بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pertama dan selamanya, marilah kita sama-sama mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang masih lagi kita kecapi hingga ke saat ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, dengan usaha Baginda dan para Sahabat, Islam telah sampai kepada kita sehingga sekarang.

 

Kita Keluarga PERUBATAN

Dengan izin dan inayah-Nya, kita diberi kesempatan untuk  berkumpul pada hari ini, melontarkan persoalan, muhasabah dan cadangan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan PERUBATAN Cawangan Mansurah kali ke-11 yang bertemakan Kita Keluarga PERUBATAN, sebagai usaha untuk menambah baik pergerakan dan kelangsungan PCM yang kita sayangi.

“Aku impikan agar bilik ini dipenuhi dengan pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn Al-Jarrah supaya aku dapat hantar mereka berjuang di jalan Allah” – Saidina Umar al-Khattab r.a

Jika kita soroti sirah di atas dengan baik, kita akan sedar betapa besarnya peranan pemuda dalam setiap perkara, daripada mendidik masyarakat sehingga berjuang meninggikan kalimah Allah. Lantas perlunya kita berusaha untuk menjadi individu yang mempunyai keperibadian yang terpuji seperti Abu Ubaidah r.a.

Memahami hakikat kemampuan dan peranan sebagai seorang pemuda, yang masih di usia mahasiswa, kita seharusnya sedar akan beban yang digalas seorang mahasiswa. Terdapat potensi yang hebat pada mahasiswa dalam membentuk dan membimbing masyarakat. Justeru, perlunya ada satu kesedaran diri mahasiswa tentang peranan yang ada pada dirinya.

Lantas, permulaan dalam mewujudkan kesedaran itu, perlulah dicetuskan satu rasa dalam diri untuk melahirkan satu jiwa, iaitu Jiwa Mahasiswa.

Sebagai usaha dalam memupuk jiwa mahasiswa dalam kalangan ahli PERUBATAN Cawangan Mansurah, maka Empat Teras akan diketengahkan dalam pembawaan PERUBATAN Cawangan Mansurah sesi 2018/2019 dalam membentuk mahasiswa/wi Mansurah yang dapat menyumbang manfaat seoptimumnya kepada agama, masyarakat dan negara.

 

TERAS PERTAMA: PEMANTAPAN ILMU, MEMANGKIN KECEMERLANGAN.

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka: ”Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu”. Mereka menjawab: ”Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: ”Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa”. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.”

 Surah al Baqarah : 247

Akademik merupakan tujuan utama kita berada di bumi Mesir. Maka, PCM sentiasa memberikan tumpuan dan keutamaan dalam menjayakan agenda ini. Sehubung dengan itu, agenda akademik tidak pernah diketepikan dalam setiap pembawaan PCM bahkan akan diteruskan dengan pelbagai perancangan dan penambah baikan bagi sesi kali ini.

Seiring dengan usia PCM yang mencecah 11 tahun, kita telah melihat pelbagai medium dan aktiviti telah diadakan dalam menyediakan platform kepada ahli untuk meningkatkan prestasi akademik serta menimba ilmu akademik yang baharu seperti kelas tutorial STAR, Mansoura Medical Team, Academic Resource Centre dan program Medgeeks.

Tidak hanya berfokus kepada aktiviti berbentuk perkumpulan sahaja, PCM juga menekankan agenda akademik dengan mewajibkan slot perkongsian info perubatan dalam setiap mesyuarat rasmi PCM, menggalakkan  perkongsian dan menyebarkan ilmu yang sedia ada dalam program atau di alam maya, memantapkan lagi ilmu pengetahuan am melalui bengkel PEACE dan seterusnya penekanan profesional akademik seperti pelaksanaan perkongsian #WILDMedic iaitu ‘What I’ve Learned Daily’ dan penyusunan silibus Professional and Academic Day (PACDAY).

Dalam menjayakan teras pertama ini iaitu lima objektif akan ditekan dalam melahirkan mahasiswa intelektual dan kompeten yang menguasai ilmu sains kesihatan. Pembangunan diri dari sudut kemahiran klinikal dan mahasiswa sebagai ejen penyebaran ilmu kepada masyarakat. Seterusnya membentuk personaliti dan disiplin pelajar sains kesihatan khususnya di Mansurah dalam menjayakan visi PERUBATAN iaitu PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional Sains Kesihatan yang rabbani dan kompeten.

 

TERAS KEDUA : PENINGKATAN KUALITI INDIVIDU MUSLIM, MENGUKUH BIAH SOLEHAH.

“ …. apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Surah Al Maidah : 93

Sebagai sebuah pertubuhan induk mahasiswa yang meletakkan Al- Quran, Sunnah , Ijma’ dan Qias sebagai dasar, adalah menjadi satu tanggungjawab ke atas setiap ahli untuk membawa Islam dalam kehidupan seharian kita. Bahkan, Islam menggalakkan kita untuk sentiasa memperbaiki diri untuk mengislahkan masyarakat sekeliling kita.

Justeru, ahli PCM seharusnya sentiasa diberi kesedaran dan didikan untuk menjadi individu Muslim yang baik seterusnya menjadi duta kecil dalam menyebarkan nilai syariat dengan harmoni. Pembentukan nilai harus bermula di peringkat individu sebelum bercambah kepada pembentukan komuniti yang sihat.

Dalam menjayakan teras kedua ini, setiap lapisan mahasiswa perlu mempunyai sasaran yang jelas dan meluas serta perlu didekati dengan cara yang berhikmah. Hal ini akan digerakkan dengan lebih agresif melalui medium yang sedia ada seperti Mentor Council, JAKSI, UBM dan qudwah pimpinan PCM sendiri serta usaha di peringkat batch. Usaha ini perlu dimanfaatkan secara menyeluruh dan bersepadu dalam menimbulkan kesedaran bahawa setiap individu adalah agen penyebar dakwah.

Dalam menjalankan kegiatan dakwah, seorang dai’ perlu kreatif dalam mengambil peluang dan ruang bagi memastikan ketersampaian dakwah kepada para mad’u. Dengan mengoptimumkan peranan dan gerak kerja unit penting di bawah PCM dan memberi didikan Islam secara tidak langsung dalam setiap aktiviti program PCM hatta program berbentuk sukan dan akademik dengan tujuan menyebarkan kefahaman Islam kepada ahli.

Dalam usaha menjadi ejen penyebar dakwah, satu latihan diperlukan untuk mendidik penggerak tersebut. Pembangunan diri naqib/at usrah perlu ditekankan kerana mereka memainkan peranan besar dalam memastikan penyebaran dakwah secara holistik di Mansurah. Ahli PCM juga akan mendapat manfaat semaksimumnya dalam ke arah memahami Islam secara menyeluruh melalui medium yang sedia ada. Pimpinan juga memainkan peranan yang besar dalam menjadi quwah kepada setiap lapisan penggerak.

Namun, hakikat jalan dakwah ini sememangnya panjang dan berliku, semua penggerak perlu mempunyai kualiti individu muslim yang baik dalam memurnikan cita-cita untuk meninggikan kalimah Allah.

 

TERAS KETIGA: PENEGUHAN KESATUAN, MENDEPANI MASA HADAPAN

”Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.”

HR Bukhari dan Muslim.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis di atas menunjukkan peri pentingnya hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi kita yang berjauhan daripada keluarga untuk bersatu dan membantu antara satu sama lain. Kesatuan ini dapat dicapai apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak kira peranan sesama ahli, ahli bersama pimpinan, pimpinan sesama pimpinan dan juga pimpinan bersama pihak berwajib.

PERUBATAN, PCM khususnya, sebagai sebuah persatuan yang menaungi semua ahli sains kesihatan akan terus memainkan peranan dalam menjadi sumber utama rujukan ahli dalam sebarang permasalahan atau persoalan dalam pelbagai perkara. Pengalaman yang ada dalam pelbagai urusan menjadikan PCM terus terkehadapan dalam membantu setiap urusan ahli baik dalam bidang akademik mahupun kebajikan. Hubungan baik antara PCM dengan pihak berautoriti seperti pihak universiti, pihak Kedutaan dan pihak keselamatan akan terus dimanfaatkan dengan progresif demi kemudahan ahli.

Selama hampir 11 tahun PCM bergerak, pelbagai perkhidmatan dan kebajikan telah disediakan buat ahli dan perkara ini perlu disebar luas lagi. Setiap pendokong mempunyai tugas tersendiri dalam menyebarkan promosi perkhidmatan dan pergerakan PCM seluasnya supaya lebih ramai lagi ahli yang dapat cakna seterusnya memperoleh manfaat.

Pelbagai kejayaan yang dicapai dalam isu kebajikan ahli seperti pemudah cara urusan visa, bantuan kebajikan ahli yang ditimpa musibah, pendaftaran pelajar, masalah akademik ahli seperti fail dan yuran, urusan akreditasi kuliah dan banyak lagi akan terus memotivasikan PCM untuk kekal komited dalam mendengar dan membawa suara ahli ke pihak yang berwajib. PCM akan sentiasa bersedia mendengar suara ahli dan menyusun strategi yang sebaiknya untuk membantu dalam ruang lingkup kemampuan PCM.

Minat dan kecenderungan ahli yang berbeza tidak sepatutnya menjadi halangan sebaliknya dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Setiap posisi perlu diisi mengikut kesesuaian supaya output yang dikeluarkan berada pada tahap optimum. Agenda kesatuan ini diharap dapat dihayati dan dijayakan oleh semua ahli PCM sehingga menjadi satu keperluan yang disebut-sebut dalam komuniti Mansurah.

 

TERAS 4: MENGGILAP POTENSI AHLI KE ARAH MAHASISWA KOMPETEN.

“Hikmah itu adalah barang yang hilang daripada orang mukmin, siapa sahaja yang menemuinya, maka dia lah yang lebih berhak keatasnya.”

 HR Tirmidzi

Menurut pemerhatian pada tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat bagaimana bilangan kedatangan pelajar baru yang semakin berkurang. Pengurangan ini adalah faktor luar yang di luar kawalan persatuan. Namun, secara tidak langsung memberi sedikit impak kepada bilangan tenaga untuk menyumbang kepada pergerakan persatuan.

Justeru, dalam memanfaatkan bilangan tenaga yang sedia ada, satu pelan strategi telah dikenal pasti untuk meningkatkan kualiti ahli PCM dalam mendepani masa yang mendatang. Melalui teras yang keempat ini, terdapat dua fokus yang akan diketengahkan iaitu nilai kesukarelawanan dan nilai kemahiran asas kehidupan.

Nilai kesukarelawanan penting untuk disemat dalam setiap individu kerana perkara ini akan menjadi tabung amal buat kita di akhirat kelak. PCM sebagai sebuah persatuan mahasiswa bergerak semata-mata dengan kekuatan mahasiswa itu sendiri. Maka, nilai ini menjadi satu nukleus penting untuk ahli terus menyumbang kepada persatuan. Natijah daripada nilai kesukarelawan ini akan melahirkan ahli yang bukan sahaja mahu menerima, tetapi bersedia untuk memberi atau menyumbang mengikut potensi diri masing-masing.

Selain itu, nilai kemahiran asas kehidupan juga penting dalam menjamin keberlangsungan hidup masyarakat Malaysia di bumi asing ini. Kita yang hidup merantau sementara di negara orang, maka perlunya untuk kita menguasai  kemahiran asas bagi mendepani cabaran akan datang dan tolong menolong antara satu sama lain.  Kemahiran asas kehidupan disini bukan tertumpu kepada ilmu pertukangan, elektrik dan sebagainya sahaja, malah sebenarnya ia bermaksud lebih luas daripada itu seperti ilmu perniagaan, ilmu pengurusan sumber dan lain-lain.

Nilai kemahiran asas kehidupan ini akan diterapkan dalam pergerakan PCM untuk melahirkan ahli yang berdaya saing seterusnya pulang sebagai seorang graduan sains kesihatan yang kompeten.

 

MARILAH BERGERAK !

Kesemua empat teras yang akan diterapkan dalam segenap aspek pergerakan PCM sesi 2018/2019 akan saya rangkumkan dalam satu tema iaitu ‘JIWA MAHASISWA’.

Saya selaku Pengerusi yang telah diberi amanah menyeru supaya setiap ahli mengambil cakna dan berusaha untuk mengaplikasikan idea asas dalam setiap teras tersebut. Penghayatan kita terhadap setiap teras yang telah disebut perlulah diterjemahkan kepada gerak kerja yang bersepadu melalui wadah PCM. Kita juga perlu memahami bahawa kewajipan kita untuk bergerak dalam bermasyarakat adalah sebagai usaha kita untuk mencari reda Allah SWT di dunia seterusnya dibawa ke hari Akhirat.

Sebelum saya akhiri ucapan ini, sukacitanya untuk saya berpesan kepada semua ahli, pimpinan dan diri saya sendiri bahawa segala kesibukan kita sebagai seorang pelajar dan berpersatuan tidak patut dijadikan alasan untuk mengabaikan hak kita terhadap Yang Maha Agung, maka saya ingin menyeru kalian untuk melazimi perkara tersebut dalam kehidupan seharian iaitu,

  1. Menjaga amal fardi dan laksanakan dengan penuh itqan dan ihsan.
  2. Menjaga akademik dengan menjaga kehadiran ke kuliah dan  belajar bersungguh-sungguh.

 

Sekian,  Seeru ‘ala barakatillah.

” Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati ”

” JIWA MAHASISWA ”

” PCM One Big Family ”

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Faris bin Mohd Mokhlis,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *