Mana perginya ‘Abid-Ku ?

“Anas, jom kita pergi Clinical Skill Course ni nak?“

“Berapa lama tu Man (Rahman)?”

“Hmm, dia tulis sini. Jap aku kira. 2 minggu la Anas..” Rahman mengangkat kening pada Anas.  “ Amacam? On  tak On ?” sambil tersengih menampakkan dua baris gigi putihnya.

“Alaa. Kau tahu Man. Kau pergi dua minggu tu, lepas balik nanti kalau kau tak practice tak jadi apa. Lupa juga nanti..” balas Anas sambil merapikan rambutnya di hadapan cermin. “Sudahlah. Aku nak bersiap ni. Asar lagi suku minit je. Jom pergi masjid lagi bagus. Nantilah fikirkan Clinical Course kau tu..”

Pernah dengar pepatah orang putih, practice make perfect? “Ei, geram je aku nak balas jawapan Anas ini.” monolog Rahman dalam sanubari yang hanya Allah, malaikat dan syaitan yang mengetahui.

Ya Practice make perfect. Cuba congak angka umur kita sudah berapa? Ramadan kali ini sudah masuk kali yang ke —? Kita bukan asing dengan kursus, course Ramadan ini. Bahkan kita berkawan rapat dengannya kerana tiap-tiap tahun kita akan bertemu kembali. Bukan dua minggu, bukan juga satu bulan, tetapi bertahun-tahun sudah kita mengenali dan merasai bulan penuh barakah ini. Masih belum perfect-kah amalan kita? Tepuk dada tanya iman.

RAMADAN

Umum kita tahu Ramadan ialah bulan tarbiah. Tarbiah yang Allah wajibkan bagi tiap-tiap umat yang mampu dan sampai tahapnya untuk involve, join in. Tidak ada yang terkecuali melainkan ada sebab- sebab tertentu.

Dalam bulan yang penuh keberkatan inilah, semua manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan ganjaran yang Allah sediakan. Gandakan amalan sunat, banyakkan membaca al-Quran dan bersedekah, berjaga malam dan pelbagai lagi amalan baik lain yang dilakukan. Kerana apa? Disebabkan ganjaran yang telah Allah tawarkan bagi setiap amalan baik yang kita kerjakan. Bonus bukan? Bagi kita yang terkumpulnya dosa dan maksiat, ini satu tawaran yang lumayan. Ini masanya kita menyucikan diri dan Rise again like a newborn baby yang tidak terpalit dengan najis dosa walau sebesar tahi lalat.

Persoalannya di sini, selepas bertungkus-lumus kita menghias indah hari-hari yang berlalu dalam Ramadan dengan amalan yang tidak putus-putus, mahukah kita amalan yang baik tadi kita tinggalkan sepi bila tibanya Syawal dan bulan-bulan yang mendatang? Rugi bukan? Lebih rugi daripada filem Dilwale yang terpaksa ditanggung separuh kerugiannya oleh Shah Rukh Khan. Tidak terbandingkan.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah, dan selesai pula melaksanakannya. Antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan sudah pasti yang terbaik adalah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain. Yang paling buruk ialah melakukan kejahatan selepas kebaikan yang akan menghapuskan kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan. Melakukan dosa selepas seseorang bertaubat itu lebih buruk daripada tujuh puluh dosa sebelumnya. (Lathoif al-Maarif ms 193)

HILANG

“Ke mana perginya ‘AbidKu yang selama ini gigih memohon Aku ampunkan dosa-dosanya yang lalu?” Allah bertanya kepada malaikat.

Ya, ‘Abid itu kamu. Aku. Dan kita semua. (‘Abid = hamba). Ibarat ayam disambar helang. Hilang dengan tiba-tiba. Berakhirnya Ramadan bererti berakhirlah diri kita yang suci menjaga diri daripada dosa-dosa kecil yang boleh mengurangkan pahala amal puasa. ‘Abid di waktu Syawal dan Muharam seperti tidak mengenali siapa ‘abid di bulan Ramadan. Janggal!

Kata Dr Yusuf al-Qhardawi: “Golongan salaf (generasi awal Islam) berkata: Seburuk-buruk manusia ialah yang tidak menyembah dan mengenali Allah kecuali dalam bulan Ramadan. Jadilah manusia yang menyembah Tuhan, bukan manusia yang menyembah Ramadan.”

ISTIQAMAH

Sufyan bin Abdillah R.A pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, khabarkan padaku sesuatu dalam Islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya selain daripadamu? Jawab Nabi SAW: “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama).” [HR Muslim]

Istiqamah. Senang diucapkan di mulut tetapi susah sekali untuk kita amalkan. Perkara yang amat sukar dalam hidup. Betapa beratnya untuk kita kekal konsisten dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Itulah persoalannya. Istiqamah, konsisten untuk kekal baik dan lebih baik.

Istiqamah ini adalah perkara penting supaya jiwa kita terus dididik melakukan perkara baik dan berterusan biarpun sedikit demi sedikit. Jika setiap malam mampu mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat tarawih pada malam Ramadan, wajar amalan itu kita terus laksanakan pada bulan mendatang.

الاستقامة خير من ألف كرامة

“Istiqamah lebih utama daripada seribu karamah”

PANDUAN UNTUK TERUS ISTIQAMAH.

PERTAMA: Sentiasa berdoa kepada Allah kerana istiqamah itu hidayah daripada-Nya.

Satu doa yang diajarkan kepada kita di dalam al-Quran, “Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (ali-Imran: ayat 8).

Ada satu kisah di mana Rasulullah SAW ditanya oleh Ummu Salamah, “Wahai Rasulullah, kenapa engkau sering berdoa dengan doa, “Wahai Zat yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku atas agama-Mu.” Jawab Rasulullah, “Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah. Siapa saja yang Allah kehendaki, maka Allah berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa saja yang dikehendaki, Allah pun bisa menyesatkannya.”

Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, hati yang sarat dengan harapan supaya Allah berikan kita hidayah dan kekuatan untuk kita terus beramal dengan kebaikan dan ketaatan kepada Allah sehingga kita meninggalkan dunia ini dengan husnul-khatimah. Amiin.

KEDUA: Berusaha menjaga keikhlasan dalam ibadah.

Kata Ibnu Taimiyah, “Segala sesuatu yang tidak didasari ikhlas kerana Allah, pasti tidak bermanfaat dan tidak akan kekal.” Para Ulama juga menggunakan istilah ‘segala sesuatu yang dilakukan ikhlas kerana Allah, pasti akan kekal Istiqamah’. Makam ikhlas ini tinggi nilainya. Kerana itu kita seringkali diingatkan tentang ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan bukan hanya dalam solat dan ibadat fardu yang lain bahkan dalam segenap perkara. Amalan yang tidak diiringi dengan ikhlas, adalah amalan yang sia-sia. Ibarat kita bekerja bersungguh-sungguh tanpa mendapat sebarang pulangan. Wal’iya zubillah.

Allah berfirman di dalam al-Quran “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan.” (al-Furqan: ayat 23)

“Hati-hatilah kalau melihat amal yang kita lakukan mulai lemah ketika kita diberi kesenangan, sebab itu adalah tanda bahawa kita kurang ikhlas dalam beramal.” – Abdullah Gymnastiar

KETIGA: Beramal-lah walaupun sedikit

Konsisten dalam beramal lebih Allah cintai dibandingkan dengan amal yang banyak tetapi tidak konsisten. Sedikit dalam beramal yang dilakukan secara terus-menerus sama dengan memupuk dan menyiram pohon iman sehingga ia akan tetap tumbuh segar dan tidak layu. Hasilnya, jiwa terus terangkat menuju darjat yang lebih baik serta menjejaki tangga-tangga ke arah kesempurnaan iman. Jika inginkan pohon iman kita mengeluarkan dahan yang kukuh dan buah yang banyak haruslah dimulai dengan membaja akar pohon agar sentiasa sihat dan mekar dalam reda-Nya.

Disebutkan di dalam hadis daripada ‘Aisyah-Radhiallahu ‘anha berkata, Rasulullah bersabda “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang konsisten walaupun itu sedikit.” (Riwayat Bukhari)

KEEMPAT: Rajin bermuhasabah

Orang yang sentiasa bermuhasabah, akan selalu berusaha untuk menjadi lebih baik. Muhasabah juga adalah amalan mulia para Nabi dan Rasulullah serta para insan yang bijaksana. Kemanisan hasil daripada kita bermuhasabah diri akan melahirkan taubat. Tak mungkin seseorang itu mengetahui dan menyesali perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan tanpa terlebih dahulu melakukan muhasabah. Antara sifat hamba Allah yang bertakwa juga adalah sentiasa muhasabah diri dan melakukan taubat dengan segera.

لنَّدَامَةُ تَوْبَةٌ “Menyesal itu adalah bertaubat”

Allah rakamkan juga di dalam al-Quran peri pentingnya untuk kita sentiasa bermuhasabah,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

 

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr: ayat 18).

KELIMA: Memiliki teman yang soleh

Pernah dengar ungkapan sahabat itu cerminan diri? Ya. Memiliki seorang sahabat yang soleh lebih baik daripada memiliki 1000 orang sahabat tetapi tidak membawa kepada keuntungan akhirat. Sahabat yang soleh akan sentiasa mengingatkan kita tatkala kita terlupa tanggungjawab kita kepada-Nya, selalu menasihati kita tatkala kita hilang arah tuju hidup, selalu menegur kita tatkala kita tersilap dalam mengatur langkah. Jika Allah inginkan kebaikan buat kita, Allah akan hadirkan dalam hidup kita perkara-perkara yang mendekatkan kita kepada-Nya.

Kata Saidina Umar al-Khattab: “Nikmat yang paling berharga selepas iman dan Islam adalah memiliki sahabat yang soleh.”

Imam Syafi’i juga berkata: “Jika engkau punya teman yang selalu membantumu dalam rangka ketaatan kepada Allah, maka peganglah erat-erat dia, jangan pernah kau lepaskannya. Kerana mencari teman baik itu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”

KEENAM: Puasa 6 Syawal

Ada sebahagian ulama yang mengatakan bahawa dengan melakukan puasa Syawal adalah tanda diterimanya amalan puasa Ramadan sebelumnya. Ganjaran yang Allah tawarkan bagi yang berpuasa 6 Syawal juga hebat.

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh.”

KITA HAMBA TUHAN, BUKAN HAMBA RAMADAN

Jadilah seorang hamba yang beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah secara berterusan bukan hanya di dalam bulan Ramadan. Amat rugi bagi kita jikalau kita keluar daripada bulan mulia ini hanya sekadar meraikan kemenangan berlepas daripada ujian lapar dan dahaga tanpa mengambil pengajaran dan kebaikan yang terdapat di dalamnya. Tidak lama hidup kita di dunia ini, maka rebutlah peluang yang ada sebaik mungkin. Kita mungkin tidak mampu menjadi seperti alim ulama, yang harinya berlalu dengan penuh terisi, mengembangkan ladang-ladang akhirat yang kian hari kian menyubur mekar, namun kita mampu berusaha dengan amalan-amalan yang sedikit tetapi berterusan. Istiqamah!

Sebagai pengakhirannya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadan pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.

“Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadan kerana kami sedar di Syurga terdapat sebuah pintu bernama al-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa sahaja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat daripada azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunat. Engkau peliharakanlah kami daripada azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.” Amin.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *