Sumber gambar : Google

MARHABAN YA RAMADHAN

“Ya Allah, pertemukan kami dengan Ramadan.”

Dalam beberapa hari sahaja lagi, kita akan bertemu dengan bulan yang amat dinantikan oleh setiap umat Islam. Bulan mulia, bulan yang penuh dengan tawaran ganjaran berlipat ganda oleh Pencipta kita Allah SWT; bulan Ramadan.

Tahukah kita apakah tujuan Allah menjadikan Ramadan? Kita perlu mengetahui hikmah kejadiannya, barulah kita akan merasai kelebihan dan apa bezanya bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain dan supaya kita sedar tentang besarnya nilai Ramadan. Jika tidak, kita hanya akan merasa bulan ini hanya seperti bulan biasa sahaja, hanya merasakan sekadar puasa itu hanya sekadar tidak makan dan tidak minum.

Allah menjadikan bulan Ramadan, salah satunya sebagai tanda kasih sayangNya terhadap umat Nabi Muhammad SAW. Memandangkan usia kita tidaklah sepanjang usia umat nabi-nabi terdahulu, yang mana kebanyakan antara mereka hidup selama ratusan, malah ribuan tahun. Lantas, bagaimana kita yang jangka hayat hanya sekitar 60 ke 70 tahun mampu untuk menandingi amalan umat-umat terdahulu yang lebih panjang usia mereka? Mereka hidup lebih lama, sudah pastinya amalan mereka juga lebih banyak daripada kita.

Justeru, inilah hikmahnya Allah menghadiahkan bulan Ramadan untuk kita umat Nabi Muhammad. Banyak kelebihan yang ada pada bulan ini namun apa yang paling istimewa adalah Allah menjadikan dalam bulan Ramadan ini satu malam yang disebut sebagai ‘khoirun min alfi syahr’ yang bermaksud satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah sengaja menyembunyikan malam al-Qadr dan kita diajar untuk mencari dan mendapatkan satu malam yang menyamai dengan 83 tahun hidup atau usia kita. Allahu Akbar! Moga kita berpeluang untuk dipertemukan dan memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia.

RAMADAN vs EXAM?

Pada tahun ini, boleh dikatakan hampir semua pelajar Universiti Mansurah akan merasai suasana puasa Ramadan di Mesir disebabkan Ramadan pada tahun ini jatuh pada akhir bulan April dan kuliah dan peperiksaan berlangsung pada tempoh ini. Alhamdulillah, bersyukurlah sahabat atas peluang yang diberi oleh Allah untuk merasai nikmat berpuasa di bumi Kinanah ini. Sepertimana bezanya keadaan Malaysia dan Mesir, sudah pasti suasana Ramadannya turut berbeza.

Ramadan kali ini bakal kita ditempuhi dalam keadaan menghadapi peperiksaan akhir semester (final exam). Mungkin bagi sebahagian pelajar, ini adalah perkara biasa sahaja memandangkan mereka berpengalaman menghadapi peperiksaan sambil berpuasa pada tahun-tahun sebelum ini. Namun bagi sesetengah pelajar yang lain, boleh jadi ini satu perkara baru yang sangat mencabar terutama sekali bagi pelajar-pelajar tahun pra-klinikal.

Antara cabaran yang mungkin kita hadapi dalam menghadapi peperiksaan pada bulan Ramadan ialah kita merasa bimbang kerana sukar untuk membahagikan masa sama ada untuk mengulangkaji pelajaran ataupun untuk mengerjakan amalan-amalan sunat dalam bulan Ramadan seperti bersahur, membaca dan menghayati Al-Quran, solat berjemaah, solat tarawih dan pelbagai lagi.

Ada yang lebih banyak menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran berbanding mengejar amalan sunat bulan Ramadan memandangkan akan berhadapan dengan peperiksaan besar. Tidak kurang juga ada yang beranggapan disebabkan bulan Ramadan datang sekali setahun, maka fokusnya adalah pada amalan sunat bulan Ramadan dan kurang untuk mengulangkaji pelajaran. Kita tidak ingin menuding jari mengatakan yang begini baik, yang begitu tidak baik. Namun, bukankah orang yang berusaha untuk menyeimbangkan antara kedua-duanya adalah lebih baik? Kita sedar bahawa kedua-duanya adalah penting bagi kita selari dengan posisi kita sebagai mahasiswa Muslim.

MASA DAN PUASA

Rancanglah masa kita dengan sebaiknya! Manfaatkanlah sebaiknya waktu siang yang panjang di Mesir ini dengan mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan. Malam pula luangkan masa beberapa jam untuk merehatkan fikiran dan minda serta jiwa kita dengan beribadah kepada Allah SWT seperti mendirikan solat terawih, solat tahjud dan sebagainya.. Kita sangatlah beruntung kerana di Mesir ini terdapat banyak masjid-masjid berdekatan yang memudahkan kita untuk melakukan ibadat-ibadat ini secara berjemaah.

Jika kita ingin solat berjemaah di masjid, berjalanlah ke setiap dua tiga bangunan, kebanyakannya pasti kita akan menemui masjid. Tidak perlu untuk berjalan jauh, semuanya berdekatan sahaja. Kebanyakan masjid-masjid kecil di Mansurah ini sekitar pukul 10 malam telah selesai melakukan solat tarawih.

Selepas solat tarawih, jika masih larat, kita boleh mengulangkaji pelajaran dalam satu atau dua  tajuk yang ringan atau sekadar membuat latihan soalan. Jika tidak, seeloknya tidurlah awal pada waktu malam kerana Subuh di sini sangat awal. Tidur awal supaya kita mampu bangun awal untuk bersahur dan solat sunat. Kemudiannya selepas solat Subuh, kita boleh meneruskan pembacaan seperti biasa.

Secara ringkasnya bagi yang menghadapi peperiksaan terutama di kawasan timur tengah ini, digalakkan untuk aturkan masa kita seperti yang dicadangkan dibawah :

 

2.00 pagi – Qiamullail, bersahur dan membaca al-Quran sambil menanti atau selepas solat Subuh.

 

4.00 pagi – Mulakan pembelajaran dan ulangkaji. Mengikut kajian yang pernah dijalankan, waktu terbaik untuk belajar sebenarnya adalah antara jam 4 hingga 6 pagi.

 

7.00 pagi – Solat Dhuha, menguruskan diri dan qailullah; tidur sekiranya memerlukan.

 

11.00 pagi – Membaca al-Quran sementara menunggu Zuhur, setelah solat sambunglah pembelajaran. Jangan lupa untuk membuat ruang rehat antara waktu belajar kerana otak kita tidak mampu untuk fokus dalam tempoh yang panjang. Sela waktu amat penting untuk mengembalikan fokus.

 

4.00 petang – Rehat dengan solat Asar dan kemudiannya membuat persiapan untuk berbuka

7.00 malam – Berbuka, solat Maghrib dan membaca al-Quran

 

8.00 malam – Bersiap untuk solat Isya dan tarawih

 

10.00 malam – Membuat soalan atau ulangkaji tajuk ringan sekiranya mampu. Jika tidak, maka tidur awal lebih elok supaya mampu bangun awal pada keesokan hari.

 

Jadual di atas hanyalah cadangan dan semoga mampu memberikan panduan serta gambaran kasar berkenaan cara menguruskan masa apabila menghadapi peperiksaan dalam Ramadan yang tempohnya sekitar 15 hingga 16 jam!

 

MINTALAH DENGAN PENCIPTA MASA DAN PUASA

Benar, hakikatnya tidak dinafikan, semuanya tidaklah semudah yang ditulis dan dibaca. Sememangnya akan teruji dan begitulah hidup ini sememangnya diciptakan sebagai ujian. Kadangkala kita diuji dengan rasa takut tidak cukup masa untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan jika kita meluangkan masa untuk beribadah seperti solat tarawih dan membaca al-Quran.

Namun begitu, sedarlah, semua yang mustahil bagi kita tidak akan pernah mustahil bagi Allah. Yakinlah, Allah adalah pemilik segala bantuan. Dengan izinNya, semuanya pasti akan dimudahkan. Bukankah masa juga adalah ciptaan Allah? Jadinya, Allah lebih berhak menentukan samada masa kita mencukupi atau tidak, berkat atau sebaliknya.

Berkemungkinan, walaupun masa kita terhad, Allah membantu kita dengan menjadikan kita lebih mudah memahami apa yang dibaca, mudah untuk menghafal pelajaran dan seumpamanya. InsyaAllah, masa yang kita luangkan untuk Allah dan untuk bekalan akhirat kita, pasti Allah akan menjaga dan memudahkan urusan dunia kita. Bersangka baik dengan Allah!

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”  [Al-Baqarah:153]

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa.” [Al-Baqarah:186]

Banyakkan berdoa padaNya lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan kita, insyaAllah. Semoga Ramadan kita pada kali ini juga akan diterima oleh Allah, tidak berlalu begitu sahaja tanpa ada sesuatu hasil yang bermakna dan kita mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Ameen.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *