[SUMMER BLAST | CATATAN DARI BUMI ISKANDARIAH]
Iskandariah, 16 OGOS: PERUBATAN Cawangan Mansurah di bawah kelolaan Biro Sukan & Aktiviti Luar telah menganjurkan ‘Alexandria, I’m Coming!’ khusus buat mahasiswi yang berada di Mesir sewaktu cuti musim panas. Tujuan jaulah ke Iskandariah ini diadakan adalah untuk mengisi masa lapang mahasiswi dengan menikmati kebesaran Allah sekaligus merapatkan ukhuwah antara ahli di Mansurah.

Jaulah ini telah mendapat pengisian yang hebat dan mantap oleh pengisi jemputan daripada pelajar perubatan tahun 6 Universiti Iskandariah iaitu Kamil Hadi bin Mohamad Noor Daim. Bertepatan dengan firman Allah S.W.T: ( سنريهم اياتنا في الافاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق ) Maksudnya: ” Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. (Surah Fushshilat,ayat 53)

Seramai 12 orang mahasiswi dan 2 orang musyrif telah menyertai jaulah ini. Peserta bertolak ke Iskandariah pada pukul 7 pagi. Perjalanan memakan masa lebih kurang 3 jam setengah dan kami tiba di tempat yang dilawati tepat pada masanya. Destinasi pertama iaitu Pompey’s Pillar ataupun dikenali sebagai Tiang Pompei. Ia adalah salah satu monumen purba yang tertinggi di Iskandariah, Mesir di bawah pemerintahan kerajaan Greek dan Roman.

Tempat seterusnya, iaitu Catacomb yang merupakan kubur rakyat Mesir Purba sewaktu tamadun awal dahulu. Tempat ini dikatakan telah dijumpai oleh seekor keldai yang jatuh ke dalam telaga dan keldai itu pun mati. Selain itu, Catacomb ini telah menempatkan kubur kaum kerabat firaun dan rakyatnya.

Seterusnya, kami telah melawat Kubu Qaitbay yang terletak berhampiran dengan laut Mediterannean. Kubu ini dibina daripada  bekas runtuhan rumah api Pharos (satu daripada 7 benda ajaib dunia purba) yang telah runtuh keseluruhannya kali ketika gempa bumi pada kurun ke 14. Ianya telah dibaiki oleh Sultan Ahmad bin Tulun ketika itu. Sultan Al-Asyraf Sayf al Din Qaitbay (dari kerajaan Mamluk) kemudian membina kubu ini pada tahun 1480 bagi mengalahkan serangan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Kemudian, kami menuju ke Library Alexandaria. Perpustakaan ini merupakan perpustakaan terbesar di Africa dan telah memuatkan sebanyak 8 juta buah buku. Disini juga terdapat Muzium Antik dan Muzium Manuskrip tamadun awal. Seterusnya menziarahi maqam para Ulama’ dan Auliya’ seperti maqam Imam Busairi, Imam Abu Siri, Imam Abu Abbas dan lain-lain lagi. Disamping mendengar kisah hidap para wali ini, peserta sempat bertawasul dan berdoa kepada mereka.

Destinasi terakhir kami ialah City Centre, di mana peserta bebas untuk melakukan sebarang aktiviti di sana. Semua peserta berasa amat gembira dengan jaulah yang telah diadakan. Ucapan jutaan terima kasih daripada PERUBATAN Cawangan Mansurah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti Jaulah Iskandariah yang telah direncanakan ini. Semoga jaulah yang telah diadakan ini dapat mengerat dan mengukuhkan lagi ukhuwah sesama mahasiswi ahli dan akan terus kuat bagi meneruskan perjuangan Islam.

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

#PCMOneBigFamily

Biro Sukan & Aktiviti Luar,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *