Profesion jururawat, adalah profesion yang mulia. Bukanlah sedikit pengorbanan pekerjaan ini jika hendak dibandingkan dengan profesion kedoktoran. Tidak kurang juga kita dengar ada sebahagian jururawat ditohmah oleh pesakit atau ahli keluarga pesakit, namun tetap kekal menjadi jundi majhul yang menjadi sebahagian daripada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tanggal 12 Mei, merupakan hari jururawat sedunia. Bersempena dengan hari yang mulia ini, mari sama-sama kita kenali mereka dengan lebih dekat.

Siapakah itu jururawat?

Jururawat ialah mereka yang bertugas untuk menjaga pesakit dalam bidang penjagaan kesihatan. Mereka berkhidmat secara terlatih di hospital kerajaan mahupun swasta dan juga di klinik-klinik kesihatan.

Untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan medium-medium seperti diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang ini di universiti-universiti yang terpilih. Bagi permulaan, jika di bahagian diploma, pengajian memakan masa selama tiga tahun, manakala di bidang sarjana muda, masa yang diambil untuk menamatkan pengajian ini adalah selama empat tahun.

Bagi seorang jururawat, terdapat gred pekerjaan mengikut pangkat bermula dengan U29, U32, U36 dan U41 dengan ditawarkan imbuhan yang berbeza-beza bagi setiap pangkat bermula dengan minima RM1797.00 dan maksimum sebanyak RM9656.00.

Terdapat lapan tugas-tugas umum seorang jururawat.

a) Pemulihan anggota dengan kaedah tertentu.

b) Merancang program rawatan kepada pesakit.

c) Membantu doktor.

d) Menyimpan laporan perkembangan pesakit.

e) Memaklumkan kepada pegawai perubatan mengenai kesesuaian sesuatu skim rawatan terhadap pesakit.

f) Membuat pesanan bekalan peralatan.

g) Mengajar pesakit mengenai senaman yang perlu dilakukan di rumah terutama bagi mereka yang tinggal berjauhan.

h) Menjalankan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pegawai atasan.

Adapun begitu, terdapat juga tugas-tugas spesifik mengikut pangkat jururawat.

Waktu pekerjaan bagi seorang jururawat pula adalah berbeza mengikut kepada tempat bekerja. Jika bekerja di klinik kesihatan, maka waktu pekerjaan adalah mengikut waktu pejabat, manakala jika dibahagian wad atau kecemasan, waktu pekerjaan adalah mengikut shift (pertukaran) yang telah ditetapkan.

Antara perkara menarik yang anda semua perlu tahu, terdapat perbezaan tugas mengikut 6 uniform jururawat yang berbeza di hospital kerajaan.

1) Uniform line biru (jururawat terlatih)

Mereka dikenali sebagai staff nurse (SN) yang bertanggungjawab menjadi tangan kanan kepada para doktor. Antara tugas mereka ialah, memberi ubat, membuat tatacara kejururawatan (nursing care), menulis laporan pesakit, menyempurnakan pelan rawatan doktor pakar serta termasuklah sekecil-kecil tugas seperti memandikan pesakit sekalipun. Mereka boleh dijumpai di jabatan kecemasan, wad-wad, klinik pakar, klinik kerajaan dan turut bekerjasama dengan penolong pegawai perubatan dalam melaksanakan tugas.

2) Uniform line ungu (jururawat masyarakat)

Mereka dikenali sebagai jururawat masyarakat (JM) dan digelar bidan profesional. Mereka adalah golongan yang istimewa kerana mempunyai kemahiran dalam menyambut kelahiran bayi. Mereka bertanggungjawab mengetuai rumah bidan kerajaan atau klinik dan memberi perkhidmatan kesihatan kepada ibu-ibu mengandung, perkhidmatan kesihatan bayi atau kanak-kanak dan perkhidmatan lawatan ke rumah dan perancang keluarga. Jururawat ini sudah banyak ditempatkan di jabatan obstetrics and gynaecology (O&G) sama ada di wad atau di bilik bersalin. Mereka juga akan menjadi jururawat terlatih (line biru) selepas berjaya menamatkan pengajian (kenaikan pangkat secara lantikan).

3) Uniform line kuning (jururawat pergigian)

Mereka ditempatkan di klinik gigi kerajaan dan bertanggungjawab dalam memeriksa, mendiagnosis dan mengatur rawatan pesakit. Mereka juga bertanggungjawab dalam memberi ceramah di sekolah-sekolah tentang cara memberus gigi dengan betul dan penjagaan gigi. Bagi line oren/jingga pula adalah pembantu doktor dalam pembedahan pergigian.

 

 

 

4) Uniform baju putih, line biru di bahu, seluar biru gelap (jururawat lelaki)

Mereka adalah jururawat lelaki. Tugas dan skop kerja adalah sama dengan Jururawat line Biru.

5) Uniform baju putih, seluar hitam, kasut hitam, tali leher (Penolong Pegawai Perubatan/MA)

Mereka selalunya dilihat di jabatan kecemasan. Merupakan barisan hadapan dalam menyambut ketibaan pesakit di jabatan kecemasan, menilai kategori pesakit untuk penempatan zon, menjawab panggilan ambulan dan ke lokasi kemalangan serta memberikan pertolongan cemas.

6) Uniform baju putih, seluar putih, kasut hitam (Pembantu Perawatan Kesihatan – PPK)

Mereka ditempatkan di jabatan kecemasan, wad-wad dan klinik. Mereka mempunyai skop tugas yang tersendiri. Di jabatan kecemasan dan di wad, mereka akan membantu jururawat dan MA dalam menyempurnakan tatacara. Mereka juga membantu menguruskan pesakit untuk di hantar ke wad, menghantar sampel-sampel darah ke makmal dan sebagainya.

 

Itulah dia, seorang jururawat.

Lelahnya disimpan, jiwa kentalnya diserlahkan. Tidak cukup itu, mulianya seorang jururawat, apabila dia mengembangkan tunas-tunas agama dalam pekerjaan sehariannya. Membantu pesakit mengambil wuduk, mengajar pula solat ketika sakit, memberi nasihat yang baik dan sebagainya. Mulia di sisi Allah dan manusia. Mari sama-sama kita hargai mereka! Selamat hari jururawat sedunia.

 

Nukilan,

Mahasiswi Tahun 5 Kuliah Perubatan Manchester.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *