MANSURAH, 26 NOVEMBER: PERUBATAN Cawangan Mansurah di bawah kelolaan PERUBATAN Frontliner (PROF), Jabatan Setiausaha telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Program di Qa’ah Ibnu Sina khusus kepada penggerak utama PCM. Seramai 33 orang peserta yang menyertai bengkel itu terdiri daripada 22 perempuan dan 11 lelaki.

Bertepatan dengan hadis Rasullullah S.A.W:

“ Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan “

[Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmidzi]

Bengkel ini secara tidak langsung telah melaksanakan misi PERUBATAN yang begitu menekankan aspek  profesionalisme. Ia membuktikan betapa pentingnya pengurusan yang baik dalam gerak kerja khusus kepada penggerak PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan yang lebih jelas kepada penggerak program mengenai:

  1. Panduan pengurusan program
  2. Kepentingan kualiti gerak kerja melalui slot gerak kerja berkumpulan.
  3. Kepentingan memahami cara pendokumentasian mengikut etika yang disediakan PERUBATAN kepada peggerak utama program.

Program ini bermula pada pukul 6.45 petang  dan berakhir pada pukul 9.30 malam. Slot pertama dimulakan dengan pembentangan ‘Panduan Pengurusan Program’ yang dibentangkan oleh Muhammad Fayyadh bin Md Amin selaku Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah dan Nur Syahirah binti Jamaluddin selaku Naib Pengerusi II PERUBATAN Cawangan Mansurah. Mereka begitu menekankan mengenai carta alir pengurusan program dan cara membuat kertas kerja dasar yang betul supaya penggerak faham dan jelas objektif sesuatu program dilakukan.

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan slot gerak kerja berkumpulan (GKB). Slot GKB ini mempunyai empat stesen dan setiap stesen mempunyai matlamat yang sangat penting antaranya ialah:

  1. Stesen 1: Cara pendokumentasian yang betul terutama cara mengisi laporan penuh yang dibentangkan oleh Nor Shafiqah binti Musa (Timbalan Ketua Jabatan Setiausaha).
  2. Stesen 2: Penerangan mengenai pengurusan aset sepanjang program dan etika belanjawan program yang dibentang oleh Nur Amirah Fazira binti Zulkifli (Timbalan Ketua Jabatan Bendahari).
  3. Stesen 3: Penerangan mengenai etika Biro Penerbitan dan Penerangan khusus kepada etika poster yang dibentang oleh Nur Farah Najwa binti Hassim ( Timbalan Ketua Biro Penerbitan & Penerangan )
  4. Stesen 4: Cara menjadi penggerak program yang efektif yang dibentangkan oleh Nur ‘Awatif Madihah binti Md (Penasihat PERUBATAN Cawangan Mansurah 17/18).

Program berakhir dengan slot resolusi yang dibentangkan oleh Muhammad Haziq bin Mohd Aznor selaku Pengarah PERUBATAN Frontliner sesi 2017/2018.

Ucapan jutaan terima kasih kepada semua peserta dan semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Semoga bengkel ini dapat mengeratkan & mengukuhkan lagi ukhuwah sesama penggerak dan akan terus kuat bagi meneruskan perjuangan islam.

#PCMOneBigFamily

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

PERUBATAN Frontliner,

Jabatan Setiausaha,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *