“Niat itu seperti surat, tersalah tulis alamat akan sampai salah tempat”

Dalam menyusun hadis yang ingin dikumpulkan dalam kitabnya, Imam Nawawi meletakkan hadis berkenaan niat sebagai hadis yang pertama. Para ulama begitu teliti menyusun perkara dalam kitab mereka mengikut keperluan turutan yang dirasakan penting. Maka ternyata niat merupakan suatu perkara yang penting, hanya dengan lintasan hati itulah yang menentukan hasilnya nanti diberkati ataupun tidak. Niat ini mampu memandu manusia dalam menjayakan apa yang ingin dilakukannya.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab r.a katanya : “ Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat dan setiap seorang itu mendapat (pahala) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkannya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Niat merupakan antara syarat sah ibadat, tanpa niat jadilah perkara tersebut sekadar hanya satu perbuatan. Apabila sesuatu perkara itu menjadi ibadat dengan niat, maka akan ada pahalanya tersendiri yang mana mengikut kepada keikhlasan yang disertakan. Oleh kerana itu, lakukanlah segala perbuatan sebagai ibadat kerana Allah. Berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu perbuatan, dalam usaha memperbaiki diri, dalam pertuturan mahupun dalam membantu rakan, bimbang jika niat kita lari dari tujuan penciptaan kita iaitu menyembah Allah SWT dengan menuruti perintah dan menjauhi laranganNya.

Dalam dunia kepimpinan, niat juga memainkan peranan yang penting. Kita tidak mahu pimpinan yang ada menjadi robot. Bergerak melaksanakan kerja-kerja tanpa jiwa. Menghabiskan masa berkorban sehingga lupa makan namun tiada keberkatan. Sering kurang tidurnya namun rohnya sudah entah ke mana. Sehingga tibalah di kemuncak kepenatannya, lalu dia berhenti dan menghilang selepas turunnya dari jawatan.

Kerana itu, binalah niat yang berlandaskan syariat. Bertandinglah untuk mengukuhkan Islam dalam masyarakat setempat kerana Allah. Menerima taklifan dan jawatan kerana ingin memandu masyarakat bersama menuju Allah. Jangan kerana kasihan dengan kekurangan tenaga. Jangan kerana terpedaya dengan pujukan sahabat yang ingin menyokong kita dan jangan juga kerana ingin menimba pengalaman semata-mata.

Apabila penat, niat itulah penyelamat. Apabila hilang punca, niat itulah pemandunya. Mana mungkin perkara yang dilakukan kerana Allah tidak mendapat pertolonganNya. Mana mungkin perkara yang dilakukan kerana Allah menyebabkan kita putus asa di pertengahan jalan perjuangan kita. Maka pastikanlah niat kita dari awal itu sentiasa benar, sekiranya tersasar maka perbaharuilah niat tersebut sentiasa.

Bagaimana ingin tahu sudah tersasar ataupun masih lagi di jalan yang benar? Bermuhasabahlah. Dalam perkara muhasabah, Ibnul Qaiyyim rahimahullah menjelaskan bahawa muhasabah itu terbahagi kepada dua iaitu muhasabah sebelum beramal dan muhasabah selepas beramal. Pada awal pengajian dan pembelajaran maka renunglah sejenak tentang niat kita menggerakkan kaki menggagahkan diri ke kuliah adalah kerana apa? Di fatrah pilihan raya kini, bermuhasabahlah sebelum kita bertanding atau semangat menyokong calon tertentu kerana Allah atau kerana perkara ini menarik untuk disertai? Ketuk hati, tanyalah imanmu.

Berkata Imam Hasan al-Basri rahimahullah : “Semoga Allah merahmati seorang hamba yang merenung sejenak sebelum melakukan sesuatu amalan. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka dia akan melakukannya. Tetapi jika niatnya bukanlah kerana Allah maka dia mengurungkannya.“

Buat para pimpinan dan bakal pimpinan, selamat menjalankan dan mengemukakan manifesto yang bermanfaat dalam fatrah pilihan raya kali ini untuk kita bersama. Semoga niatmu dijaga oleh Allah, sampai pada matlamat dan memperolehi berkat.

Siiru ‘ala barakatillah.

Penulis:
Tinta Qalbu,
Universiti Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *