“Matlamat itu apabila berkat, engkau pasti akan selamat”

Di dalam buku Start Where You Are oleh saudara Chris Gardner, beliau ada menyatakan, “Setiap langkah ke depan, walaupun merangkak tetap dikira, asalkan langkah itu ada matlamatnya.”

Benar sekali kata-kata tersebut. Setiap langkah itu, besar atau kecil, banyak atau sedikit, laju atau perlahan, semuanya bergantung kepada kemampuan individu tersebut. Namun itu tidak penting malah tidak menjadi ukuran kepada Allah SWT dalam menentukan seseorang itu akhirnya nanti di syurga ataupun di neraka. Apa yang menjadi pengukurnya adalah ke mana langkah tersebut? Menuju kepada Allah atau menjauh?

Pada hadis yang pertama, dalam hadis 40 susunan Imam Nawawi yang dibawakan pada artikel yang lalu, jelas menyebut berkenaan hal matlamat pada ayat yang seterusnya selepas niat iaitu : “Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkannya.” Hadis riwayat sahihain.

Jelas ternyata di sini perkaitan antara niat dan matlamat. Sesuatu perubahan ataupun hijrah itu adalah matlamatnya dan keberkatan matlamat itu akan mengikut pula kepada niatnya. Matlamat beerti sesuatu yang disasarkan untuk dicapai kerana sebab tertentu. Sebagai pimpinan, apa yang ingin digapai haruslah jelas supaya benar jalan yang digunakannya dalam memandu orang yang dipimpinnya. Jika tersalah memilih destinasi, kita akan tersalah memilih jalan, silap-silap boleh terkorban di pertengahan pergerakan hanya kerana tersalah memilih destinasi dan jalan!

Fasa menerangkan manifesto secara rasmi telah berlangsung semalam pada program pengenalan calon yang disediakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan Mansurah, kini tiba masanya untuk semua calon pimpinan menerangkan berkenaan manifesto dan matlamat mereka menggunakan medium mereka tersendiri.

Maka, telitilah dalam mengembangkan manifesto-manifesto yang dinyatakan, pastikan hujung akhirnya memberikan manfaat dan kebaikan kepada diri anda dan seluruh masyarakat yang bakal dipimpin nanti. Berputarlah ke arah manapun manifesto yang dilontarkan pastikan Islam itu diletakkan di hadapan. Kerana saidina Umar r.a telah berpesan, mulianya kita kerana Islam. Apabila nyata apa yang ingin dibawa itu berada dalam kerangka Islam, insyaAllah keberkatan itu akan mengiringi.

Oleh itu, wahai pimpinan, sentuhlah hati masyarakat yang ada dengan menerangkan secara jelas berkenaan prinsip dan matlamatmu, bukan sekadar menghurai gerak kerja tanpa matlamat yang nyata. Kita tidak mahu pimpinan yang lahir hanya tertumpu kepada wasilah namun kabur tentang matlamat sebenarnya iaitu menuju Ilah.

Gerak kerja itu boleh berubah namun matlamat itu haruslah tetap dan benar. Apabila matlamat itu sudah jelas arahnya, rangkalah teknikal yang diperlukan untuk menjayakannya. Matlamat tanpa usaha itu bukanlah impian namun hanyalah sekadar angan-angan.

Cita-cita biar tergantung di langit namun kaki pastikan di bumi, jangan dicipta perbuatan yang di luar kemampuan yang ada. Berkongsilah dengan masyarakat tentang impian yang dicipta itu untuk kebaikan bersama serta berinteraksilah dengan mereka tentang jalan mencapainya supaya diri anda dan ahli mampu melaksanakannya bersama-sama nanti.

Pimpinan itu beerti menunjukkan jalan dan bergerak bersama, bukannya sekadar mengarahkan apatah lagi bertindak keseorangan. Maka, penting untuk pimpinan itu memahami dan menjelaskan tentang ke mana arah yang ingin dituju. Jika dirimu sebagai pemimpin tidak jelas tentang matlamatmu pasti ahli pun tidak akan memahami apa mahumu, mana mungkin mereka mampu membantu apatah lagi turut serta bersamamu!

Pimpinan dan pengikut sentiasa terkait dan matlamat itulah pengikatnya, apabila matlamat itu jelas lagi berkat maka pelayaran itu insyaAllah pasti akan selamat. Selamat menjelaskan matlamatmu wahai pimpinan dalam usaha memandu kami menuju Allah SWT. Semoga dan pasti Allah membantu kita apabila kita membantu agamaNya, kerana itu janjiNya dan bukan janji manusia. Semoga dikau terus dalam jagaanNya.

Penulis:

Tinta Qalbu,
Universiti Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *