PUASA WASILAH KETAKWAAN

 

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah atas kesempatan untuk berjumpa lagi dengan bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh dengan hikmah, barakah, maghfirah dan dilepaskan dari api neraka. Seluruh umat Islam pada hari ini menyambut bulan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan semangat di mana bulan ini diumpamakan sebuah festival ibadah. Menurut penjelasan as-Syeikh Mustafa Masyhur dalam kitabnya “زاد على الطريق “ , bahawa orang Muslim  sebenarnya menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah puasa dengan penuh kegembiraan dan jiwa yang tenang.

Dalam konteks berpuasa kita seharusnya mengetahui hakikat puasa adalah bagi mencapai martabat takwa.  Bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan meliputi proses pengislahan, pembersihan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah SWT dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya.

Atas matlamat takwa itulah maka difardhukan ibadah puasa sepertimana firman Allah SWT dalam ayat 183 Surah al-Baqarah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

 

Menurut kata-kata saidina Ali RA bahawa takwa itu adalah takut kepada Allah SWT yang disertai rasa cinta, mengamalkan apa yang diturunkan-Nya (Al-Quran), bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada kita dan akhir sekali takwa itu merupakan persediaan bagi orang yang beriman untuk menghadapi hari akhirat.

 

Di samping pembinaan takwa pada bulan ini, banyak kebaikan lain yang sebenarnya tidak akan kita rasa dan peroleh melainkan kita benar-benar menghayati Ramadan dan melaksanakan ibadah yang diwajibkan di dalamnya  mengikut perlaksanaan yang diperintahkan  oleh Allah SWT dan Sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Fadhilah as-Syeikh  Mustafa Hasan dalam kitabnya“حقيقة الصوم“   memperingatkan bahawa orang Islam perlu sedar dan peka ketika berpuasa  agar kita tidak melakukan perkara yang mengurangkan pahala ibadah puasa kita lantas menyebabkan kita hanya menahan lapar dan dahaga sahaja. Justeru itu kita umat Islam harus meletakkan sifat ‘ubudiyah kepada Allah swt dalam diri kita ketika berpuasa supaya kita sedar bahawa kita ini hamba Allah bukan hamba kepada bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa juga dalam kalangan hamba Allah yang berpuasa satu hari pada jalan Allah (kerana Allah), maka dengan sehari berpuasa itu dijauhkan wajahnya daripada Api Neraka selama tujuh puluh.             

(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Seperti yang kita sedia maklum akan kelebihan bulan Ramadhan, maka kita sebagai seorang Muslim mestilah bijak mengambil peluang keemasan ini melalui ibadah puasa dan menghidupkan Ramadan. Peluang yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.  Peluang yang sangat bernilai ini mestilah diambil dan dijadikan sebagai  wasilah atau jalan untuk mencapai  ketaqwaan di sisi Allah SWT.

Petikan daripada  hadis Rasulullah SAW, riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi daripada Abi Hurairah RA:

خَابَ وَخَسِرَ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ وَلَمْ يُغْفَرْلَهُ

Kecewalah dan rugilah orang yang bertemu bulan Ramadan tetapi ia tidak mendapat keampunan Allah.

Sedangkan Allah SWT telah pun bertanya dalam ayat 22 Surah an-Nur:

أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٌ

Apakah kamu tidak suka (ingin) untuk Allah memberi keampunan kepada kamu sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang (Pengasih).

Selain itu, Allah SWT melipatgandakan ganjaran amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan. Seharusnya kita sedar bahawa umur umat Nabi Muhammad SAW adalah yang terpendek berbanding umat-umat terdahulu yang mana kebanyakan daripada mereka dikurniakan umur melebihi 100 tahun. Maka Allah SWT mengurniakan umat Nabi Muhammad SAW bulan Ramadan di mana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatul Qadar. Jika kita melakukan amalan kebaikan pada malam tersebut ikhlas kerana Allah SWT maka ia seumpama kita melakukan amalan itu selama 1000 bulan. Demikianlah Allah SWT menganugerahkan Lailatul Qadar  sebagai sebuah motivasi untuk kita umat Muhammad SAW berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah kepada Allah SWT dan ia satu anugerah khusus untuk umat ini.

 

Kembali kita kepada konteks taqwa, apabila kita telah mengetahui bahawa berpuasa pada bulan Ramadan merupakan wasilah  bagi mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT, maka marilah kita mendalami dan menyelami apakah hakikat  puasa yang sebenar.

Sehubungan itu, al-Ustaz Said Hawwa menyebutkan juga di dalam kitabnya “ الاسلام” bahawa ibadah puasa adalah antara rukun Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat takwa.

Sesungguhnya ibadah puasa menyediakan diri orang yang berpuasa itu untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan meninggalkan keinginan hawa nafsu semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah SWT dan mengharapkan ganjaran baik daripada Allah SWT. Maka  akan terbentuklah jiwa orang yang berpuasa itu untuk meninggalkan keinginan-keinginan yang diharamkan oleh Allah SWT dengan penuh kesabaran kerana telah dilatih sepanjang sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Serentak itu juga, lahir ketakwaan dalam bentuk melaksanakan ketaatan dan amal-amal soleh dengan penuh keimanan dan kesabaran. Rasulullah SAW telah bersabda :

“Barangsiapa yang mendirikan puasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan (kerana Allah) maka akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Tambahan pula, kita seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa difardukan bukan untuk menyeksa jiwa dan diri kita akan tetapi untuk mentarbiah dan menyucikan jiwa orang muslim sehingga benar-benar bertakwa. Oleh sebab itu hikmah disyariatkan ibadah puasa disebut oleh Allah SWT dalam al Quran dengan lafaz “لعلكم تتقون “ – semoga kamu semua bertakwa .

Maka at-Takwa  adalah ibarat buah atau hasil yang diperolehi oleh orang yang berpuasa.   Inilah rahsia sebenar dan matlamat tertinggi bagi ibadah puasa sepertimana disyariatkan dalam ayat 183 Surah al-Baqarah itu.

Dalam bulan Ramadhan, untuk mencapai  sifat takwa tersebut maka perlulah melaksanakan amalan-amalan yang disyariatkan terutamnya puasa.  Kemudian diikuti dengan qiyamulail, zikrullah, doa, tilawah al-Quran, solat sunat tarawih, istighfar, iktikaf di masjid dan infak fisabilillah. Walau bagaimanapun, jangan pula kita meninggalkan amal jamai’e dan ijtima’e yang sudah menjadi kewajipan kita selaku orang muslim untuk melaksanakannya mengikut kemampuan kita.

 

Selain itu, Syeikh Mustafa Masyhur ada menyebut di dalam kitabnya “ زاد على الطريق “ bahawa puasa mentarbiah sifat ikhlas  dan sentiasa muraqabah kepada Allah swt (sedar bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa jua yang kita lakukan) di dalam diri seorang muslim.

Ikhlas semata-semata kerana Allah SWT adalah sebesar-besar bekalan bagi setiap Muslim. Hal ini kerana tidak ada maknanya dan tidak ada kebaikan di sisi Allah swt  apa jua amalan dan pengorbanan tanpa keikhlasan melakukannya semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya  Allah SWT hanya menerima amalan, perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan ikhlas kerana-Nya.

Sudah pasti orang Muslim yang ikhlas kerana Allah SWT itu adalah orang yang bertakwa.  Firman Allah SWT dalam ayat 27 Surah al-Maidah:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ

Hanya Allah menerima (amalan) daripada orang yang benar-benar bertaqwa (kepada-Nya)

 

Tambahan lagi, Dr Abdullah Nasih Ulwan  dalam kitabnya “Menuju Ketakwaan“ menjelaskan bahawa cukuplah takwa dengan segala kelebihan dan keberkesanannya.  Sesungguhnya takwa merupakan pemancar kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya.  Satu-satunya jalan untuk mengawal kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat ialah dengan cara mengajak masyarakat kepada takwa.

Firman Allah swt dalam ayat 29 surah al-Anfal:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانٗا وَيُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَيِّ‍َٔاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ

Wahai orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan untuk kamu furqan (pertunjuk yang dapat membezakan yang benar daripada yang  salah) dan menghapuskan dosa-dosa (kesalahan-kesalahan) kamu serta mengampunkan kamu,  dan sememangnya Allah memiliki limpahan kurnia yang besar.

Sudah nyata bahawa dengan takwa kita dapat mengenal pasti diri kita berada dalam golongan yang hak ataupun batil. Akhir sekali, kami ingin menyeru kepada semua umat Islam terutamanya mahasiswa-mahasiswi di bumi Mansurah supaya melaksanakan ibadah puasa dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan agar menjadi salah satu wasilah untuk kita menjadi golongan orang yang bertakwa.

Sekian, terima kasih.

 

Disediakan oleh ,

Biro Pembangunan Insan

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *