Aku membuka mataku,

dan menyedari suatu hakikat.

Aku belum di SyurgaNya lagi,

maka kerjaku belum selesai!

 

Umat Islam kini menjengah tahun hijrah yang ke-1439. Bermakna juga telah jauh lamanya, Nabi Muhammad SAW, Nabi kesayangan umat ini meninggalkan kita. Sepanjang itu jugalah, pelbagai lipatan peristiwa ditempuhi oleh umat dalam meneruskan risalah Muhammad SAW.

Sejarah demi sejarah telah dilalui oleh sesebuah bangsa mahupun umatnya. Banyak juga kisah yang telah dilewati, namun sedikit sangat antara kita yang menyedari, bahkan sedikit juga yang cuba untuk mencari erti yang terkandung dalam setiap lipatan sejarah yang pernah dilalui umat ini.

Walhal, Allah SWT tidak pernah mentakdirkan sesuatu peristiwa itu sebagai sia-sia, bahkan pastinya adanya ibrah disebaliknya. Pengajaran yang terpapar walaupun secebis patut diambil dan diingati untuk dijadikan pedoman sepanjang hidup. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya dalam kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”

( Yusuf : 111 )

Begitu jugalah dengan sirah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Cukup banyak yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebagai sebuah sosok melawan kebatilan jahiliah dan pembawa obor perubahan umat. Antara peristiwa yang memberi kesan besar kepada perjalanan hidup Rasulullah SAW tentulah peristiwa hijrah dari kota Makkah ke kota Madinah.

Perjalanan hijrah Rasulullah SAW itu bukannya mudah. Perjalanan yang dipenuhi perjuangan, tentangan dan amat berat untuk dilalui, telahpun diharungi dengan kecekalan Rasulullah SAW. Kesemuanya demi untuk terus menuju ke tapak yang ampuh dalam proses membina negara Islam yang pertama.

MARI MENJADI LEBIH BAIK

Pengertian hijrah dapat difahami secara mudah sebagai berpisah atau berpindah. Berpindah dalam erti kata beralih dari satu tempat ke tempat yang lain.

Namun, erti hijrah itu perlu diluaskan dengan makna yang lebih besar iaitu satu perubahan secara holisitik yang melibatkan perubahan sikap dan karakter, menyingkirkan fahaman selain Islam daripada hati, melapangkan hati sepenuhnya untuk akidah Islam yang tulen dan menggantikan perilaku yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Islam sentiasa mengajar umatnya supaya setiap hari yang dilalui itu perlulah menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya. Hijrah juga merupakan simbol kepada iman yang sejati. Perubahan yang dituntut dalam hijrah diri pastinya untuk kembali semula kepada nilai-nilai Islam dalam segenap aspek kehidupan serta mengukuhkan kepercayaan bahawa nilai Islam sebagai penyelesaian kepada setiap masalah umat.

Perubahan yang hendak dilakukan itu pastinya bukan mudah. Ujian yang dihadapi setiap individu dalam berjuang untuk berubah pastinya berbeza. Namun, berbekalkan keazaman dan kesungguhan, hati yang berkarat sekarat-karat jahiliah masih tidak mustahil untuk digilap bersinar semula.

Dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tercatat satu sirah yang menceritakan ujian besar kepada Suhaib al-Rumi. Sahabat Nabi SAW ini menghadapi tekanan yang cukup hebat untuk berhijrah. Semasa beliau hendak bertolak untuk berhijrah bersama harta bendanya, tiba-tiba beliau dihalang oleh orang Musyrikin Mekah. Mereka berkata,

“kamu datang ke tempat kami dalam keadaan papa dan hina, setelah kamu berharta, kamu mahu meninggalkan negeri ini dengan dirimu dan hartamu pula?”

Suhaib al-Rumi menjawab dengan yakin,

“bagaimana kalau aku serahkan harta ini? Adakah kamu akan benarkan aku pergi?”

Kepercayaan akidah yang kukuh dalam diri Suhaib al-Rumi menjadi punca kesungguhan beliau untuk menurut seruan hijrah walaupun terpaksa meninggalkan kemewahan yang selama ini penat dicari.  Sehingga Allah SWT menurunkan wahyu,

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah dan Allah itu Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya”

( al Baqarah: 207 )

MEDAN MUHASABAH DIRI

Tahun baru hijrah yang saban kali disambut ini sewajarnya memupuk momentum untuk terus melakukan introspeksi kepada diri. Jangan sekali-kali berasa jemu untuk sentiasa merenung tentang perubahan yang mahu dilakukan.

Dalam konteks hidup bermasyarakat, tidak cukup perubahan itu berlaku pada diri sendiri sahaja. Sebaliknya, tanggungjawab yang lebih besar untuk mengislah masyarakat yang tenat terus menanti. Sebagaimana yang tertulis dalam sirah Nabi SAW, hijrah Baginda merupakan satu titik baru kepada pengembangan dakwah dalam membina kondisi masyarakat yang lebih baik.

Begitu jugalah dengan tuntutan hijrah itu sendiri. Hikmah yang luar biasa dalam tuntutan hijrah bermula dengan hijrah membaiki diri individu dalam menjauhi perbuatan yang kotor dan dilarang. Dalam masa yang sama, mestilah berusaha untuk menghijrahkan orang lain juga baik ahli keluarga, jiran tetangga seterusnya lingkungan masyarakat yang lebih besar.

Allah SWT memberi jaminan kepada mereka yang berhijrah dengan firman-Nya,

“Dan barangsiapa berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di muka bumi tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian ia ditimpa kematian(sebelum sampai ke tempat hijrah), maka sesungguhnya telah tetap pahala di sisi Allah dan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”

( an-Nisa’ : 100 )

KITA UMAT YANG TERBAIK

Hijrah juga merupakan momentum perjalanan menuju tegaknya nilai-nilai Islam yang membentuk susunan masyarakat yang baharu. Perjalanan yang bermula dengan perubahan diri sendiri, berkembang menjadi sebuah keluarga dengan acuan Islam, mempengaruhi pembentukan masyarakat Muslim sehinggalah kepada tingkatan Islam sebagai ustaziatul alam.

Moga-moga kita terus tergolong dalam keberadaan manusia yang terbaik, sebagaimana disebut oleh Allah SWT,

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, melakukan seruan perkara yang baik (amar makruf) dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah…”

( Ali Imran:110 )

sumber

Memetik kata-kata Hamka,

“Biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, namun, cita-cita manusia tidak pernah padam”

Selamat memaknakan tahun baharu hijrah kita!

 

Penulis

Muhammad Fayyadh bin Md Amin

Tahun 5 Perubatan Manchester

Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 Inspirasi

  1. al-Quran
  2. Fiqh Al-Harakah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *