بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam atas segala nikmat iman dan Islam yang telah dikurniakan kepada kita sebagai bekalan menempuhi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas usaha Baginda, sehingga hari ini kita masih menikmati keindahan Islam yang sebenar-benarnya.

Telah berkata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala,

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajipan agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.” Hal ini seiring dengan sabda baginda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maksudnya, “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka lantiklah dalam kalangan mereka seorang untuk menjadi ketua.”

Allah SWT telah menurunkan agama Islam sebagai agama yang benar dan paling sempurna. Melalui wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah SAW, Allah SWT mengatur segala hal dalam urusan setiap hamba-Nya termasuk di dalamnya urusan kepimpinan dan sistem kepimpinan. Kepimpinan adalah satu aspek yang penting dalam sesebuah organisasi dan juga masyarakat. Pimpinan bertanggungjawab membantu dalam mengurus tadbir urusan dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan atau kebenaran. Ia seiring dengan tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, mentadbir dunia dengan kebaikan dan menegakkan syiar Islam di muka bumi.

 

Sehubungan dengan itu, di peringkat Naib Pengerusi PCM dan Majlis Ketua Batch (MKB) PERUBATAN Cawangan Mansurah bakal mengadakan pemilihan ketua batch dan timbalan ketua batch bagi sesi pengajian yang baharu. Pemilihan ini bakal diadakan sepanjang Oktober mengikut teknikaliti organisasi batch masing-masing.

Namun begitu, hanya empat batch sahaja yang bakal mengadakan pemilihan organisasi batch yang baharu manakala untuk batch yang lain memilih untuk mengekalkan organisasi batch yang sedia ada. Batch yang bakal mengadakan pemilihan ketua dan timbalan ketua batch yang baharu ialah;

VALOUR (Perubatan Manchester Tahun 2)
AVICENNA (Perubatan Manchester Tahun 3)
ADAMANTIUM (Perubatan Manchester Tahun 4)
LUMINANCE (Perubatan Manchester Tahun 5)

 

Maka, adalah satu tanggungjawab yang besar ke atas kita dalam memilih pemimpin. Satu tanggungjawab yang pasti akan ditanya di akhirat kelak. Memilih pemimpin juga perlu melihat syarat-syarat dan ciri-ciri yang Islam gariskan, antaranya ialah memilih pemimpin yang arif akan agama, amanah dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan ahlinya.

Akhir kalam, semoga urusan pemilihan organisasi bagi setiap batch berjalan dengan lancar. Saya menyeru kepada seluruh ahli batch yang terlibat untuk memberikan kerjasama sebaiknya seterusnya memilih barisan pimpinan yang berwibawa.

Seeru ‘ala Barakatillah.

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berkualiti”

“at-Taqwa, as-Syifa’, as-Rahmah”

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

MOHD KHAIRUL ANUAR BIN JAFFAR

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 

 

 

 

 

 

 

 

NUR SYAHIRAH BINTI JAMALUDDIN

Naib Pengerusi II,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *