Sumber Gambar : Google

 

Segala sesuatu akan ada pengakhirannya. Setiap kisah, ada penutupnya. Manusia datang, kemudian mereka pergi. Awalnya mereka mengucapkan salam pertemuan, lalu kemudian mereka berlalu dengan perpisahan. Hal demikian terjadi pada setiap orang, tidak terkecuali Rasul kita Muhammad SAW. Baginda datang dengan risalah dari sisi Rabnya, setelah sempurna apa yang diperintahkan kepada baginda. Saat itulah baginda kembali menuju Allah SWT.

 

Dalam perjalanan hidup Nabi SAW, salah satu peristiwa besar yang menjadi perpisahan baginda  dengan umatnya adalah peristiwa haji wada’ iaitu haji perpisahan.

 

Pada akhir tahun 10 Hijriah tampaklah beberapa tanda yang menunjukkan bahawa ajal Rasulullah SAW telah dekat. Hal ini merupakan salah satu bentuk rahmat dan kasih sayang Allah kepada kaum muslimin. Dengan tanda-tanda tersebut mereka boleh mempersiapkan jiwa mereka untuk menerima suatu musibah berat yang akan menimpa mereka kerana tidak ada musibah yang lebih berat bagi para sahabat melebihi musibah ditinggal oleh Rasulullah SAW.

 

Di antara tanda-tanda tersebut ialah tertakluknya Kota Mekah,  keislaman tokoh-tokoh Bani Tsaqif di Thaif, kedatangan delegasi dan utusan negara-negara bukan Islam menuju Madinah untuk memeluk Islam dan lain-lain. Ini beberapa tanda yang menunjukkan sudah dekatnya ajal Rasulullah SAW.

Imam an-Nasai’ meriwayatkan dalam kitab Tafsirnya, bahawa Ibnu Abbas mengatakan tentang surat an-Nashr ini: “Ketika diturunkan, ia (surat an-Nashr) mengkhabarkan wafatnya Rasulullah SAW. Maka baginda lebih meningkatkan ketekunan dalam urusan akhirat” (Tafsir an-Nasai’).

 

Pada bulan Zulkaedah tahun 10 Hijriah, Rasulullah

SAW mempersiapkan diri untuk menunaikan haji yang pertama sekaligus yang terakhir dalam kehidupan baginda yang kemudian dicatat sejarah dengan istilah haji wada’. Rasulullah SAW menyeru kaum muslimin dari pelbagai kabilah untuk menunaikan ibadah haji bersamanya. Diriwayatkan, jemaah haji pada tahun itu berjumlah lebih daripada 100,000 orang bahkan lebih.

 

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah menuju Mekah pada tanggal 5 Zulkaedah. Baginda  berangkat setelah menunaikan solat Zohor dan sampai di Dzil Hulaifah sebelum Asar. Di tempat itu, baginda kemudian mengenakan pakaian ihram.

 

Setelah menempuh beberapa hari perjalanan, sampailah Rasulullah SAW di tanah kelahirannya iaitu tanah suci Mekah al-Mukaramah. Baginda bertawaf di Ka’bah, setelah itu sa’i antara Shafa dan Marwa.

 

Pada tanggal 8 Zulhijjah 10 Hijriah, Rasulullah SAW berangkat menuju ke Mina. Baginda solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak di sana. Kemudian bermalam di Mina dan menunaikan solat Subuh juga di tempat itu.

 

Setelah matahari terbit, baginda berangkat menuju Arafah. Setelah matahari mulai bergeser, condong ke Barat, Rasulullah SAW mulai memberikan khutbah.

 

Di Padang Arafah, segala puji kepada Allah dan selawat bergema ketika Rasulullah SAW berdiri untuk memulai khutbah.

“Wahai umat manusia, dengarkanlah yang akan aku katakan di sini. Mungkin saja setelah tahun ini, aku tidak akan bertemu lagi dengan kalian di tempat ini, untuk selamanya.”

Mendengar ucapan Rasulullah SAW, sebahagian pengikutnya berasa hairan, sebahagian lagi tertunduk sedih, sebahagian lagi terdiam menanti perkataan Rasulullah SAW yang seterusnya.

Karana Haji Wada’ disebut juga haji perpisahan atau terakhir bagi Rasulullah SAW, kaum Muslim yang berada di Arafah kala itu, begitu tekun mendengar khutbah Rasulullah SAW. Mereka ingin semua pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW terserap ke dalam hati sanubari sebagai bekal di kemudian hari. Apalagi Rasulullah SAW dalam khutbahnya mengingatkan dirinya kemungkinan tidak akan bertemu lagi dengan mereka setahun lagi.

Rasulullah SAW berkata,”Tahukah kalian, bulan apa ini?”

Mereka serentak menjawab, ”Bulan Haram” …..

Rasulullah SAW kemudian menyambung khutbahnya..

Isi khutbah Rasulullah SAW yang disampaikan secara ringkas dapat dikemukakan sebagai berikut:

  1. Setiap manusia secara peribadi bertanggungjawab atas segala tindakannya.
  2. Keselamatan jiwa dan harta benda menjadi syarat penting dalam membangun kemakmuran dan ketenteraman dunia.
  3. Amanah dan kepercayaan baik moral ataupun material harus dijaga dan dipelihara.
  4. Riba dalam pelbagai macam bentuknya yang mengakibatkan penindasan terhadap kaum yang lemah dilenyapkan.
  5. Penegasan tentang  hak-hak wanita serta hak dan kewajiban suami istri.
  6. Penegasan bahawa seorang muslim dengan lainnya adalah bersaudara kerana itu harus saling bantu membantu.
  7. Penghapusan perbezaan yang ditimbulkan oleh perbezaan bangsa, warna kulit dan perbezaan kedudukan sosial dan lain-lain.

Amanat itu disampaikan sehingga menusuk ke hati-hati setiap yang mendengar. Terpegun, hiba, sayu berkocak di hati sehingga menitis air mata mereka yang hadir. Inilah Haji Akbar, merupakan Haji Perpisahan yang amat besar ertinya buat Rasulullah SAW, Islam dan umatnya.

Sumber :

  1. Sirah Nabawiyah karangan Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan Al Buthy.

 

  1. http://kisahmuslim.com/4648-haji-wada-perpisahan-rasulullah-dengan-umatnya.html

 

  1. http://www.tongkronganislami.net/memahami

 

Azlin Amalin binti Ahmad
Tahun 4 Manchester

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *