Jumaat, 24 Mei 2014 – Biro Pembangunan Insan dengan kerjasama Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Mansurah(PCM) 2014/2015 telah menganjurkan program Malam Munajat Perdana, Exam Fever Campaign yang bertemakan “Keep Calm And Pray”. Program tersebut telah diadakan di Qaah Ibnu Sina (QIS) baru yang bertempat di Syari’ Hendawi yang mensasarkan semua ahli PERUBATAN Cawangan Mansurah terutama mereka yang menduduki peperiksaan. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi semangat dan motivasi kepada ahli sempena musim peperiksaan disamping mendidik ahli melazimi solat sunat dan zikrullah terutama sebagai penuntut ilmu.

Program ini bermula pada pukul 7 petang dengan kehadiran ahli yang amat memberangsangkan, iaitu seramai 180 orang. Majlis dimulakan dengan alunan zikir munajat yang diketuai oleh Saudara Fadhli sementara menunggu azan Maghrib berkumandang. Usai solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat Sunat Taubat dan solat Sunat Hajat yang diselangi dengan zikir munajat dan bacaan doa yang diimamkan oleh  saudara Aiman Syukrie.

Pada pukul 8.40 malam, majlis diteruskan lagi dengan ucapan pembuka majlis oleh Pengerusi Majlis, Saudara Khairunna’im dan seterusnya majlis dirasmikan oleh Pengerusi PCM, saudara Shameer bin Abdul. Satu slot motivasi khas “Words of Senpai” telah dibawakan oleh Mansoura Medical Team (MMT) dan disampaikan dalam bentuk forum bertajuk “Stressed Out? Make Desserts!” yang menampilkan dua orang panel jemputan yang tidak kurang hebatnya iaitu saudara Ahmad Naem dan saudari ‘Azimah Zahari,  yang masing-masing merupakan mahasiswa tahun akhir kuliah Farmasi dan Perubatan Konvensional Universiti Mansurah. Forum tersebut dikendalikan oleh saudara Amin Razak, mahasiswa tahun akhir kuliah Perubatan Program Manchester selaku moderator bagi slot tersebut.

Slot motivasi “Words of Senpai” berkisar tentang nasihat dan pengalaman para panel menghadapi stress ketika musim peperiksaan. Slot yang berlangsung selama hampir 50 minit itu diharap dapat memberikan tips dan motivasi baru kepada para peserta sepanjang menghadapi peperiksaan.

Majlis diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada para panel dan moderator forum dan seterusnya bacaan doa penutup sebelum Solat Isyak berjemaah. Majlis Malam Munajat Perdana, Exam Fever Campaign yang selesai pada pukul 10 malam turut diakhiri dengan taklimat musyrif  serta pengagihan makanan kepada para peserta.

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

 

Disediakan oleh,

NURUSSOFAA BINTI ABDUL MAJID

Setiausaha,

Program Malam Munajat Perdana, Exam Fever Campaign (EFC),

Biro Pembangunan Insan dan Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2014/2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *