Seindah Bicara

Manusia memang bijak berkata-kata ketika melontarkan pertanyaan mahupun memberikan idea. Melalui kata-kata, kita boleh mendekatkan yang jauh, dan mengeratkan yang dekat. Melalui kata-kata, maklumat dapat disampaikan kepada pihak yang kita hendaki.

Persoalannya,

Adakah kata-katanya bermanfaat?

Adakah kata-katanya membuahkan amal?

Adakah kata-katanya memberikan kesan kepada pendengar?

Bicara yang indah wajarlah berdasarkan gaya berkomunikasi yang ada dalam Islam antaranya Qaulan Sadida, Qaulan Baligha, Qaulan Mak’rufa, Qaulan Karima, Qaulan Layyina dan Qaulan Maysura.

 

Qaulan Sadida

“…Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan mereka berbicara dengan qaulan sadida( tutur kata yang benar). (Surah an-Nisa’ : 9)

Secara tuntasnya, qaulan sadida bererti apa sahaja yang dilontarkan dari mulut seorang insan mestilah benar. Kebenaran yang disampaikan akan menjadi tunjang utama sikap kejujuran seseorang diukur. Maka tegakkanlah kebenaran dalam diri kita kerana setiap butir bicara setiap insan pasti akan dihitung semula oleh Allah SWT.

“Berkatalah benar walaupun pahit” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

 

Qaulan Baligha

“Tidak kami utus seorang Rasul kecuali dia harus menjelaskan dengan bahasa kaumnya.” (Surah Ibrahim : 4)

Kata-kata yang fasih, jelas maknanya, tepat pada sasaran dan tidak berbelit-belit itulah yang diertikan sebagai qaulan baligha. Terdapat dua kunci utama qaulan baligha iauti jelas dan tepat. Justeru amatlah penting jika kita ingin meneruskan bicara pada individu-individu tertentu pastikan sesuai dan tepat pada sasarannya. Bicara yang tepat dan jelas  akan memberikan kesan kepada seseorang seterusnya membuahkan amalan yang baik dalam kehidupan dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

 

Qaulan Ma`rufa

“Dan apabila waktu pembahagian itu hadir beberapa kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, maka berilah kepada mereka sedikit daripada harta itu dan ucapkanlah kepada mereka qaulan ma’rufa (perkataan yang baik).” (Surah an-Nisa’ : 8)

Seringkali,manusia itu mudah tersinggung dengan kata-kata yang kesat, kasar dan buruk. Jadi, qaulan ma’rufa lah menjadi penyelesaian kepada perkara ini terjadi. Berbicaralah dengan perkataan yang baik, santun , tidak menyakitkan perasaan dan memberikan faedah kepada yang mendengarnya. Oleh itu, terbuktilah fungsi perbicaraan yang baik hendaklah bermanfaat supaya pendengar memperoleh kebaikan dan seterusnya menjadi agen menyebarkan kepada umat Islam yang lain.

 

Qaulan Karima

“…maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka qaulan karima( perkataan yang mulia). (Surah al-Isra : 23)

Qaulan karima adalah perkataan yang mulia dan diiringi rasa hormat. Oleh itu, berbicaralah dengan rasa hormat terutamanya kepada ibu bapa kita mahupun orang yang lebih tua daripada kita. Memberi kehormatan itu akan menyebabkan mereka lebih rasa dihargai serta sebagai balasnya, tanda kasih dan sayang terhadap kita akan bertambah. Maka,hubungan yang baik antara kedua-dua pihak akan dipelihara dan diberkati Allah SWT.

 

Qaulan Layyina

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan qaulan layyina ( perkataan yang lemah lembut).” (Surah Taha : ayat 44)

Yang dinamakan manusia itu, mudah jatuh cinta dengan kelembutan. Tutur kata yang baik dengan nada yang lemah lembut boleh menarik setiap insan supaya akur dengan kata katanya itu. Namun,dalam kelembutan diselitkan ketegasan supaya ucapan yang disampaikan tetap sampai dan tersemat dalam jiwa masing-masing. Semoga kata-kata tersebut berjaya ditanam di dalam hati dan mengubah diri menjadi lebih baik dari hari ke hari seterusnya.

 

Qaulan Maysura

“Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhannya yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka qaulan maysura (perkataan yang mudah). “ (Surah al-Isra’ : 28)

Penyampaian yang berkesan dan bernilai dapat dilihat apabila bicaranya mudah difahami, mudah dicerna dan menyenangkan. Maka, amatlah penting kata-kata yang dibicarakan difahami dan dihadam sepenuhnya oleh segenap masyarakat supaya sesebuah masalah dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. Semoga Allah sentiasa limpahan keredhaan dengan kata-kata yang kita ungkapkan.

Begitulah serba sedikit perkongsian berkenaan cara berkomunikasi yang dapat dikongsikan. Sungguh ilmu itu luas, maka ayuh kita cari gali lagi tentang kaedah-kaedah dan prinsip yang ada dalam berkomunikasi.

Akhir kata, perbicaraan yang baik mestilah merangkumi perkataan yang benar, bermanfaat, tepat, jelas mulia, lemah lembut dan mudah dihadam supaya penyampaian kita sentiasa dirahmati Allah SWT kelak. Jadi, indahkanlah bicaramu seindah peribadimu !

 

Wan Asma’Huda binti Wan Yahya,

Timbalan Ketua Biro Penerbitan & Penerangan,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *