بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W

 

“Barangsiapa menempuh suatu jalan mencari ilmu padanya, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke Syurga.”

 

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dikurniakan ruang dan peluang di atas muka bumi-Nya untuk terus bernafas dan bergerak dalam mencari keredaan Sang Pencipta. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W berserta keluarga dan para sahabat Baginda.

 

Melalui potongan hadis di awal ini, dapatlah kita memahami sesungguhnya Allah S.W.T menjanjikan ganjaran dan darjat yang tinggi kepada penuntut ilmu. Tiadalah sebaik-baik ganjaran itu melainkan syurga Allah yang kekal abadi. Satu tawaran yang menarik daripada Allah S.W.T untuk hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam perjalanan menuntut ilmu kerana kita tahu jalan menimba ilmu itu bukannya satu perkara yang mudah.

 

Proses menimba ilmu itu memerlukan satu usaha dan daya yang padu kerana menempuhi jalan ini pastinya akan berdepan dengan pelbagai ujian dan dugaan. Maka, setiap penuntut ilmu pastinya perlu dibekalkan dengan mujahadah yang tinggi supaya sentiasa dimudahkan oleh Allah S.W.T.

 

Mulakan sesi pengajian baharu ini dengan membulatkan tekad dan azam yang jitu untuk membuat yang terbaik dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan yang lalu.  Cuba untuk mengenal pasti kelemahan terdahulu dan jadikan ia sebagai medan untuk menambah kekuatan diri dalam membentuk jiwa pelajar sains kesihatan acuan universiti di Mesir yang kental jati diri dan sentiasa berdaya maju.
Sentiasa menanam hasrat dalam melatih diri untuk memenuhkan kehadiran ke kuliah, mencuba sehabis baik untuk hadir awal ke kuliah, berpakaian kemas dan tampak segak sebagai ciri doktor muslim yang berjaya. Pastikan diri sentiasa menetapkan fokus di dalam kelas dan menjaga adab menuntut ilmu dengan menghormati pendidik yang berada di hadapan. Sesungguhnya keberkatan dalam belajar itu amat penting untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat.

 

“…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” – an Nahl ayat 43

 

Cuba untuk merajinkan diri untuk mengulang kaji pelajaran dan didik diri supaya tidak segan untuk bertanya sekiranya tidak tahu! Semua ahli digalakkan untuk sentiasa berkongsi ilmu dalam pelbagai cara samada melalui kumpulan belajar mahupun perkongsian nota dan sebagainya.

 

Semua ahli juga digalakkan untuk menyertai kelas tambahan sekiranya ada sebagai persiapan untuk memantapkan pemahaman. Pihak Biro Akademik menyediakan platform seperti kelas tutorial STAR untuk sama-sama mengulang kaji pelajaran dengan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman.

 

Paling penting, kefahaman menuntut ilmu bukan sekadar ilmu di kuliah sahaja sebaliknya skop ilmu perlu dibuka dengan lebih luas melalui aktiviti luar daripada kuliah tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai seorang pelajar. Memetik kata-kata Pak Hamka,

 

“Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”

Ingatlah, kejayaan itu mungkin tiba tanpa dijangka, tetapi kegagalan itu boleh disangka!

 

 

Selamat kembali ke kuliah diucapkan kepada semua pelajar Sains Kesihatan yang berada di bumi Mansurah ini.  Berikut merupakan tarikh mula kuliah bagi fakulti di Universiti Mansurah.

 

Jurusan farmasi                 : 16 September 2017

 

Jurusan pergigian             : 16 September dan awal Oktober

 

Jurusan perubatan (Manchester)

Tahun 1 dan 2                    : 25 September 2017 (Induksi pada 17 September 2017)

Tahun 3                                : 27 September 2017 (Induksi pada 17 September 2017)

Tahun 4                                : 16 September 2017

Tahun 5                                : 18 September 2017

Tahun 6                                : 16 September 2017

 

Jurusan perubatan (konvensional)

Tahun 4                                : Awal Oktober

Tahun 6 (baharu)             : Awal Disember

 

Marilah kita bersama-sama menanam azam baru serta membulatkan tekad dalam diri untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan sekali-kali tidak akan mengabaikan atau meninggalkan adab-adab ketika menuntut ilmu dalam melahirkan mahasiswa sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten.

 

Semoga kalian dipermudah segala urusan dalam perjalanan menuntut ilmu pada tahun ini. Sekian.

 

#PCMOneBigFamily

 

“Achieve the Highest, Improve Others”

 

 

 

 

 

 

Muhammad Faris bin Mohd Mokhlis

Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 17/18.

 

 

 

 

 

 

Nor Farhana binti Hanaffi Musa

Timbalan Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 17/18.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *