“Tawakal itu biarlah dari awal”

Ibnu Athaillah ada berkata, “Tanda kejayaan sesuatu pada akhirnya adalah dengan kembali kepada Allah pada permulaannya.” Seringkali kita meletakkan tawakal itu pada pengakhir sesuatu perkara yang kita lakukan walhal sebenarnya tawakal itu lebih indah dan sepatutnya diletakkan pada permulaan kita bergerak.

Tawakal pada bahasa beerti menyerahkan atau mewakilkan. Dalam Islam kita diajar agar bertawakal kepada Allah iaitu menyerahkan, mempercayakan dan mewakilkan segala urusannya kepada Allah yang Maha Berkuasa. Di dalam sebuah hadis :

Dari Umar bin Khattab r.a berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘’Sekiranya kalian benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal yang sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana seekor burung diberi rezeki, di mana ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.” (HR. Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Ada dua kunci utama berkenaan tawakal yang perlu kita fahami. Pertama, bertawakal dari awal sepertimana seekor burung itu bertawakal iaitu percaya ia akan memperolehi rezeki dari sebelum ia keluar sarangnya pada waktu pagi. Kedua, bertindak sepertimana seekor burung itu keluar dari sarangnya dan bukan hanya sekadar menunggu di dalam sarangnya.

Sekiranya burung itu sekadar bertawakal di dalam sarangnya tanpa keluar mencari rezeki, nescaya pasti akan tetap ia memperolehi rezekinya dengan izin Allah kerana Allah itu Maha Pemurah. Malas bagaimanapun seseorang itu, tetap ada rezekinya, perbezaannya adalah kualiti rezeki yang diperolehinya. Di sini dapat kita pelajari, prinsip tawakal itu bukanlah hanya berharap dan menanti tanpa berusaha untuk mencari namun tawakal itu adalah pengharapan kepada Yang Maha Berkuasa dengan menunjukkan usaha. Inilah yang diajarkan kepada kita dari kisah perumpamaan tawakal seekor burung.

Hal ini dijelaskan lagi oleh para ulama salaf antaranya menurut Ibnu Qaiyyim al-Jauziy, “Tawakal merupakan amalan dan ubudiyah(penghambaan) hati dengan menyandarkan segala sesuatu hanya kepada Allah, tsiqah terhadapNya, berlindung hanya kepadaNya dan reda atas sesuatu yang menimpa dirinya, berdasarkan keyakinan bahwa Allah akan memberikannya segala ‘kecukupan’ bagi dirinya dengan tetap melaksanakan ‘sebab-sebab’( iaitu faktor-faktor yang mengarahkannya pada sesuatu yang dicarinya) serta usaha keras untuk dapat memperolehinya.” (Al-Jauzi/ Arruh fi Kalam ala Arwahil Amwat wal Ahya’ bidalail minal Kitab was Sunnah, 1975 : 254)

Pengharapan yang diikuti dengan usaha pasti tidak akan mengecewakan kerana kita telah menyerahkan dan reda dari awal tentang natijahnya kepada Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Oleh itu, ayuh kita ubah gaya kita dalam mengamalkan konsep tawakal. Moga-moga mampu mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT sebagai hambaNya.

Untuk para pimpinan, bertawakallah dari awal penerimaan amanahmu kerana sesungguhnya amanah itu berat dan hanya mampu dipikul dengan izinNya serta dimudahkan dengan redaNya. Mana mungkin hati itu rapuh jika dari awal lagi sudah berserah kepadaNya? Mana mungkin jiwa itu kecewa bila dari awal diwakilkan urusan kepadaNya? Apapun yang menanti di pertengahan jalan, itulah ujian yang mengingatkan kita kepadaNya bukan kerana hanya adat berjuang atau kerana Allah sengaja suka-suka untuk meletakkannya. Apapun jua hasil di akhir perjalanan, itu bukanlah penentu kita ini bagaimana kerana Allah itu menilai usaha yang ikhlas untukNya bukanlah berjaya namun dipenuhi perkara yang dibenci olehNya.

Esok hari merupakan penentu menang atau kalah untuk dirimu berada di pentas kepimpinan, setelah benar niatmu, jelas matlamatmu, kuat usahamu tetaplah kembali menyerahkan keputusannya kepada Allah SWT. Bermulalah dengan Allah dan berakhirlah dengan Allah, pasti dirimu bahagia kerana penentu hidupmu itu adalah Yang Maha Bijaksana yang tiada pernah akan ada silapNya.

Di manapun posisimu nanti, sebagai pimpinan atau ahli, tetaplah bergerak dengan niat yang ikhlas kepadaNya kerana jalan ke syurga itu bukan hanya satu cara. Mungkin ini saham mereka yang layak untuk berniaga dengannya, mungkin saham kita di arena berbeza yang sesuai dengan kita, berbahagialah walauapapun keadaan kita kerana itulah takdir yang ditentukan oleh Allah SWT.

Telah terangkatlah qalam, telah keringlah lembaran. Selamat bertenang dalam tempoh bertenang, semoga pilihan esok hari lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Siiru ‘ala barakatillah.

Penulis:

Tautan Qalbu,
Universiti Mansurah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *