Dalam meniti arus kemodenan ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang mahasiswa yang semakin sinonim dengan aktiviti 3 K, iaitu kuliah, kafe, dan katil.   Hal ini amatlah berbeza dengan mahasiswa pada masa lalu. Umum mengetahui bahawa pada dekad 60-an kita dapat menyaksikan kekuatan mahasiswa dalam perubahan dan pembentukan sesuatu negara.  Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah para mahasiswa Indonesia telah melakukan beberapa siri demonstrasi terhadap pemerintahan Soekarno, presiden Indonesia yang pertama. Hal ini telah mewujudkan sebuah kepercayaan dalam kalangan masyarakat untuk memacu mahasiswa pada masa itu. Kesannya, Presiden Soekarno dilucutkan jawatannya pada 12 Mac 1967.  Oleh itu, setiap mahasiswa perlu bertanya pada diri mereka tentang apakah kuasa yang dimiliki oleh seorang mahasiwa?

Pada pandangan saya, mahasiswa merupakan kuasa penentu masa hadapan sesebuah negara. Hal ini demikian kerana mahasiswa merupakan golongan pemuda yang bakal menjadi tunjang kepimpinan negara. Biar kita ambil contoh pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II juga dikenali dengan Muhammad Al-Fatih, pemerintah Empayar Uthmaniyyah. Baginda telah berjaya menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Hal ini membuktikan bahawa dengan hanya seorang pemuda sahaja, suatu empayar dapat dijatuhkan. Begitu signifikan nilainya seorang pemuda untuk sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, para mahasiswa perlulah melakukan beberapa persediaan bagi mempersiapkan diri mereka sebagai pelapis negara. Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah melakukan ibadah yang konsisten. Hal ini kerana ibadah yang konsisten dapat membentuk peribadi yang mulia serta meningkatkan disiplin dalam diri. Selain itu, mahasiswa perlu juga melibatkan diri dalam persatuan.  Hal ini demikian kerana penglibatan dalam persatuan dapat melatih kepimpinan seseorang. Para mahasiswa juga perlulah mempunyai kemahiran tambahan untuk meningkatkan mutu mereka di mata dunia. Tegasnya, mahasiswa mempunyai kuasa untuk menentukan masa hadapan sesebuah negara.

 

Kuasa mahasiswa yang seterusnya ialah mereka merupakan golongan yang terpelajar untuk menjadi rujukan masyarakat. Hal ini demikian kerana mahasiswa itu sendiri bermaksud sekelompok pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi.  Umum mengetahui bahawa tidak semua orang boleh memasuki institusi pengajian tinggi.  Hal ini kerana institusi pengajian tinggi memakan kos yang tinggi, serta memerlukan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang mengikut bidang yang dipilih.  Hal ini mengakibatkan segelintir masyarakat yang terus bekerja selepas menamatkan Tingkatan 5.  Oleh hal yang demikian, masyarakat setempat terutamanya golongan marhaen akan menghormati dan menyanjungi mahasiwa kerana ilmu yang banyak mereka miliki.  Persis kata peribahasa Melayu, hilang kepala kura-kura ditelan oleh dadanya.  Kesimpulannya, golongan mahasiswa perlu meningkatkan ilmu pengetahuan mereka, tidak hanya terhad kepada bidang yang mereka pelajari sahaja.  Hal ini dapat dilaksanakan dengan melakukan aktiviti pembacaan buku-buku dan majalah-majalah yang berilmiah.  Di samping mempunyai kepakaran dalam bidang yang mereka pelajari, mereka juga dapat mengembangkan ilmu pengetahuan am.  Hal ini sinonim dengan peribahasa sambil menyelam minum air.  Natijahnya, mahasiswalah golongan yang menjadi rujukan masyarakat dalam sesebuah negara.

 

Pada hemat saya, mahasiswa merupakan jurubicara masyarakat dalam isu kebajikan.  Hal ini kerana mahasiswa merupakan golongan yang dekat dengan masyarakat.  Sebagai contoh, terdapat segelintir mahasiswa yang dibesarkan oleh golongan marhaen.  Hal ini menyebabkan masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat akan mudah dikesan oleh para mahasiswa.  Walau bagaimanapun, mahasiswa tidak boleh mengambil sikap katak di bawah tempurung dan mereka juga perlu peka akan isu-isu semasa.  Dalam pada itu, mahasiswa juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.  Hal ini akan menyebabkan masyarakat lebih mempercayai golongan mahasiswa lalu menjadikan mahasiswa sebagai medium perantaraan dengan pihak kerajaan.  Selain itu, mahasiswa juga perlu menurut serta dalam aktiviti pengucapan awam.  Hal ini bagi melatih diri mereka untuk bercakap di khalayak ramai serta memberi pendedahan tentang protocol-protokol yang perlu diikuti ketika bercakap di hadapan para pembesar negara.  Ringkasnya, mahasiswa merupakan orang yang dekat dengan masyarakat justeru merekalah yang selayaknya menjadi jurubicara masyarakat dalam isu kebajikan.

 

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa mahasiswa juga merupakan agen perubah keadaan semasa sesuatu negara.  Hal ini dapat dibuktikan dengan peristiwa Demonstrasi Baling 1974.  Peristiwa ini berlaku akibat daripada penurunan harga getah yang jatuh ke paras paling rendah, daripada harga biasa 25 sen hingga 60 sen sekati kepada 15 sekati.  Hal ini mengakibatkan penduduk jatuh miskin.  Rentetan daripada itu, para mahasiswa dan penduduk membuat demonstrasi bagi membantah kejatuhan harga getah.  Kesannya, Menteri Perusahaan Utama Musa Hitam telah menyampaikan jaminan Tun Abdul Razak bahawa harga getah akan dinaikkan serta merta dalam ucapan beliau.  Dalam konteks ini, para mahasiswa perlu meningkatkan daya ketahanan mental dan ketebalan jiwa.  Hal ini kerana dalam usaha memperjuangkan sesuatu perkara, terdapat pelbagai rintangan dan dugaan yang menanti.  Maka para mahasiswa perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi dugaan-dugaan ini.  Jika gagal maka jadikanlah kegagalan itu sebagai satu pengajaran.  Sesungguhnya, kepayahan dan kegagalan masa lalu dapat dijadikan penggerak untuk meneroka puncak kejayaan.  Di samping itu, para mahasiswa juga perlu melatih diri untuk membuat penulisan.  Hal ini kerana penulisan merupakan wadah yang efektif bagi menyampaikan maklumat terutamanya dalam membangkitkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat.Sebagai analoginya, Sultan Melaka telah meminta supaya Hikayat Amir Hamzah dibacakan bagi menaikkan semangat pahlawan Melayu.  Hal ini telah membuktikan bahawa penulisan dapat meningkatkan semangat masyarakat lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi-teknologi baharu yang menghasilkan dunia tanpa sempadan ini.  Tegasnya, mahasiswa masa lalu telah membuktikan bahawa mereka dapat mengubah keadaan semasa sesebuah negara.

 

Bagi menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, jelaslah bahawa mahasiswa mempunyai kuasa yang dominan dalam pembentukan sesebuah negara.  Oleh hal yang demikian, janganlah disia-siakan kehidupan sebagai mahasiswa dengan aktiviti 3 K sahaja.  Seseorang mahasiswa perlulah mengiimplementasikan tiga komponen utama dalam diri mereka iaitu, idealisme, intelektualisme, dan aktivitisme.  Idealisme bermaksud sifat yang menghasratkan sesuatu kesempurnaan, intelektulisme pula bermaksud pengabdiankepada daya fikir, manakala aktivisme membawa maksud mempunyai daya untuk bergerak.  Ketiga-tiga komponen ini hendaklah ditingkatkan secara seiring bagi setiap mahasiswa kerana ketiga-tiganya berkait rapat antara satu sama lain.  Saya menutup tirai diskusi ini dengan kata-kata Presiden Soekarno, “Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya, beri aku 10 orang pemuda, nescaya akan kugoncangkan dunia” .

Afiqah binti Zulkifli,

Tahun 2 Perubatan Manchester.

 

PERUBATAN Frontliner (PROF),

Jabatan Setiausaha,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *