Sumber gambar: Google

 

Tahun 2007.

“The City That Never Sleeps is Mecca”

Jika di Madinah ketika itu, Masjid Nabawi tidak dibuka 24 jam. Tetapi Masjidil Haram dibuka sepanjang siang dan malam.

Pertama kali melihat Masjidil Haram, jiwa terasa sebak. Diri terpegun melihat sebuah masjid yang sangat besar dan terang-benderang walaupun sudah lewat malam. Ketika ini, menara jam di Mekah belum mula dibina lagi, mata ini sememangnya hanya tertumpu kepada Masjidil Haram semata.

Kami ke sini pada bulan Ramadan, jadi sambutannya sangat luar biasa. Semua memilih untuk tidak meninggalkan masjid. Tambahan pula, imam-imam utama Masjidil Haram ketika ini merupakan imam yang sangat popular bacaannya seperti Syeikh Sudais, Syeikh Shuraim, Syeikh Maher, dan Syeikh Juhany. Bayangkan, setiap waktu anda dapat mendengar bacaan yang berlainan.

Rindu untuk berpenat-lelah mengerjakan umrah di Mekah.

Alhamdulillah, umrah pertama dilakukan pada waktu malam. Air zam-zam membantu melegakan tekak yang kehausan. Pengalaman mengerjakan tawaf dan sai tidak dapat dilupakan. Abah memegang erat tangan agar tidak terlepas dari pandangan. Bayangkan, diri yang kecil ini dihimpit makcik dan pakcik berbangsa Arab yang terkenal dengan tubuh mereka yang sasa. Ketika tawaf, mereka akan memilih untuk bergerak secara berkumpulan agar perjalanan mereka lancar dan bergerak laju. Termasuklah merempuh beberapa jemaah yang berada di hadapan mereka.

Namun begitu, untuk umrah yang seterusnya, kami lakukan pada waktu siang. Maka, rasalah betapa penat dan teriknya matahari ketika itu. Nikmat air zam-zam dan kesejukan aiskrim terbayang di minda. Tambahan pula dengan ditimpa demam ketika berada di Mekah. Penat yang tidak dapat dilupakan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun. Alhamdulillah, tiga umrah dapat diselesaikan. Moga Allah terima umrah yang dilakukan tersebut.

Rindu untuk melihat suasana selepas subuh.

Tempat solat setiap kali subuh adalah di kawasan terbuka tingkat atas sekali. Lepas solat sunat Isyraq, diri ini berdiri sambil menghadap Kaabah. Termenung melihat ribuan manusia bertawaf mengelilingi Kaabah. Dan salah satu suasana yang boleh dilihat dengan baik dari tingkat atas ini adalah pembersihan masjid oleh penjaga-penjaga Masjidil Haram. Hampir setiap hari akan cuba meluangkan masa melihat gelagat mereka. Mereka seolah meluncur bermain air, kerja mereka laju dan pantas. Ada yang terjatuh dan sebagainya, tetapi mereka gembira. Mulut mereka tidak lekang dengan senyuman. Mereka beruntung, dapat bersama Mekah sepanjang waktu, malah merekalah antara yang menjaga Masjidil Haram. Beruntungnya mereka!

Rindu melihat suasana masyarakat mementingkan solat.

Penginapan kami terletak di kawasan berdekatan dengan Babul Marwah. Kawasan ini merupakan kawasan hotel murah, kawasan pelbagai jenis kedai makan dan hampir dengan kedai-kedai untuk membeli barang-barang murah untuk cenderahati seperti jubah, kaset, dan mainan (unta berlagu contohnya). Kedai-kedai ini terletak di tepi jalan dan lorong-lorong seperti di Sikkah, Mansurah. Jarak antara hotel dan masjid juga sangat dekat. Jadi, pihak agensi memilih kawasan ini untuk bertapak kerana berbaloi dari segi kewangan dan juga masa.

Apa yang menarik seterusnya adalah apabila azan berkumandang. Maka terdengarlah bunyi-bunyi bising peniaga mengemas barang mereka untuk disimpan. Semua peniaga-peniaga ini akan terus meninggalkan perniagaan mereka sebentar bagi menyahut panggilan Illahi. Ada yang hanya menutup dengan kain barang-barang mereka tanda mereka berusaha menutup kedai agar tidak dicuri walaupun mereka sangat yakin bahawa tiada pencurian yang akan berlaku di sekitar Masjdil Haram.

Berpusu-pusu orang masuk ke Masjidil Haram ketika azan berkumandang.

 

Sumber gambar: Google

 

Rindu untuk berbuka puasa di Masjidil Haram.

Bila tiba waktu berbuka puasa, kami memilih untuk berbuka di Masjidil Haram sahaja. Selepas solat sunat terawih baru pulang ke hotel dan menikmati makanan berat yang disediakan. Suasana berbuka puasa ketika di Madinah dan Mekah tidak jauh berbeza. Alas dihampar mengikut saf agar teratur. Mereka infak harta mereka untuk menyediakan pelbagai jenis juadah berbuka puasa seperti kurma, yogurt, roti, air berempah, air zam-zam dan sekiranya bernasib baik, akan mendapat nasi arab. Saya sendiri berpengalaman memperolehi nasi arab beberapa kali di Madinah dan Mekah.

Namun apa yang penting, kita dapat melihat suasana berbuka puasa di Tanah Haram yang berbeza. Jemaah dari seluruh dunia yang duduk menunggu waktu berbuka puasa sibuk dengan ibadah masing-masing. Ada yang membaca al-Quran, bertasbih dan ada yang infak harta mereka untuk menyediakan juadah berbuka untuk orang ramai.

Rindu untuk bertarawih di Masjidil Haram.

Malam pertama bertarawih di Masjidil Haram. Di Mekah, selepas 10 rakaat, imam akan berhenti solat tarawih sebentar untuk solat jenazah. Jadi, ketika itu, kaki sudah menggigil kepenatan. Bacaan imam pertama sangat panjang. Maklumlah, amat berat bagi bagi diri ini yang masih lagi kanak-kanak . Terus meminta kunci bilik daripada Abah dan menuju pulang ke hotel.

Tiba-tiba, sebelum sempat beredar terdengar suara imam mengangkat takbir untuk meneruskan tarawih yang berbaki lagi 10 rakaat. “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin” suara Syeikh Sudais mengalunkan bacaan surah al-Fatihah. Suara merdu dan terkenal ini menghilangkan semua rasa penat yang ada. Suaranya membakar semangat. Kaki mengatur semula langkah ke arah saf yang berdekatan untuk menyambung solat tarawih. Walaupun tidak memahami makna bacaan al- Quran, tetapi Allah menjentik hati ini dengan suara yang memahami al-Quran.

 

Sumber gambar: Google

 

Mekah sudah berubah.

Alhamdulillah, setelah beberapa tahun ke Tanah Haram buat kali pertama, akhirnya diberi kesempatan untuk ke sana buat kali kedua pada tahun 2013. Kali ini lebih bersedia daripada sudut ilmu dan fizikal. Cuma dari sudut keterujaan berada di sana, tidak dapat mengalahkan kali pertama sampai di sana. Terlalu banyak perkara yang berbeza.Menara Abraj Al-Bait ataupun Menara Jam seolah sudah menjadi ikon Mekah, bukan lagi Kaabah.

Tetapi saya tetapkan dalam hati bahawa, fizikalnya sahaja yang berubah, keistimewaan dan sejarah yang berlaku di sini akan kekal sama.

Pasang niat untuk menjadi tetamu Allah lagi.

Walaupun hampir setiap hari melayari YouTube untuk melihat solat-solat yang didirikan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, walaupun hari-hari memasang iQuran untuk mendengar alunan suci al-Quran oleh imam-imam Masjidil Haram, tidak akan sama dengan suasana yang kita alami sendiri di sana. Ada sahabat saya memberitahu sesiapa yang pergi ke Tanah Haram boleh membuatkan seseorang itu ketagih untuk pergi semula. Bila pergi sekali pasti mahukan yang kedua, bila ada yang kedua pasti mahukan yang ketiga.

Manusia menjadi ketagih apabila mendapat sesuatu yang mampu menenangkan mereka. Pergi kesana, jiwa menjadi tenang. Suasana panas, dijadikan sejuk dek amalan-amalan orang ramai yang berada di sekeliling. Begitulah Allah meletakkan perasaan cinta-Nya terhadap hamba-Nya. Dijadikan tetamu Allah agar Allah dapat memberikan segala kebaikan dan hapuskan segala kejahatan dalam diri.

Semoga kita semua berkesempatan menjadi tetamu Allah s.w.t.

InsyaAllah. Amin.

Jejaka Prihatin.
Perubatan Mansoura-Manchester.

 

* Boleh layari lawan web http://www.haramain.info/ untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai dua Tanah Haram, Madinah dan Mekah. Terutama kepada mereka yang ingin melihat rakaman video ketika solat setiap waktu yang paling baharu di kedua-dua masjid, Masjidil Haram dan juga Masjid Nabawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *