Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
[Surah Ali-Imran, ayat 186]

 

Setiap insan di atas muka bumi ini akan menghadapi pelbagai jenis ujian dan cabaran dalam kehidupan mereka. Begitu juga halnya bagi golongan mahasiswa. Golongan ini tidak terkecuali turut diuji kehidupannya. Antara ujian yang sering dihadapi bagi mahasiswa ialah ujian gagal dalam peperiksaan.

Bagi mereka, kegagalan dalam peperiksaan merupakan mimpi ngeri bagi setiap insan yang bergelar mahasiswa. Kegagalan ini bahkan boleh menyebabkan pelbagai faktor negatif lain muncul dek kerana kecewa dengan keputusan yang diterima. Bagi mahasiswa sains kesihatan di Mesir, hal ini tidak terlepas bagi mereka. Bahkan, isu ini sering menjadi fokus dan dijadikan tajuk utama dalam perbincangan yang dikendalikan oleh Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN).

Bertitik tolak daripada itu, sebuah usul telah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PERUBATAN kali ke-12. Usul berbunyi “PERUBATAN menggiatkan lagi usaha dalam menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar-pelajar mengulang” telah diterima oleh majoriti perwakilan dan gerak kerja dalam menjayakan usul tersebut telah digerakkan oleh semua PERUBATAN Cawangan di seluruh Mesir.

Rentetan daripada itu, Unit Research & Development (RnD) PERUBATAN Cawangan Mansurah bersikap proaktif dengan menyambut usul yang diterima ini. RnD PERUBATAN Cawangan Mansurah mengambil inisiatif untuk menjalankan sebuah kajian berkaitan kegagalan dalam peperiksaan bagi mahasiswa Malaysia di Universiti Mansurah.

Kajian yang dinamakan “Pengulangan Tahun Pengajian” ini dilakukan oleh RnD PERUBATAN Cawangan Mansurah bagi mengenal pasti faktor dan sebab yang mempengaruhi kegagalan mahasiswa sains kesihatan di Universiti Mansurah. Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2017. Panel kajian ini telah mensasarkan sejumlah pelajar yang mengulang tahun pengajian bagi sesi pengajian 2016/2017. Seramai tiga belas orang responden telah ditemu ramah bagi menjayakan kajian ini.

Berdasarkan semua maklum balas yang telah diterima, berikut merupakan faktor kegagalan mahasiswa untuk naik ke tahun pengajian seterusnya:

  1. Tidak dapat menjawab soalan essay.
  2. Tidak belajar bersungguh-sungguh.
  3. Tidak minat subjek pelajaran tersebut.
  4. Lemah dalam hafalan.
  5. Tempoh masa belajar yang tidak mencukupi.
  6. Tidak memahami soalan yang ditanya.
  7. Tidak yakin dan putus asa untuk menghadiri peperiksaan.
  8. Hanya fokus kepada silibus tertentu sahaja.
  9. Soalan past year tidak keluar dan soalan peperiksaan yang ditukar ke format baharu.
  10. Mudah tertekan semasa menghadapi minggu peperiksaan dan ketika menjawab peperiksaan.
  11. Tidak mengulangkaji pelajaran di rumah.
  12. Tidak mengambil serius setiap apa yang dipelajari.
  13. Gagal pembahagian masa.
  14. Tidak menghadiri study group.

 

Dalam pada itu, beberapa soalan lain turut diajukan bagi mengumpulkan data untuk RnD membuat analisa faktor-faktor lain yang berkemungkinan menjadi punca kegagalan pelajar untuk naik ke tahun pengajian seterusnya.

 

Selain daripada itu, turut diadakan kajian rutin harian dan perkara yang dilakukan pada waktu lapang oleh mahasiswa berkenaan. Berikut merupakan antara rutin dan aktiviti berdasarkan maklum balas responden:

 

RUTIN HARIAN AKTIVITI MASA LAPANG
·         Beriadah

·         Memasak

·         Tidur

·         Menonton filem

·         Bersembang bersama rakan

·         Menghadiri kelas tambahan

·         Terlibat dengan persatuan

·         Melayari laman sosial

·         Membaca buku

·         Melayari laman sosial

·         Bersembang bersama rakan

·         Menonton Running Man

·         Tidur

 

Berdasarkan hasil dapatan yang diterima diperingkat RnD, kami dapat rumuskan beberapa perkara berhubung permasalahan akademik ahli yang mengulang tahun pengajian.

  1. Mahasiswa yang mengulang tahun pengajian, kebanyakan mereka sebenarnya mempunyai peluang untuk memperoleh hasil peperiksaan yang lebih baik. Berdasarkan hasil yang diperoleh, majoriti responden tidak mempunyai sebarang permasalahan serius yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalamai masalah dalam akademik. Mahasiswa perlu berdisiplin terhadap ilmu agar keberkatan ilmu dapat kepada para pelajar.

 

  1. Keutamaan sebagai seorang pelajar perlu lebih ditekankan dalam kalangan mahasiswa. Kegagalan untuk menyusun keutamaan menjadi punca utama penyebab kegagalan mahasiswa dalam peperiksaan. Mahasiswa perlu bijak menyusun keutamaan agar tugasan dan aktiviti dapat diselesaikan mengikut turutan yang sepatutnya.

 

  1. Pembahagian dan pengurusan masa menjadi aspek penting buat insan bergelar mahasiswa. Sebagai mahasiswa bukan sahaja perlu bijak dalam menyusun keutamaan, malah juga perlu diseimbangkan keutamaan itu dengan pengurusan masa yang betul agar kehidupan lebih tersusun dan teratur. Dalam Surah al-Asr, Allah berfirman maksudnya, “Demi Masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian! Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

 

  1. Item terakhir yang dapat dirumuskan berhubung kajian ini ialah kesedaran yang perlu dipupuk dalam diri setiap mahasiswa. Walau berbagai-bagai cara dan teknik digunakan, yang lebih penting ialah kesedaran individu itu sendiri. Sebagaimana firman Allah dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

 

Segala hasil dan dapatan kajian telah dianalisa diperingkat RnD. Tindakan seterusnya telah disusun diperingkat PCM untuk mengatasi masalah dan faktor penyebab permasalahan ini. Solusi dan tindakan telah pun dikeluarkan diperingkat pimpinan persatuan. Teknikal untuk mengatasi isu ini telah digerakkan di setiap gerak kerja dalam PCM. Mudah-mudahan Allah memberi kemudahan kepada kita semua dalam membantu sahabat-sahabat yang lain.

Kami menyeru kepada semua ahli PCM untuk bersama membantu rakan-rakan yang mempunyai permasalahan dari sudut akademik. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Moga sedikit bantuan yang kita hulurkan membantu rakan yang lain seterusnya menempa kejayaan bersama.

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk professional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

#PCMOneBigFamily

“Sistem Inovatif, PERUBATAN Progresif”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

 

 

 

 

 

 

MOHD KHAIRUL ANUAR BIN JAFFAR

Panel Pengulangan Tahun Pengajian,

Research & Development (RnD),

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *