Menunaikan puasa wajib pada bulan Ramadan merupakan sebab diraihnya keampunan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW; “Barangsiapa yang puasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap (pahala), maka akan diampuni dosanya yang telah lalu” -HR Bukhari & Muslim.

Pada tahun ini, suasana Ramadan di Mansurah mungkin lebih meriah kerana semua pelajar berada di sini atas faktor peperiksaan akhir tahun yang berlangsung semasa bulan Ramadan yang sudah pun bermula bagi pelajar pengajian pergigian dan farmasi manakala bakal bermula pada pertengahan Mei bagi pelajar pengajian perubatan. Untuk pengetahuan semua, terdapat sedikit perbezaan berpuasa di Mesir jika dibandingkan dengan berpuasa di Malaysia. Perbezaan paling ketara ialah bulan Ramadan di Mesir sememangnya cukup meriah malah lebih diutamakan sambutannya berbanding Aidilfitri lantaran sambutan Aidilfitri di sini bersifat sederhana sahaja.

Di Mesir, adanya majlis berbuka secara percuma di masjid-masjid, lebih umum dikenali sebagai Maidatul Rahman adalah perkara kebiasaan yang dianjurkan hampir setiap hari di lokasi yang berbeza. Selain itu, solat tarawih yang boleh tahan panjangnya boleh anda alami; lapan rakaat bagi menghabiskan satu juzuk merupakan satu kebiasaan di kebanyakan masjid. Walaupun panjang tempoh tarawih berlangsung yang terkadang selesai  hampir jam 11 malam, masjid-masjid tetap dipenuhi oleh orang ramai hingga akhir Ramadan.

Suasana di Malaysia agak meriah dari sudut bercambahnya pasar-pasar Ramadan yang menjual bermacam aneka juadah dan kuih-muih. Walaupun kita tidak membeli, dengan hanya sekadar melihat juadah yang disediakan pun kita sudah cukup merasa seronok. Suasana ini mungkin dirindui oleh pelajar di perantauan seperti kita, namun jangan khuatir kerana kebiasaannya kita akan mengadakan bazar Ramadan walaupun sekali sebagai pengubat rindu dan pengerat hubungan sesama kita yang berada jauh dari tanah air. Meskipun begitu, harus kita ingat bahawa Ramadan yang mulia ini bukanlah bulan pesta makan dan minum.
Al Quran

Satu perkara yang menarik perhatian saya berkenaan Ramadan di sini ialah amalan budaya membaca al-Quran sepanajng bulan yang mulia ini dalam kalangan masyarakat Mesir. Bayangkan, ke mana sahaja anda pergi samada dalam bas, dalam metro, di pasar, di universiti, di masjid-masjid, di perhentian kenderaan awam atau mana-mana sahaja tempat, kita akan dapat melihat rata-rata masyarakat Mesir menjadikan bacaan al-Quran sebagai rutin mereka. Al-Quran di bawa ke mana sahaja sebagai peneman setia.

Di Malaysia, membaca al-Quran di tempat awam agak kurang diamalkan sehingga terkadang ingin memegang al-Quran di tempat awam pun boleh membuatkan kita merasa segan apatah lagi membacanya, mungkin takut dilabel warak atau ingin menunjuk-nunjuk pula, apapun ini hanya sekadar rasa. Pendek kata, mana-mana pun di Mesir ini ada sahaja insan yang membaca al-Quran di tempat awam dan bukan setakat di dalam masjid. Satu amalan yang boleh kita contohi dan bawa pulang ke Malaysia untuk dijadikan satu budaya. Semoga Rasulullah suka dan Allah meredai amalan kita.

Fanus

Di Mesir juga apabila masuknya Ramadan, fanus iaitu sejenis lampu atau lilin yang dirumahkan dengan pelbagai bentuk menarik digantung di lorong-lorong kawasan perumahan atau di balkoni rumah yang melahirkan rasa seronok ketika berjalan sambil melihatnya. Bentuknya mirip seperti ‘tanglung’ masyarakat Cina di tanah air kita, akan tetapi fanus di Mesir dihiasi dengan bentuk-bentuk masjid antaranya dan pelbagai bentuk lain dan ada yang diukir dengan kalimah ‘Ramadan Karim’. Malah, terdapat juga fanus yang dipasang audio lagu memuji kedatangan Ramadan.

Sebulan sebelum Ramadan, fanus ini sudah mula dijual di kedai-kedai di Mesir dengan harga yang berbeza bergantung pada bahan yang digunakan dan saiznya. Bahang sambutannya akan mula terasa walaupun jarak untuk sampai ke Ramadan masih lagi jauh dan mengingatkan diri untuk membuat persiapan menghadapi Ramadan.

Maidatul Rahman

Satu lagi suasana Ramadan yang cukup indah bagi saya ialah Maidatul Rahman yang diamalkan di Mesir iaitu sebuah majlis berbuka puasa dan hidangannya disediakan untuk semua orang tidak kira usia dan darjat. Kebanyakannya anda boleh lihat diadakan di tepi-tepi jalan dengan didirikan khemah atau kanopi yang ditulis ‘Maidatul Rahman’.

Maidatul Rahman ini merupakan sebuah nikmat buat fakir miskin yang susah untuk mendapatkan makanan, buat para musafir serta sesiapa sahaja yang berhajat kerana juadah berbuka dihidangkan secara percuma selama sebulan. Di Malaysia, aktiviti seperti ini ada tetapi kebiasaannya diadakan di tempat tertutup seperti hotel, masjid dan rumah-rumah yang mungkin untuk satu hari atau lebih berbeza dengan Maidatul Rahman, diadakan untuk sepanjang bulan Ramadan dan di tempat terbuka, untuk sesiapa sahaja yang lalu di sekitarnya dan percuma!

Kebiasannya juadah berbuka yang dihidangkan adalah sumbangan dari warga tempatan yang kaya, mereka menyambut seruan sunnah Nabi Muhammad SAW iaitu pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa itu. Berturutan dengan hadis ini, selain Maidatul Rahman, sekiranya anda dalam perjalanan ke mana-mana di Mesir ketika waktu lebih kurang sejam menghampiri berbuka, akan ada edaran minuman, kurma dan juga makanan yang dibahagikan kepada kenderaan yang melalui jalan tersebut. Terasa nikmat berkongsi rezeki sesama umat Islam dan kesungguhan mereka menghidupkan anjuran Rasulullah SAW berkenaan mendapat pahala dalam memberi.
Kejut Sahur

Satu lagi tradisi masyarakat di sini yang penulis agak terkejut ketika kali pertama berpuasa di Mesir ialah tradisi mengejutkan dari tidur untuk sahur. Mereka yang melakukan perkara ini dinamakan sebagai ‘musahharati’. Kebiasaannya musahharati akan bertugas mengejutkan sahur dengan cara mengetuk alat muzik seakan-akan kompang atau tin yang boleh mengganggu tidur sambil melaungkan suara yang kuat dan lantang menyeru untuk bangun.

Ketukan akan bermula sekitar jam 2.00 pagi dari lorong ke lorong. Inilah cara mereka untuk membantu supaya mudah bangun untuk bersahur kerana pada sahur itu ada keberkatannya. Namun begitu, alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan ketukan dan laungan tersebut mungkin mampu anda hiraukan, akan tetapi kejarlah keberkatan sahur walaupun dengan hanya seteguk air, insyaAllah menambahkan kekuatan untuk berpuasa kerana Allah SWT.

Sebelum terlupa, puasa di Mesir mengambil masa lebih kurang 15 hingga 16 jam yang mana lebih panjang berbanding tanah air tercinta kita, Malaysia. Oleh itu, kita akan mempunyai banyak waktu lapang bagi yang tidak menghadapi peperiksaan. Maka bolehlah sama-sama menyusun hari kita untuk memanfaatkan waktu yang ada samada dengan memperbanyak tadarus dan tadabur al-Quran, boleh juga mendengar bacaan imam-imam di Masjidil Haram untuk solat tarawih dan yang lain, hadir ke kelas tafakuh yang disediakan atau bersama dengan syeikh yang dipercayai, mengikuti program-program yang dianjurkan, membaca buku pengajian bagi yang mempunyai peperiksaan dan membaca buku ilmiah bagi yang tidak menghadapi peperiksaan di samping menambahkan ilmu pengetahuan yang lain. Suhu ketika ini juga agak mencabar, jadi jangan lupa untuk menjaga diri dengan persiapan yang sepatutnya.

Penutup

Sempena kedatangan Ramadan, hendaklah kita menghidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh di samping menjauhi segala bentuk maksiat. Jangan biarkan puasa kita sekadar berlapar dahaga di dunia sahaja, hilang ganjaran di sisi Allah SWT. Jangan malu untuk belajar apatah lagi bertanya agar kualiti puasa kita tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Jika perkara dunia kita mahukan yang terbaik, maka sepatutnya juga untuk perkara akhirat.

Andai dipanjangkan umur oleh Allah untuk Ramadan akan datang, ingin penulis merasa lagi berpuasa di Mesir. Andai sepuluh tahun akan datang tulisan ini masih kekal, penulis berharap kenangan yang ada akan berulit semula dan nostalgia Ramadan di Mesir bermain di ruang mata. Selamat menyambut Ramadan yang bakal tiba.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *