Bismillahirrahminarrahim

Pengembaraan seharian yang cukup menginsafkan.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana aku kira diriku antara insan-insan yang bertuah dipilih-Nya untuk menziarahi makam para auliya’- jama’ bagi wali. Allah lebih mengetahui sebab-musabab aku sempat mengikuti ziarah ini walaupun padat jadual harianku. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa terdapat kesan peninggalan insan-insan hebat berdekatan Mansurah.

Perjalanan bermula seawal jam 8 pagi dan destinasi yang pertama ialah makam Sheikh Mutawalli as-Sya’rawi r.h.m. yang memakan masa lebih kurang 2 jam perjalanan dari bandar Mansurah. Beliau merupakan seorang tokoh mufasirrin yang sangat hebat. Aku terkesan dengan sumbangan beliau yang berjaya menyebarkan ilmu sehingga tertubuhnya Yayasan as-Sya’rawi yang terletak berdekatan dengan makam beliau. Hebatnya beliau, seorang ulama’ yang sudah banyak memberi manfaat kepada masyarakat sewaktu hayatnya dan walaupun telah kembali menghadap Ilahi, hasil usaha beliau masih memberi manfaat untuk orang ramai. Benarlah, antara amalan yang tidak terputus sewaktu seseorang telah meninggal dunia ialah ilmu yang bermanfaat.

Seterusnya, kami menziarahi makam Sheikh Muhammad bin Abu Bakar r.h.m. Menariknya, beliau merupakan anakanda Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Masha-Allah! Tidak pernah aku terfikir yang aku dapat menziarahi seseorang yang begitu dekat dengan zaman Rasulullah s.a.w di sini. Makam beliau terletak di dalam sebuah masjid – dan hari ini merupakan kali kedua aku sebagai seorang muslimah mendirikan solat Jumaat (kali pertama sewaktu berada di Masjidil Haram). Kisah pemergian beliau amat menyayat hati.

 

Destinasi seterusnya ialah makam Sheikh Abdullah bin Salam r.h.m. Makam beliau juga terletak bersebelahan dengan masjid yang dinamakan Masjid Abdullah bin Salam. Beliau merupakan salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijamin syurga oleh Baginda SAW. Terdapat dua hadis yang menyatakan tentang jaminan Rasulullah SAW ke atas beliau. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan seorang pendeta Yahudi yang beriman dengan kitab Taurat. Kitab tersebut ada menyatakan tentang petanda kedatangan Rasul akhir zaman. Oleh sebab itu, kedatangan Baginda merupakan sesuatu yang telah dijangka dan dinanti-nantikan oleh ahli kitab yang sebenar. Namun, sikap munafik dan hasad dengki bangsa Yahudi tentang susur galur keturunan Nabi akhir zaman pada waktu itu menyebabkan mereka memilih untuk tidak beriman kepada Baginda. Sheikh Abdullah bin Salam merupakan seorang ketua bangsa Yahudi yang amat disegani dan disanjungi suatu ketika dahulu tetapi beliau terus dipulau dan dimusuhi sejurus memeluk Islam. Lihatlah, betapa teguhnya pendirian beliau berpegang kepada jalan kebenaran meskipun dikecam kuat oleh masyarakat setempat sewaktu zamannya.

Bagaimana pula dengan jati diri kita pada hari ini? Adakah kita terlalu khuatir tentang pandangan manusia ke atas setiap perilaku kita sehingga kita mengabaikan pandangan Allah? Mampukah kita berpegang teguh dengan tali Islam  seandainya digertak oleh pihak musuh? Sejauh manakah kita berasa bangga dengan Islam yang kita anuti ini?

Selepas menunaikan solat fardu Asar di Masjid Abdullah bin Salam, makam wali yang terakhir kami ziarah ialah Syeikh Hasanain r.h.m. Saya menyarankan agar sahabat-sahabat mengambil peluang untuk menziarahi makam beliau kerana terletak di sekitar Sikkah, Mansurah sahaja. Beliau merupakan seorang wali kutub dan murabbi hebat di Mansurah. Beliau juga berasal daripada keturunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab cucu Baginda iaitu Saidina Husin r.a. Beliau dikenali dengan pelbagai karamah yang terlihat sewaktu hidupnya, antaranya ialah berjalan di atas Sungai Nil.

Secara keseluruhannya, ziarah kali ini memberikan kesan yang agak dalam buat diriku. Betapa, kadang kala aku terlalu leka dengan kehidupan seharian sehingga terlupa untuk meluangkan masa bersendirian mengingati Allah. Sepanjang perjalanan Jejak Auliya’ ini, hati dan lidahku tidak putus berzikir kerana aku sedar diriku terpalit dengan pelbagai dosa dan aku bakal menziarahi seseorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Perkara yang perlu direnung dengan lebih dalam lagi selain daripada mendapat kesempatan untuk bertawassul, sejauh manakah akan aku manfaatkan pengajaran yang aku perolehi daripada ziarah ini? Adakah perasaan ini terhenti selepas menukil di sini dan aku  kembali kepada dunia ‘lama’ku atau aku akan berusaha mengubah hidup aku ke arah yang lebih baik? Moga nukilan aku ini, manfaatnya tidak hanya pada aku, malah pembaca turut berusaha mengubah diri kita ke jalan yang diredaiNya. Tidakkah kita sedar, Allah sedang cuba mengetuk pintu hati kita untuk lebih dekat dengan-Nya, atau kita cuma biarkan rasa ini berlalu begitu sahaja?

Wallahu’alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *