Wanita Sufi | Perindu Cinta Abadi

“Jika aku menyembah-Mu karena takut akan api neraka-Mu, maka bakarlah aku di dalamnya! Jika aku menyembah-Mu karena tamak kepada surga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu karena kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

 

Telah termaktub dalam sirah terdahulu, seorang serikandi yang bernama Rabiatul Adawiyah, yang sentiasa menghias dirinya dengan keikhlasan beragama dan terkenal dengan cintanya kepada Tuhan. Nama panjang beliau ialah Ummu al-Khair bin Isma’il al-Adawiyah al-Qisysyiyah. Termasuk dalam suku Atiq yang salasilahnya kembali kepada Nabi Nuh ‘alaihi Salam. Beliau merupakan anak keempat dan dilahirkan di Basrah, Iraq dalam sebuah keluarga yang miskin. Pada malam beliau dilahirkan, di rumahnya tidak mempunyai apa-apa, bahkan minyak untuk menyalakan pelita juga tidak ada. Malahan sehelai kain untuk membalut dirinya apabila dilahirkan juga tiada. Maka terpaksalah si ibu meminta si ayah untuk meminjam pelita minyak daripada jiran walaupun ayahnya telah bertekad untuk tidak meminta pertolongan daripada sesiapa. Oleh kerana keadaan yang memaksa, maka tekad si ayah terhapus, terpaksa juga ke rumah jiran. Miskin mereka tidak mengemis, malah semangatnya tinggi berusaha. Namun usahanya gagal kerana tiada seorang jiran pun membuka pintu. Si ayah bersyukur kerana tekadnya tidak gagal lalu pulang ke rumah.

Pada malam itu, si ayah yang mulia bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. Dalam mimpi yang indah itu, Rasulullah S.A.W telah memberikan tanda kepadanya dengan menyatakan bahawa anak yang bakal dilahirkan itu telah ditakdirkan akan menduduki tempat yang paling tinggi di sisi Ilahi.

Maka lahirlah insan yang bertuah itu. Namun, malang sekali kerana ketika meningkat remaja, ibu ayahnya meninggal dunia, manakala ketiga-tiga orang kakaknya turut meninggal dunia akibat kelaparan yang melanda Basra ketika itu. Dia kemudiannya dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam dan dijual sebagai hamba dengan harga yang rendah. Dikala usia muda ini, dia lebih banyak melaksanakan segala perintah tuannya disiang hari, manakala di sebelah malamnya pula menghabiskan masa berkhalwat dengan Tuhannya.

Rabiatul Adawiyah membesar dengan baik. Dia seorang yang cerdik dan lincah daripada kawan-kawannya. Sinar ketakwaan dan ketaatan jelas terpancar pada dirinya yang tidak dimiliki oleh orang lain. Dia seorang yang kuat daya ingatan dan telah dibuktikan mampu menghafal al-Quran saat usianya sepuluh tahun. Rabiatul Adawiyah selalu melakukan solat malam hingga fajar menjelang dan ketika dia sakit, dia menggantikannya dengan membaca al-Quran di siang hari. Dia selalu menitiskan air mata saat berdoa kerana rindu akan kekasihnya, Allah.

 

Pada suatu malam, tuan majikannya mendengar rintihan dan doanya. Hal ini sangat menyentuh hatinya hingga akhirnya dia pun dimerdekakan. Dengan kebebasan yang diperolehnya, dia curahkan hidupnya di masjid-masjid dan tempat-tempat pengajian agama. Dia juga mengajar kanak-kanak di Basrah. Hebatnya, tidak ada satu pun perkara yang memalingkan hidupnya daripada mengingati Allah.

Oleh kerana serikandi yang hidup di zaman Khalifah Abbasiyyah ini seorang wanita yang cerdik dan tinggi pergantungan kepadaNya, banyak lelaki yang tertarik dan berhasrat menjadikannya isteri. Di waktu lain, datanglah Muhammad bin Sulaiman al-Hasyimi, seorang amir Abbasiyyah dari tanah Basrah dengan bermaksud untuk meminangnya. Untuk menarik hatinya, dia ingin memberi mahar perkahwinan sejumlah seratus ribu dinar dan menjanjikan sepuluh ribu dinar setiap bulan. Namun bagaimana sikap Rabiatul Adawiyah? Dia berkata “sungguh, aku tidak merasa senang jika engkau menjadi budakku dan semua yang engkau miliki kau serahkan kepadaku atau engkau akan menarik kecintaanku kepada Allah meskipun hanya sebentar”

Setelah beberapa pinangan ditolak, akhirnya tawaran pinangan datang daripada gurunya sendiri dan seorang ulama besar di zamannya, imam Hassan al-Basri yang merupakan bukan calang-calang orang. Rabiatul adawiyah setuju tetapi dengan mengajukan syarat. Syaratnya adalah apabila gurunya dapat menjawab empat pertanyaannya dengan benar, maka akan diterima pinangan itu. Soalan-soalannya;

1. Apakah kesaksian yang akan diberikan orang saat menjelang pemakamanku ketika aku mati nanti? Akankah mereka bersaksi aku mati dalam keadaan Islam atau murtad?

2. Ketika dalam kubur nanti, malaikat Munkar-Nakir menanyaiku “siapakah Tuhanmu?” dapatkah aku menjawabnya?

3. Ketika semua manusia dikumpulkan di padang Mahsyar pada yaumul hisab nanti, semua orang akan menerima buku catatan amal daripada tangan kanan dan kiri, bagaimana denganku, apakah buku catatan amalku kuterima dengan tangan kananku?

4. Di hari perhitungan nanti, sebahagian orang akan dimasukkan ke syurga dan sebahagian ke neraka, bagaimana denganku?

Kesemua persoalan di atas dijawab oleh gurunya dengan jawapan : hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Kerana Imam Hassan al-Basri tidak dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan Rabiatul Adawiyah, beliau harus menerima kalau pinangannya ditolak kerana Rabiatul Adawiyah lebih memilih Allah sebagai kekasih sejatinya, dengan alasan “Perkahwinan itu memang perlu bagi siapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintahNya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun”. Biarpun ulama terbilang yang datang meminang, biarpun Sultan negara yang datang merisik, Rabiatul Adawiyah kekal sendiri kerana cinta hatinya hanya untuk-Nya.

Dalam hal yang lain, disebut juga, dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapan dan sentiasa membelek-beleknya. Tidak hairanlah, wanita sufi ini diangkat tarafnya menjadi wali, kerana tingginya cinta kepada pencipta. Doa yang masyhur yang selalu diucapkan; “Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaanMu supaya tiada satu pun yang dapat memalingkan aku daripadaMu”

Sampai akhir hayatnya, Rabiatul Adawiyah tersenyum pada saat malaikat maut sudah hampir ke arahnya, kerana beliau sudah terlalu rindu kepada Kekasih hatinya. Rabiatul Adawiyah pulang ke Rahmatullah pada 135 Hijrah, ketika usianya mencapai 80 tahun dan dimakamkan di rumah tempat beliau tinggal. Ketika jenazahnya diusung ke perkuburan, orang-orang soleh, para sufi dan orang-orang Islam turut mengiringinya dalam jumlah yang luar biasa ramainya.

Betapa tingginya cinta yang dimiliki olehnya, yang segala jerit payah dan rindu hanya diadukan kepada kekasih agungnya. Maka ketahuilah, tidak mudah untuk kita memperoleh nikmat cinta Ilahi. Hati yang kotor perlu dibersihkan, jiwa yang gersang perlu dibajai dan jika mendapatinya, tidak selayaknya kita mensia-siakan pemberian yang cukup berharga itu.

 

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (al-Fajr, 27-30)

 

 

 

Yang meminjam cita-citamu,

Mahisiswi Tahun 5, PERUBATAN Cawangan Mansurah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *