abdullah bin Salam,Syeikh Jadul Haq AliJadul Haq r.a.di kawasan Batroh di muhafazah ad-Daqahliah, Syeikh Aisawidi persekitaran kawasan muhafazah ad-Daqahliah berdekatan dengan Salam Murur, dan Syeikh Hasanain berdekatan Sikkah. Sebelum bertolak ke destinasi seterusnya, peserta juga tidak melepaskan peluang untuk menghadiahkan surah al-Fatihah dan bertawassul.Di akhirnya, kesemua peserta diberikan juadah berbuka puasa yang disumbangkan khas oleh pihak IHRAM ’12.

FORUM PERDANA

10 Ogos 2012: 10 malam terakhir Ramadan diwarnai dengan aktiviti kemuncak IHRAM iaitu forum perdana yang bertajuk “Mencari Lailatul Qadar & Peristiwa-peristiwa Menarik Ramadan”. Forum yang bermula pada pukul 4 petang turut mengundang Raja Khairunnisa Aqilah Bt Raja Mohd Naguib sebagai pengerusi majlis. Forum ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli panel yang tidak asing lagi dari Kaherah iaitu Saudara Jamal Najmuddin Sulaiman dan Saudara Rifa’e Muhammad serta dirancakkan lagi dengan kehadiran moderator iaitu saudara Muhammad Ikram Ishak.Bagi memeriahkan lagi suasana majlis , cabutan bertuah , iftar Jamaie turut diadakan bagi meraikan para pelajar yang datang,samada pelajar perubatan mahupun pengajian Islam.Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam seusai solat terawih berjemaah bagi siswi.

TERAWIH BERSAMA SYEIKH JIBRIL
14 Ogos 2012: Unit Sukan & Aktiviti Luar (UNISAL) dengan kerjasama Jawatankuasa Ihya’ Ramadhan (IHRAM), telah menganjurkan rombongan ke Masjid Amru Al-As, Kaherah untuk solat terawih bersama Syeikh Muhamad Sayid Hasanin Jibrail atau lebih dikenali sebagai Sheikh Jibrail yang sangat popular di Mesir dan seluruh dunia kerana alunan suara beliau yang merdu ketika mengalunkan bacaan al quran . Beliau juga merupakan iman besar masjid Amru Al-As ,Kaherah. Seramai 16 orang pelajar Mansurah telah mengambil peluang untuk mengikuti rombongan ini yang terdiri daripada 9 orang siswi dan 7 orang siswa.Dengan menaiki dua buah tremco,kami telah bertolak pada pukul 1.15 petang dan agak lewat tiba di sana pada jam 5.30 petang akibat kesesatan lalu lintas. Keunikan di Mesir ini,mereka sangat meraikan malam ke 27 Ramadan pada setiap tahun yang mana kebanyakan pendapat mengatakan malam 27 Ramadan mungkin adalah malam lailatul qadar.Maka peluang seperti ini tidak akan dilepaskan lebih-lebih lagi doa yang panjang akan dititipkan dr sheikh di dalam solat witir. Rata-rata peserta yang terlibat melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat merasai pengalaman untuk berterawih di negara Arab.

SYANTOH RAMADAN 
14 Ogos 2012: Bulan Ramadan adalah bulan yang dapat mendidik umat Islam supaya memperingati golongan yang miskin dan mereka yang hidup dalam serba kekurangan dalam mencari sesuap nasi. Sejajar dengan ajaran Islam supaya kita saling membantu antara satu sama lain,IHRAM’12,di bawah kelolaan Unit Kebajikan PCM 11/12telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak LE2025 dan beberapa bahan mentah seperti beras,tepung,makaroni,spageti,gula garam,teh,kopi,buahan kering dan sebagainya daripada para pelajar Mansurah terutamanya, untuk disumbangkan kepada warga Arab yang hidup dalam serba kekurangan di sekitar Mansurah melalui El-Resala iaitu salah satu badan bukan kerajaan di Mesir. Segala barang-barang yang disumbangkan telah dikumpulkan di Darul Rahmah bermula pada 28 Ogos sehingga 3 Ogos 2012 dan diserahkan kepada El-Resala pada 14 Ogos 2012.

QIAM JAMAIE SISWI
16 Ogos 2012: Tidaklah lengkap malam–malam 10 terakhir Ramadan tanpa Qiammullail. IHRAM 12’ telah mengadakan Qiam Jamaie bagi siswi yang bertempat di QIS.Program bermula dengan kehadiran siswi sekitar 10 malam dan tidur sebelum memulakan qiam pada pukul 2 pagi. Qiam yang telah disertai seramai 16 orang ini telah dimulakan dengan solat sunat taubat,hajat,tahajjud dan witir.Sahur secara beramai-ramai pula menyusul setelah selesai solat sunat pada pukul 3 pagi. Program diteruskan dengan solat subuh berjemaah,membaca al-mathurat dan tazkirah subuh.Sekitar pukul 5 pagi,program berakhir dan siswi pulang ke rumah masing-masing.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN PENUTUP IHRAM ’12 
Pada 30 ramadhan 1432 hijrah bersamaan dengan 18 Ogos, Jawantankuasa Ihya Ramadhan 12(IHRAM) telah berjaya mengadakan Majlis Khatam al-Quran yang berlangsung di Dewan Qaah Ibnu Sina sebagai upacara penutup bagi program-program IHRAM 12 yang diadakan sepanjang ramadhan ini . Objektif utama diadakan program ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai islam,yang mana di dalam majlis khatam ini dapat kita sama-sama berdoa lebih-lebih lagi Ramadan berakhir pada hari tersebut,di samping merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli perubatan yang beraya di bumi mesir pada tahun ini. Majlis dimulakan dengan ucapan dari Saudara Wan Mohamad Safwan bin Wan Salleh selaku Pengarah Ihram 2012 dan disusuli dengan majlis khatam al-quran di bawah bimbingan Ustaz Mohd Hanif Osman. Tepat jam 5.45 petang, bermulalah sesi tazkirah ringkas yang sangat dinantikan-nantikan kerana penyampainya ialah Dr. Abdul Aziz Mursyid, di mana beliau merupakan Pensyarah Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar. Namun atas alasan tidak sihat,beliau tidak dapat hadir dan sesi tazkirah ini telah diganti oleh Ustaz Uthman Al-Amani dengan tazkirah bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran” karangan Dr. Yusuf AL-Qadarawi. Di dalam buku tersebut,Dr. Yusuf Al-Qadarawi mengupas isu tentang generasi sekarang yang hanya cuba memperbaiki bacaan al-quran tetapi tidak berusaha untuk memahami dan mengaplikasikannya dalam kehidupan harian kita. Slot sesi tazkirah berakhir apabila masuknya azan maghrib yang menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa dan ketibaan bulan syawal. Majlis diteruskan lagi dengan solat maghrib berjemaah,takbir raya dan iftar jamaie, pada masa yang sama ahli-ahli perubatan juga disajikan dengan tayangan video yang memaparkan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program ramadhan tahun ini. Dengan berakhir tayangan video ini, maka berakhirlah majlis khatam al-quran, kemudian disusuli pula dengan Malam Gema Aidilfitri selepas solat isyak.

Laporan oleh:
Husna bin Amad Puat
Setiausaha IHRAM ’12