بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan pada hari ini untuk mengecapi nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam juga ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (2:261)
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Sejajar dengan permulaan sesi pengajian yang baharu, PERUBATAN Cawangan Mansurah di bawah kelolaan Jabatan Bendahari akan menjalankan kutipan yuran tahunan PERUBATAN.

Kutipan akan diadakan secara kolektif yang merangkumi tiga jenis kutipan iaitu sumbangan Tabung Kasih Sayang (TKS), yuran markas dan yuran PERUBATAN. Sistem ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan penindanan kutipan yang pelbagai, seterusnya mengurangkan beban ahli melalui kutipan secara kolektif. Yuran PERUBATAN adalah sebanyak 20 Egyptian Pound, yuran markas adalah 10 Egyptian Pound manakala bagi Tabung Kasih Sayang (TKS) sumbangan yang digalakkan adalah sebanyak 20 Egyptian Pound yang menjadikan jumlah kutipan sebanyak 50 Egyptian Pound sahaja.

Seperti yang termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN Fasal 8, Perkara 1 yang menyebut;

Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran keahlian sebanyak 5 (lima) Egyptian Pound dan yuran tahunan sebanyak 20 (dua puluh) Egyptian Pound.

Hasil kutipan yuran ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan tahunan PERUBATAN. Di sini ingin diingatkan bahawa ahli yang telah membayar yuran sahaja yang layak untuk mengundi dan menghadiri Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan (MTC) dan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT).

Dengan ini diumumkan bahawa fasa kutipan yuran bagi PERUBATAN Cawangan Mansurah akan diadakan bermula 20 Oktober 2017 dan berakhir ketika hari pengundian Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Bayaran boleh dijelaskan kepada Bendahari Organisasi Batch masing-masing. Setiap bayaran yang dilakukan akan disertakan resit sebagai bukti.

Kerjasama daripada pihak anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga keterlibatan semua ahli dapat memberi manfaat yang besar dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan Mansurah yang tercinta, di samping dapat menjadi saham amalan kebaikan kita di akhirat kelak.

Siiru ‘Ala Barakatillah. Sekian, terima kasih.

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

 

 

 

 

 

 

 

Abdullah Zahid bin Zaini
Ketua Jabatan Bendahari,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 

 

 

 

 

 

Nur Amirah Fazira binti Zulkifli
Timbalan Ketua Jabatan Bendahari,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *