ARTIKEL JAKSI – MUSYRIF DARI LANGIT

Panggilan musyrif daripada akhawat pastinya menjadi satu fenomena yang membuatkan sesetengah ikhwah mengeluh untuk bangun merentas jalan-jalan demi menemani sang akhawat yang entah siapa-siapa. Kadang di tengah malam, kadang di tengah gelak tawa bersama rakan, kadang di tengah keletihan dek urusan harian.

Sebaliknya, seruan penggunaan musyrif juga membuatkan para akhawat menjadi serba salah kerana dikhuatiri akan membebankan si ikhwah. Ada yang beranggapan kawan-kawan perempuan sudah memadai untuk menemani dan menjaga mereka untuk pergi ke mana-mana. Kesannya, kita dapat lihat apabila lahirnya golongan akhawat yang mula mengambil jalan ‘berdikari’ dek kerana sering ditolak ikhwah untuk menjadi musyrif lebih-lebih lagi di saat genting atau kecemasan. Walaupun hakikatnya, tenaga ikhwah di Mansurah ini cukup untuk memusyrifkan akhawat yang ada.

Musyrif di Mansurah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Ada golongan yang dikenali sebagai ‘Musyrif Peregrine’. Musyrif ini digelar peregrine kerana mempunyai gerak langkah kakinya yang laju menonong tanpa ada rasa cakna dan waspada terhadap akhawat yang mengikut di belakang. Sehingga akhawat yang dimusyrifkan sudah sampai ke destinasi pun tidak disedarinya.

Ada golongan ‘Musyrif MCQ’. Musyrif ini digelar MCQ (multiple choices question) kerana hanya memilih untuk menjadi musyrif kepada sesetengah akhawat tertentu sahaja. Lalu menolak sekiranya diminta untuk menjadi musyrif akhawat yang lain.

Selain itu, ada golongan ‘Musyrif Target’. Ikhwah kategori inilah yang sentiasa sudi untuk menjadi musyrif apabila dihubungi walaupun hakikatnya mereka juga letih dan lebih senang duduk berehat di rumah. Golongan ini juga lebih memilih untuk berkorban kesenangan mereka demi membantu menjaga kebajikan akhawat. Maka disebabkan itu, golongan ini sering dijadikan target atau sasaran kaum akhawat untuk diminta khidmat menjadi musyrif.

Uniknya, ada juga satu golongan musyrif yang jarang ditemui tetapi wujud di Mansurah, dikenali sebagai ‘Musyrif dari Langit’. Ikhwah ini yang mana mereka memusyrifkan akhawat yang dilihat jalan berseorangan. Bersandarkan kefahaman dan kesedaran seorang Muslim, tugas menjadi musyrif itu hadir tanpa diminta atau disuruh oleh sesiapa. Semoga Allah membalas kebaikan mereka.

Ikhwah dan akhawat, kedua-duanya harus memahami dengan baik konsep penggunaan musyrif dan mengapa kita harus mengaplikasikannya. Tujuannya sudah pasti untuk memelihara dan menjaga mutiara dunia (para akhawat) yang jauh daripada mahramnya. Ketahuilah sistem penggunaan musyrif ini bukan bertujuan untuk membebankan mana-mana pihak.

Kepada para ikhwah, setiap derap langkah yang diusahakan bergerak untuk menjaga keselamatan akhawat pasti akan dinilai Allah dan tiada satu saat pun yang terlepas daripada penilaianNya. Jika niat sang ikhwah menjaga keselamatan sang akhawat benar-benar ikhlas kerana Allah, insyaAllah Allah akan menghantarkan tenteraNya untuk menjaga keselamatan keluarga tersayang yang nun jauh di nusantara.

Kepada para akhawat, jangan pernah malu untuk menghubungi musyrif. Jika masih tidak mahu menggunakan musyrif atas alasan menyusahkan ikhwah, ketahuilah masih ramai golongan ikhwah yang sentiasa terbuka memberikan pertolongan. Niat penggunaan musyrif hanyalah untuk menjaga keselamatan dan kehormatan diri akhawat. Jadi, bantulah untuk menjaga diri kalian dengan khidmat musyrif.

Musyrif bukan menandakan kelemahan akhawat, tetapi melambangkan ketinggian darjat akhawat yang diangkat sejak hadirnya Rasulullah membawa agama Islam. Maruah dan darjat akhawat yang Rasulullah angkat ini harus dipelihara dan dijaga sebaiknya selama mana Islam tertegak dalam diri. Menjadi kewajipan setiap insan untuk memelihara dan menjauhi diri mereka daripada kebinasaan dan sebarang keburukan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah.

 

Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.

[Surah al-Baqarah, ayat 195]

Jadi, musyrif atau ‘berdikari’?

 

*Peregrine – sejenis burung yang laju.

 

Nukilan,

Pejuang Mei,

Tahun 2 Kuliah Perubatan Manchester.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *