PENDAPAT KAU DAN PENDAPAT AKU

“Kau bukannya Nabi, confirm tak maksum, apatah lagi seorang wali Tuhan! Kau pendosa, kau buat silap, kau bukan sesiapa! Mana mungkin aku perlu ikut kata kau sedangkan taraf kita sama!”

Dalam masyarakat majmuk, acap kali kita temui, manusia yang sibuk “jaga tepi kain orang”, tegur salah silap kita, bersikap ceria dan riang bersama walau tak pernah bersua, mereka ingat mereka siapa?

Come on-lah!

Sekarang dah 2017, zaman moden yang tak perlukan tenaga kuasa orang lain. Semua orang berkeupayaan untuk hidup sendiri. Tak patut ada dah golongan yang sibuk ambil tahu tentang hal orang lain macam zaman pak kaduk dulu.

 

“Kau hidup cara kau, aku cara aku! Tak payah sibuk dengan hidup aku!”

Walau kita dah fikirkan jalan cerita yang akan kita tempuhi, dah lakar pelan kehidupan kita, atau dah rancang aktiviti harian esok sekalipun, masih ada juga orang datang ketuk pintu nak beritahu cara kehidupan sebenar. Masih ada juga orang nak “ajak makan-makan” supaya mereka boleh sampaikan ‘kebenaran’.

 

“Weh, aku dah 20 tahun, aku tahulah macam mana nak hidup!”

Or actually you not?

Boleh ke kalau kita katakan, yang manusia ini seringkali lupa? Berdasarkan ayat kelapan surah az-Zumar, diceritakan manusia itu pohonkan pertolongan daripadaNya ketika musibah, namun selepas diberikan kesenangan dan nikmat, dilupakan Tuhan yang Maha Mencipta.

“ Dan apabila manusia ditimpa bencana, Dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali (taat) kepada-Nya; tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (akan bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu..”

Nah, masih mahu angkuh?

“Bro, 2017 dah, mana ada dah orang gunakan al-Quran sebagai hujah! Sekarang manusia hanya menerima fakta dan kajian saintifik! Hidup perlu membumi, bro! Al-Quran boleh letak tepi dan belek apabila bosan!”

Astaghfirullah.

Kalau begitu, ada juga kajian yang membuktikan manusia itu ciptaan yang lupa dan susah mengingati sesuatu perkara seperti yang tercatat dalam jurnal yang dikarang B.C. Storm dan T. A. Jobe bertajuk “Retrieval-Induced Forgetting Predicts Failure to Recall Negative Autobiographical Memories.” 

Islam itu adalah panduan atas segala panduan, manual cara hidup untuk sekalian manusia. Islam itu bukan ideologi yang boleh diambil sebahagian dan ditinggalkan sebahagian. Islam itu bersifat menyeluruh, meliputi segala aspek berkaitan ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

 

“Tapi itu hanyalah pendapat kau. Pada aku, agama itu hanya ciptaan manusia untuk meraih populariti dan kuasa. Agama lah yang hampir menghancurkan dunia dengan peperangan. Lihat sajalah pada sejarah, kebanyakan perang semua berasaskan agama, perang Salib, kejatuhan Melaka, perebutan kota Constantinople atas dasar agama dan banyak lagi. Agama punca pergaduhan antara empayar dan negara dek kerana raja-raja ingin menjustifikasikan kuasa dan agama mana yang paling benar.”

Kita jangan pukul rata kemusnahan yang terjadi di dunia disebabkan perang berasaskan agama. Sedangkan kemaraan Mongol menakluki empayar sekitar, Jepun menceroboh Tanah Besar China dan negara Asia Tenggara, Holocaust oleh Jerman, semuanya bukan disebabkan agama. Perang-perang ini juga yang punya jumlah mangsa korban yang tinggi.

Islam dibawa dengan aman. Setiap panglima perang Islam menawarkan pilihan sebelum menawan sesebuah kota, garis panduan perang yang jelas untuk tidak memperkosa wanita, tidak membunuh orang tua dan kanak-kanak. Banyak adab peperangan yang digariskan oleh Rasulullah yang diterima pakai oleh para panglima tentera Islam. Jangan dipukul rata semua agama dalam semua hal.

 

“Agama juga mengekang pergerakan manusia. Agama yang menyuruh untuk membuat ritual yang tidak punya hala tuju, meletakkan tunjang fikiran manusia hanya pada entiti yang tidak dibuktikan secara saintifiknya kewujudannya, sedangkan manusia mampu dan tidak bergantung kepada entiti lain dalam meneruskan kehidupan. Dalam kehidupan serba moden ini, boleh katakan hampir semua benda boleh dilakukan oleh manusia tanpa batasan fizikal. Agama yang mengongkong cara fikir dan aktiviti manusia.”

Islam meletakkan tunjuk arah dalam kehidupan agar manusia tidak melebihi had dan kuota moral. Islam hanya membataskan perbuatan yang bercanggah dengan moral dan yang memberikan banyak kemudaratan berbanding maslahah. Terlalu banyak ideologi yang ternyata negatif yang sedang dinormalisasikan dalam masyarakat seperti LGBT, rasuah dan sebagainya. Di sinilah peranan agama Islam dalam  memandu corak fikir manusia untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni sesuai dengan tabie ciptaan manusia. Islam membawa untuk kita kembali kepada fitrah, tidak dicemari dengan ideologi yang berkepentingan seperti feminisme, pluralisme dan sebagainya. Islam sepatutnya diukur dengan cara kualitatif, bukan semata-mata kuantitatif.

“Agama hanya untuk orang yang lemah dan sentiasa perlukan motivasi. Agama itu sendiri adalah kelemahan. Agama tidak punya indikator yang pasti untuk membawa manusia ke arah reformasi kemajuan yang baru. Lihat sahajalah kerajaan Turki Uthmaniyah yang sangat perlahan perkembangannya pada abad ke-16 hingga ke-20. Negara Eropah ketika itu sudah jauh melangkaui Turki dalam aspek ilmu sains, budaya, militarisitik dan ekonomi. British single-handedly menawan hampir dua per tiga dunia pada waktu itu. Sekali lagi, agama hanya untuk mengumpulkan orang yang lemah pada fikiran yang memerlukan kekuatan pada jumlah.”

Baitul Hikmah yang didirikan oleh Sultan Harun ar-Rasyid telah membawa Islam ke satu peringkat peradaban yang baru. Setiap peringkat ilmu, seni, literasi, matematik, astrologi, sains, perubatan merupakan di tingkatan yang tertinggi pada zaman tersebut. Ekonomi juga tumbuh mekar pada zamannya.

Ini merupakan salah satu contoh bagaimana hidup berlandaskan Islam mampu mengubah kehidupan seseorang, malah sebuah kerajaan dan dunia! Islam sebagai cara hidup diterap sebagai satu silibus dalam pembelajaran agar pemuda-pemudi dapat aplikasikan dalam kehidupan lantas menangkis gaya fikir Barat yang berhasratkan kejatuhan Islam selama-lamanya.

 

Banyak ilmuan Islam yang berjaya membawa Islam ke arah keunggulan dalam banyak bidang seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Haitham, Khawarizmi, al-Kindi, al-Farabi dan lain-lain. Ini membuktikan Islam bukan hanya diikuti dan dihayati oleh orang-orang yang lemah pada mental.

Dunia semakin moden, bangunan-bangunan tinggi mencakar langit, sains dan matematik menjadi hujah dan panduan, gedung-gedung ilmu, universiti dan perpustakaan dipenuhi manusia. Namun sayang, pemikiran yang dianggap berkembang, yang berbincang mengenai hak asasi manusia, undang-undang dan polisi-sosial juga meletakkan agama di posisi ‘buatan manusia untuk menghasilkan populariti dan kuasa’. Manusia mengasingkan agama dan politik, menganggap agama itu tidak praktikal dan leceh serta untuk orang yang lemah dan mempunyai masalah mental.

Keberkatan ilmu itu apabila semakin banyak ditimba, semakin dekat dengan Tuhan. Sayang, ramai yang kecundang dan lupa dengan nikmat Raja Sepanjang Zaman. Nauzubillahi min zalik. Moga kita sentiasa di bawah rahmatNya.

 

 

Ahmad Asyraf bin Mohamad

Tahun 4 Perubatan Universiti Mansurah

 

*penulis merupakan Ketua Biro Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Mansurah 2017/2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *