بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

9 Julai 2017- Sebuah pertemuan rasmi telah diadakan antara wakil daripada PERUBATAN Cawangan Mansurah dan wakil pelajar pergigian bersama wakil Dekan Fakulti Pergigian Universiti Mansurah bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pelajar pergigian.

Salah satu isu utama yang dibincangkan adalah berkaitan program Dentistry Manchester bagi pengajian pergigian baru yang akan bermula pada awal September tahun ini.

Saudari Rushazlene Ameera binti Rosli selaku Timbalan Pengerusi PCM ditemani oleh wakil pelajar pergigian, Nur Ikmalina Shifa binti Maarof, tahun 4 kuliah pergigian telah menanyakan beberapa persoalan tentang sistem program baharu ini dan kelebihannya berbanding dengan program pengajian kursus pergigian yang telah sedia ada.

Dr. Aberr, Pengarah Program Dentistry Manchester telah menerangkan sistem pengajian pergigian Manchester ini sebagai sistem yang mempraktikkan ‘Enquiry Based Learning’ (EBL) iaitu silibus pembelajaran yang menggunakan kes pada setiap minggu serta kelas kuliah, pengajian klinikal di makmal serta beberapa penilaian mingguan yang dijalankan mengikut silibus yang ditetapkan seperti pembentangan poster dan latihan praktikal (OSPE).

Namun demikian, pihak PCM telah menegaskan kepada pihak fakulti bahawa semakan perlu dilakukan kepada pihak Education Malaysia Egypt (EME) untuk memastikan program baharu ini tidak menjejaskan akreditasi sedia ada kepada Fakulti Pergigian Universiti Mansurah.

Pihak PCM akan membawa isu akreditasi program pergigian Manchester ini kepada pihak Education Malaysian Egypt untuk mendapatkan respon bagi langkah yang selanjutnya berhubung kelayakan pengiktirafan program ini.

Pihak fakulti juga bersedia untuk memberi kerjasama dalam menyediakan draf supaya program ini dapat disertai pelajar Malaysia untuk sesi pengajian baharu kelak.

Pihak PCM juga menasihati kepada pelajar khususnya pelajar baharu sesi akan datang untuk berhubung dengan pihak PCM atau EME berkaitan dengan program ini terlebih dahulu.

Selain itu, peluang ini juga diambil oleh wakil pelajar pergigian yang turut hadir iaitu saudari Raihana dan Nur Fariha bagi menyampaikan masalah yang dihadapi pelajar pergigian terutamanya berkaitan sijil tamat pengajian, penganjuran hari graduasi tahun akhir pergigian dan kelas musim panas bagi pelajar pergigian yang merupakan salah satu perkara wajib untuk disertai sebelum tamat pengajian.

Koordinator Pelajar Fakulti Pergigian berkaitan pelajar antarabangsa iaitu Dr Menatalla M. El Hindawy telah menerangkan bagi isu sijil tamat pengajian, sijil tersebut hanya boleh diambil oleh pihak yang bertanggungjawab sahaja untuk memegang dan menyampaikan sijil-sijil tersebut setelah semua pelajar pergigian selesai menghabiskan satu tahun latihan klinikal sebagai doktor pelatih.

Selain itu, perkara berkaitan dengan penganjuran graduasi tahun akhir akan ditunda kepada akhir bulan September atas faktor ketiadaan dan kesibukan pensyarah dan pentadbiran fakulti di universiti pada bulan Julai dan Ogos serta memberi peluang kepada keputusan peperiksaan bagi pelajar mengulang untuk diumumkan terlebih dahulu.

Masalah lain yang dihadapi pula bagi pelajar pergigian ialah kelas latihan klinikal pada musim panas yang diadakan secara tiba-tiba. Hal ini menyebabkan pelajar tidak dapat hadir ke kelas tersebut kerana sebahagian besar pelajar telah menempah awal tiket pulang ke tanah air untuk cuti musim panas.

Oleh itu, Dr Menna telah bersetuju untuk menukar waktu kelas tersebut kepada tarikh lain yang akan dipersetujui oleh Dr Menna sendiri dan pelajar pergigian lain.

Semoga dengan pertemuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar pergigian dan seterusnya mengeratkan hubungan yang terjalin bersama pihak pentadbiran Fakulti Pergigian. Jutaan terima kasih kepada pihak Fakulti Pergigian atas kesudian menerima kunjungan dan mendengar isu yang dibangkitkan.

Pihak PCM turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan PCM sebagai sebuah persatuan induk pelajar Malaysia di Mansurah kepada fakulti pergigian dan pihak fakulti menyambut baik pengenalan tersebut.

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

#PCMOneBigFamily

 

 

 

 

 

 

Rushazlene Ameera binti Rosli

Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *