Sumber gambar : Google

Sering kita dengari musibah demi musibah beruntun menimpa umat Islam di setiap penjuru, mereka ditindas, hak asasi manusia dicemar dan dicabul. Apakah petanda ini hanya membuatkan umat Islam yang lainnya hanya berdiam diri selesa dengan posisi selesa masing masing selagi belum terkena pada batang hidung mereka sendri? Sedang jerit-tangis yatim piatu dan rintihan mereka tidak pernah berhenti walau sesaat. Mungkinkah akan terbinya fajar kemenangan di sebalik litup awan mendung? Akankah tiba masanya sinar kegemilangan Islam itu bakal memenuhi segenap langit bumi ciptaan Allah ini? Janji Allah itu pasti dan tidak akan pernah terjadi ia dimungkiri sebagaimana firman Allah : “ Dan sesungguhnya, telah Kami tulis di dalam Zabur setelah tertulis di dalam az-Zikr, bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”. Namun semua itu tidak akan juga kita mampu kecapi selagi mana kita tidak temukan segala penyakit dan puncanya kemudian langkah penyembuhannya.

Bagi mencapai pertolongan dan kemenangan, kita mesti menepati syarat-syarat yang telah digariskan oleh Allah kepada hamba-hambaNya. Perubahan yang ingin kita capai dan lihat jelas dalam diri masyarakat itu seharusnya bermula daripada diri sendiri terlebih dahulu. Tabiat perjuangan itu yang paling utama adalah berjuang melawan dan bermujahadah terhadap hawa nafsu yang berada dalam diri kita sendiri. Sesungguhnya perang antara seorang hamba dan nafsunya merupakan perang yang paling besar dan keras di dunia. Terserah kepada kita untuk menyerahkan hatinya kepada nafsu atau jihad sampai ia mampu menakluki nafsunya sendiri. Dan itulah sebenar-benarnya hakikat perjuangan.

Oleh itu, akan diperjelaskan satu persatu antara elemen-elemen penting untuk menjadi golongan orang yang mendapat pertolongan. Salah satunya adalah hati yang suci. Hal ini kerana daripada hatilah, lahirnya segala perasaan kepekaan dan emosi yang berada pada manusia seperti suka, duka, bahagia, amarah, kebimbangan dan sebagainya. Hati itu juga yang akan membentuk peribadi seseorang itu. Hati yang dipandu dengan hawa nafsu akan sentiasa merasa resah-gelisah kerana sifat hati itu sendiri yang lumrahnya sentiasa berbolak-balik. Lain pula dengan hati yang sentiasa dibahasi dengan iman, maka ia akan mendapat petunjuk dariNya. Sepertimana yang disebutkan dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “sesungguhnya pada jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah keseluruhan jasad itu dan apabila ia buruk, maka buruklah keseluruhan jasadnya itu. Dan ia adalah hati .” (Muttafaq ‘ailaih)

Selain daripada hati, jiwa juga memainkan peranan dalam setiap perbuatan seseorang. Namun apakah bezanya antara jiwa dan hati? Jiwa itu terkadang menyuruh pemiliknya melakukan kejahatan dan terkadang menyokong pemiliknya untuk kebaikan hanya semata ingin menguji sejauh mana kebenaran ibadah pemiliknya itu adalah untuk Allah. Jiwa menjadikan pemiliknya bersifat bodoh, zalim dan kikir. Semua itu lebih kepada perkara yang buruk, lari dari kebaikan dan tidak suka akan kesulitan. Jiwa sentiasa berusaha untuk menundukkan hati dan perasaan pemiliknya untuk memenuhi segala tuntutan. Sementara di belakang jiwa adanya syaitan yang sering membisikkan tentang keburukan dan di sisinya ada nafsu yang sering mengajak pemiliknya kea rah kemungkaran. Hawa nafsu itu suatu yang disenangi jiwa. Maka, setiap jiwa yang tidak dibiasakan dengan mujahadah akan menjadi lalai dan terbuai dengan syahwat.

Amat rugilah kepada orang-orang yang tidak menyedari hakikatnya yang jiwanya itu sudah terpesong daripada kebenaran dan hawa nafsu dek kerana hakikatnya mereka itu sedang menzalimi dirinya sendiri. Kereka itu dia memenuhi segala keinginannya di dunia semata-mata kerana menyangka hal itu akan membuatkannya bahagia, sedang tidak menyedari dia akan menderita di kemudian hari. Namun hal itu tidak akan pernah membuat mereka merasa puas. Sebaliknya, seseorang hamba yang bermujahadah melawan nafsunya dan syahwat dunia, bererti dia sedang menginginkan kebahagian yang hakiki di akhirat. Iktibar yang dapat kita jadikan ibrah dan pengajaran melalui kisah Nabi Adam dan Hawa iaitu apabila mereka tewas dengan godaan syaitan yang sentiasa memujuknya untuk melakukan perkara yang ditegah oleh Allah kerana terhasut dengan kebahagiaan palsu yang ditawarkan Iblis.

Berdasarkan huraian-huraian di atas, maka jelaslah seseorang itu harus memenangi dirinya sendiri terlebih dahulu untuk mencapai ciri-ciri orang yang mendapat kemengangan. Allah swt tidak membiarkan hati itu keseorangan terkontang-kanting melawan jiwa, nafsu dan syaitan tanpa bantuan. Allah SWT Maha Mengetahui setiap perihal hambaNya itu sudah siap sedia menyediakan tentera-tentera untuk membantu hambaNya. Maka disinilah hadirnya fungsi akal yang akan mengutip dan memproses ilmu seseorang. Semakin banyak dan bermanfaat ilmu yang ada pada akal, semakin kuat pendengaran hatinya dalam menentukan pilihan dalam perjuangan hari-hari hidupnya Alah hadirkan juga kepada manusia, para penjaganya yang sentiasa berada di sisi iaitu malaikat. Rasulullah SAW bersabda,  Dalam hati ada dua kumpulan, satu kumpulan daripada malaikat iaitu pengembalian kepada kebaikan dan pelurusan terhadap kebenaran, sesiapa yang mendapatkan hal itu, ketahuilah hal itu merupakan daripada Alah SWT dan hendaklah dia memujiNya. Dan satu kumpulan lagi daripada musuh iaitu pengembalian kepada kejahatan dan pembohongan terhadap kebenaran, maka barangsiapa yang mendapatkannya hendaklah dia memohon perindungan kepada Allah SWT dari syaitan yang terkutuk.

Di dalam al Quran surah As Saff, Allah menyatakan satu tawaran perniagaan yang sangat lumayan kepada hamba-hambaNya. Iaitu apabila mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan dirinya sendiri. Penjualan ini tidaklah sempurna selagi dia tidak mengalahkan anasir-anasir buruk dalam dirinya dan membawanya kepada jalan Allah. Tujuan perjuangan jiwa adalah berusaha menguasainya kemudian menjualnya kepada Allah. Ganjarannya sudah tentu Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu akan menganpunkan dosa-dosanya dan mengurniakan syurga yang sememangnya menjadi dambaan setiap orang yang beriman.

Terdapat 38 sifat generasi yang mendapat pertolongan. Antaranya ialah :

  1. Tajarrud
  2. Mengangungkan dan mendahulukan syiar-syiar Allah
  3. Bertawakkal kepada Alah dan redha dengan ketentuanNya
  4. Menghadkan cita-cita dan impian. (tidak berangan-angan)
  5. Jiwa yang kaya dan qanaah
  6. Bersopan dan pemalu. (tidak meminta-minta)
  7. Seorang yang bertawadhu’
  8. Bersifat merendah diri kepada orang beriman dan saling berkasih saying
  9. Menunjukkan ketegasan kepada orang kafir
  10. Memperelokkan akhlak dan budi pekerti
  11. Bersaudara kerana Allah
  12. Sabar dan tabah
  13. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar
  14. Muhasabah diri
  15. Benar
  16. Wara’
  17. Sanggup berkorban pada jalan Allah
  18. Berjhad di jalan Allah
  19. Berebut-rebut dan bersegera melaksanakan kebaikan.
  20. Sentiasa beristighfar dan bertaubat
  21. Memaafkan orang yang menzalimi, memberikan sesuatu kepada orang yang kikir dan bersaudara dengan orang yang memutuskan silaturrahim.
  22. Menahan amarah
  23. Penyantun
  24. Membela kebenaran
  25. Memandang sama antara pujian dan celaan
  26. Menjaga hal-hal yang dilarang
  27. Tidak mencemuh atau menghina sesama Muslim
  28. Serius dan selalu optimis
  29. Mulia dan dermawan
  30. Bersederhana
  31. Teguh dalam membela kebenaran
  32. Berusaha agar tidak dikenal
  33. Menjauhi kekuasaan
  34. Tidak hasad
  35. Tidak mudah terpedaya
  36. Tidak sombong
  37. Menjauhi larangan
  38. Mencari pahala

Kita telah pun menghuraikan satu persatu elemen-elemen penting yang membentuk peribadi seseorang itu, persoalan yang timbul di sini adalah dimana letaknya keadaan kita pada hari ini ? Adakah rela untuk kita melihat umat Islam saat ini yang semakin terhakis saban hari akan nilai keislamannya ? Bagaimana untuk tertegaknya kembali syiar Islam itu sekiranya umat Islam hari ini lembik dan lemah dalam menghadapai pancaroba dan dugaan di dunia Segalanya bermula dengan diri sendiri bagaimana kita mendidik setiap elemen itu agar ia tunduk patuh akan suruhanNya. Tidak akan terhasil generasi tanpa ramainya bilangan, tidak terhasilnya ramai bilangan tanpa sebarang individu.

 

Sarah Najihah Binti Zamalolaily,

Tahun 2 Perubatan Manchester.

 

PERUBATAN Frontliner (PROF),

Jabatan Setiausaha,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *