Asyhurul Hurum dikenali sebagai bulan-bulan yang dihormati mengandungi empat bulan iaitu Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah (Arba’atu Asyhur). Mulianya bulan-bulan tersebut kerana terdapat penekanan larangan melakukan perbuatan haram malah dianjurkan untuk memperbanyak ketaatan dan kualiti ubudiyah kepada Allah SWT.

Cantik susunannya, tersimpan satu hikmah yang indah. Muharram bulan pertama Islam, Rejab di pertengahan, Zulkaedah & Zulhijjah di pengakhirannya. Awalnya 1 bulan Haram, di tengahnya 1 bulan Haram, di akhirnya 2 bulan Haram. Menunjukkan amalan ada turun naiknya, namun semoga ianya berakhir dengan amalan soleh, tetap istiqamah dan meningkat kebaikannya. Menggambarkan sebaik-baik amalan adalah di pengakhirannya (Al-a’malu bil khowatim), juga husnul khotimah menjadi dambaan orang beriman. Zulhijjah juga merupakan tarbiah Allah untuk kita kembali bersemangat beribadah setelah berpisah dua bulan dengan Ramadhan.

Petikan Menarik Daripada Al-Hajj

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ (37)

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kalianlah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kalian supaya kalian mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kalian. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

Surah Al-Hajj adalah di antara surah-surah yang ajaib, mengandungi 78 ayat, ada ayat yang diturunkan di Mekah dan ada di Madinah. Bersesuaian dengan bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar islam, Surah Al-Hajj juga terkandung di dalamnya ayat pensyariatan dua syiar Islam iaitu ibadah Haji dan ibadah Korban.

Asbab Nuzul, Al-Hajj : 37

Masyarakat Arab jahiliyyah kebiasaannya melakukan korban buat berhala-berhala mereka (Al-Lata, Al-Uzza, Manat dan lain-lain). Mereka meletakkan dan memercikkan darah haiwan korban kepada patung-patung penyembahan tersebut.
Setelah hadirnya Islam, para sahabat melihat orang jahiliyyah membawa binatang korban ke Baitullah lalu mengatakan “Kami lebih berhak melakukan hal demikian!”. Maka turunlah ayat ini menegur para sahabat Rasulullah. Allah mengajarkan supaya sentiasa mengagungkanNya serta menyebut namaNya dikala melakukan ibadah korban (juga sembelihan biasa). Allah tidak menerima amalan syirik jahiliyyah tersebut malah mengingatkan reda Allah dan balasan kebaikan hanya bagi mereka yang bertakwa dan ikhlas dalam amalan.

Bertepatan dengan sebuah hadis yang menyebutkan:

“إِنَّ الصَّدَقَةَ تَقَعُ فِي يَدِ الرَّحْمَنِ قَبْلَ أَنْ تَقَعَ فِي يَدِ السَّائِلِ، وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ”

Sesungguhnya sedekah itu benar-benar diterima di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah sebelum sedekah itu diterima oleh tangan pemintanya. Dan sesungguhnya darah (haiwan kurban) itu benar-benar diterima di sisi Allah sebelum darah itu menyentuh tanah.

Diakhirnya Allah menyatakan khabar gembira bagi mereka yang berbuat kebaikan, menegakkan hukum-hakam dan batasan Allah, mengikut apa yang disyariatkan serta membenarkan segala sesuatu yang disampaikan oleh Rasulullah dari sisi Allah.

Hikmah & Pengajaran Ayat

1.Pengabdian diri dan tunduk ikhlas hanya kepada Allah.

Allah tidak melihat kepada bentuk paras rupa dan harta, tetapi yang dilihat hanyalah hati serta amal perbuatan kita. Ikhlas dengan erti kata kita tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain, merangkumi kesemua jenis syirik sama ada dengan tawajjuh (mengharap selain Allah) atau isti’anah (meminta pertolongan selain Allah).

2.Telusuri Sirah Rasulullah, sahabat juga Nabi-nabi terdahulu.

‘شرع من قبلنا شرع لنا’
‘Apa yang disyariatkan kepada orang terdahulu, disyariatkan juga kepada kita.’

Hayati perjalanan dan pengorbanan mereka sebagai penguat semangat dalam menempuh jalan dakwah ini. Habil dan Qabil masing-masing mempersembahkan korban, diterima sembelihan Habil kerana pengorbanannya Lillah (untuk Allah) namun ditolak sembelihan Qabil kerana pengorbanannya linnisa'(untuk perempuan). Kisah lain, Nabi Ibrahim diuji lambat mendapat zuriat, berjauhan lama dengan isteri kesayangan dan anak kecilnya malah perlu menyembelih Nabi Ismail. Manusia paling berat ujiannya adalah para Nabi, seterusnya orang yang mengikutinya, dan seterusnya orang yang mengikutinya.

3.Kewajipan menegakkan syariat perundangan Islam.

Yahudi dan nasrani, musuh Islam tidak akan reda sehingga kita mengikuti ajarannya.
Serangan fizikal dan pemikiran dilancarkan sehingga timbul pelbagai ideologi yang bercanggah daripada ajaran Islam. Nampak baik luarannya sebaliknya beragenda menjatuhkan martabat Islam. Fikrah umat Islam malahan pemerintah kian dijajah. Kita semua perlu istiqamah di jalan Islam. Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah. Kita sedang bergerak ke akhirat. Julanglah Islam walau di mana kita berada. Belajarlah daripada golongan As-Sabiqun, mereka yang lebih awal memeluk Islam seperti Saad Bin Muaz & pemuda kahfi.
Reda serta pujian Allah dan Rasulullah dengan kata-kata “Engkau telah menjalankan hukuman dengan hukuman Allah” kepada Saad bin Muaz Bani, hakim terhadap pembelotan Bani Quraizah bersekutu dengan tentera Al-Ahzab. Pemuda kahfi pula berjuang mempertahankan aqidah berhadapan Raja Diqyanus diberikan keistimewaan dan karamah dilelapkan di dalam gua beratus tahun lamanya malah kisahnya termaktub jelas dalam Al-Quran.

افضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان جاءر

“Jihad yang utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim “.

Muhammad Saiful Amin bin Mohd Shakri
Tahun 5 Manchester

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *