[Artikel | Persediaan dan Cabaran Berpuasa di Mesir]

 

Berpuasa di Mesir amat terkenal degan cabaran cuaca yang terik dan musim panas yang membahang.

 

Suka untuk saya kongsikan beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian bersama dalam menghadapi Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

 

Untuk menghadapi Ramadan di Mesir, kita perlu ada persediaan yang baik. Persediaan yang perlu diberi tumpuan terdiri daripada persediaan fizikal, mental dan emosi.

 

Namun semua persediaan itu dapat kita rancang sebaiknya dengan dimulakan oleh bekalan ilmu tentang Ramadan itu sendiri.

 

Saat ini merupakan fasa terbaik untuk kita mendalami hukum-hakam berpuasa, martabat-martabat puasa, menu yang sesuai untuk bulan puasa dan sebagainya. Sekiranya tidak ada persediaan ilmu-ilmu tersebut, maka puasa kita akan dibayangi dengan rasa ragu, tidak dibuat dengan sebaiknya dan mampu menyebabkan seseorang tertekan, sedangkan semua itu akan dapat diatasi dengan bekalan ilmu yang cukup.

 

Seterusnya suka untuk saya kongsikan persediaan asas dalam menghadapi Ramadan di Mesir ini.

 

Persediaan Fizikal.

 

Bermula dari sekarang, amat baik jika seseorang itu sudah mula melatih diri untuk berpuasa sunat ataupun berlapar pada suatu tempoh yang agak lama. Hal ini demikian agar seseorang dapat membiasakan diri dengan keadaan lapar dan mampu melaksanakan aktiviti hariannya tanpa diganggu oleh perasaan lapar tersebut.

 

Perkara yang paling penting juga dalam persediaan fizikal ini adalah tentang sahur dan berbuka puasa. Sahur amat penting untuk diambil sebagai bekalan tubuh untuk menempuh hari yang panjang dan panas yang membahang. Untuk berbuka pula, sebaiknya dimulakan dengan juadah yang ringan dan tidak terlalu kompleks. Hal ini dapat memberi masa pada badan untuk merembeskan insulin secara berperingkat bagi mewujudkan interaksi dengan kandungan glukosa dalam badan. Sekiranya seseorang itu berbuka dengan juadah yang berat, maka insulin akan dirembeskan dalam kuantiti yang amat banyak dan ini akan menyebabkan pankreas seseorang itu penat dan tidak akan mampu menghasilkan insulin yang mencukupi untuk masa mendatang, lantas akan mengakibatkan kepada penyakit kencing manis.

 

Maka dalam persediaan fizikal ini, persediaan untuk melatih diri berlapar dan persediaan juadah sahur serta berbuka itu amat penting untuk diberi penekanan khusus.

 

Persediaan Mental.

 

Persediaan Mental yang dimaksudkan ialah sistem kognitif seseorang.

 

Di Mesir, bulan Ramadan dan fasa peperiksaan merupakan antara perkara yang bakal dihadapi oleh sesetengah mahasiswa mahupun mahasiswi di sini. Oleh itu, persediaan mental yang baik perlu dibina untuk memberi kekuatan dan daya tahan yang tinggi bagi mengulangkaji pelajaran dan menghadirkan diri ke kuliah dalam keadaan panas terik lagi membahang.

 

Antara cara yang boleh dikongsi adalah memotivasikan diri untuk fokus. Ini kerana, dalam bulan Ramadan seseorang itu tidak akan begitu sibuk untuk memikirkan perihal makan minum. Maka ini merupakan suatu kesempatan untuk seseorang itu memotivasikan diri supaya terus fokus dalam aktiviti yang dilakukan khususnya dalam mengulangkaji pelajaran.

 

Persediaan Emosi.

 

Ketika lapar, dahaga dan ditambah pula dengan cuaca panas, acap kali emosi seseorang itu akan teruji baik dengan perangai sebahagian masyarakat arab ataupun sahabat serumah yang kurang membantu khususnya dalam persediaan juadah mahupun untuk menghidupkan Ramadan. Tambahan pula, perasaan letih akan menyebabkan seseorang itu mudah terganggu emosinya.

 

Maka bekalan yang terbaik untuk persediaan emosi ini adalah memperbanyak amalan-amalan sunat serta disiplin yang tinggi dalam menempuh hari-hari dalam Ramadan. Contoh yang boleh dilakukan adalah tadarus, zikir-zikir yang mathur, solat-solat sunat dan sebagainya. Ini kerana dengan perkara-perkara tersebut akan membantu kita untuk merasa tenang dan mampu berfikirkan rasional dalam mengawal emosi.

 

Maka akhir kata dalam mendepani Ramadan yang mendatang, perlunya pada persediaan yang rapi. Hal ini demikian kerana berkemungkinan Ramadan pada kali ini merupakan Ramadan yang terakhir buat diri kita.

 

  • Muhammad Firdaus bin Jahari,

Tahun 6 Perubatan Manchester.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *