Bertemakan “Pelaksanaan Syariah Islam yang Syumul”, Lajnah Halaqah Ilmuan Muda (HIM) dibawah Unit Mentor Council (MC) telah mengadakan sebuah program yang bertempat di  Solah Al-Falah (SAF) pada 20 April yang lalu. Program ini dinamakan dengan Ijtima’ HIM yang membawa maksud perhimpunan ahli – ahli HIM.

Program ini dijalankan bertujuan untuk merealisasikan objektif yang disasarkan bagi membentuk mahasiswa yang cakna isu semasa dan politik kemasyarakatan. Pelaksanaan Islam yang syumul atau dengan nama lainnya Islam 360 telah dipilih sebagai tema bagi program ini. Syariat Islam yang suci ini meliputi pelbagai peraturan, hukum – hakam dan perundangan pada setiap aspek kelompok masyarakat dan kehidupan samada berkaitan akidah,ibadah mahupun akhlak atau berkaitan dengan perundangan umum seperti masalah – masalah sivil, jenayah, peribadi, peraturan masyarakat serta perhubungan antarabangsa atau berkaitan dengan asas hukum, kaedah –kaedah ekonomi atau dasar – dasar masyarakat.

Program ini bermula pada pukul 4 petang dengan kehadiran para peserta dan sesi pendaftaran. Seramai 91 orang telah menyertai program Ijtima’ HIM pada kali ini. Majlis dimulakan dengan bacaan do’a oleh pengerusi majlis, saudara Muhammad Ihsan bin Toantowee. Seterusnya majlis diteruskan dengan nyanyian lagu tema program “Hambamu”. Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah, saudara Shameer bin Abdul Rahman dan diikuti dengan ucapan dari pengarah program saudara Abdullah Zahid bin Zaini.

Slot pertama, iaitu pembentangan dari kumpulan HIM. Terdapat lima kumpulan yang melakukan pembentangan pada hari tersebut. Tiga daripadanya adalah kumpulan pihak akhawat dan selebihnya kumpulan dari pihak ikhwah.Pembentangan ini telah diadili oleh saudara Muhammad Alifitri bin Alias, bekas anggota Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) sesi 2013/2014 dan saudari Nur Ain binti Zulaliza, anggota Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) sesi 2014/2015. Kumpulan pertama adalah wakil daripada akhawat di bawah tajuk ‘Global Service Tax (GST)’. Kumpulan ini telah membentangkan keburukan dan kebaikan GST itu sendiri. Seterusnya kumpulan kedua ‘ Demokrasi Dalam Islam’. Diikuti dengan ketiga ‘Perundangan Sivil dan Syariah’. Kumpulan seterusnya dengan tajuk ‘Sosioekonomi’ dan kumpulan terakhir ‘Akidah:Serangan Pemikiran’. Semua kumpulan mempunyai nilai persembahan yang tersendiri bagi menyampaikan tajuk yang dibentangkan supaya jelas difahami oleh peserta kumpulan lain. Jelasnya,para peserta terhibur dengan gaya pembawaan setiap pembentangan dan diharap dapat memperkukuhkan lagi tahap kefahaman bagi setiap tajuk. Seterusnya para peserta menunaikan solat Maghrib berjemaah dan makan malam.

Selesai makan dan solat Maghrib, peserta dihidangkan dengan pengisian bertajuk ‘ Islam And Universality’ yang disampaikan oleh saudara Wan Mohamed Hanif bin Wan Osman,pelajar tahun 6 Program Manchester. Antara perkara yang telah dikupas ialah bahaya serangan pemikiran dan perlunya orang Muslim mengamalkan konsep tajarrud dalam kehidupan supaya tidak terjatuh ke dalam lubang – lubang fitnah yang sengaja diciptakan oleh musuh Islam. Beliau juga menegaskan bahawa pemikiran sekularisme ialah bentuk serangan pemikiran yang paling bahaya kerana daripadanya akan muncul pemikiran-pemikiran lain seperti sosiolisme, liberalism, kapitalisme dan banyak lagi. Para peserta dilihat memberikan tumpuan yang sepenuhnya sepanjang slot pengisian diadakan. Sesekali diselitkan dengan ajuan pertanyaan soalan daripada saudara Hanif kepada peserta untuk menambahkan lagi kefahaman terhadap apa yang telah disampaikan.

Berakhirnya slot pengisian maka berakhirlah program Ijtima’ HIM pada kali ini. Program ditamatkan dengan taklimat musyrif oleh saudara Nik Mohamad Syafiq bin Ishak selaku jawatankuasa pendaftaran dan bacaan doa rabithah oleh saudara pengerusi majlis. Dengan berakhirnya majlis ini, harapan dari pihak Biro Pembangunan Islam (BPI), semoga dapat membentuk mahasiswa yang cakna isu semasa dan politik kemasyarakatan serta mengeratkan lagi ikhuwah sesama ahli HIM dan nuqaba’. Tidak dilupakan juga dapat memupuk semangat kerjasama dan team work dalam kumpulan. Semua ini perlu bagi melahirkan doktor da’ie yang mempunyai bidang ilmu yang luas mencakupi pelbagai bidang ilmu.

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

 

Disediakan oleh,

Istiqamah Binti Amanah,

Setiausaha IJTIMA’ HIM,

Biro Pembangunan Insan (BPI),

PERUBATAN Cawangan Mansurah 14/15.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *