Dua hati mungkin boleh ditaut melalui alam maya, namun takkan pernah sama nilainya dengan pertemuan yang bersua muka. Pertemuan dengan sahabat, kenalan dan saudara mara merupakan saat indah bagi setiap orang terutamanya pada musim perayaan dan percutian. Namun, menghubungkan silaturahim bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dek tanggungjawab dan masa yang terkadang menghimpit. Jika dikira semula bilangan sahabat dan kenalan yang pernah hadir dalam kamus hidup kita, berapa ramai yang telah kita usahakan untuk bersua?

Islam menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki ukhuwah dan menyambung ikatan silaturahim sesama insan, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Amalan ziarah-menziarahi perlu dihidupkan lebih-lebih lagi pada musim perayaan, Hari Raya, di mana kita tidak perlu risau akan kekangan masa sebagai halangan. Kita perlu mengambil peluang pada bulan Syawal ini untuk memaksimumkan ziarah-menziarahi dan bertemu dengan saudara mara dan sahabat handai. Malangnya, masih ada golongan yang lebih suka menghabiskan masa dengan tidur dan menonton drama berbanding keluar menziarahi kenalan untuk meningkatkan ikatan silaturahim. Kita harus memotivasikan diri untuk terus menyambung silaturahim dengan mengetahui kelebihan dan ganjaran amalan ziarah ini.

Banyak manfaat yang dapat kita perolehi daripada amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan sangkaan buruk bakal terhapus. Maka dengan amalan menziarahi ini akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan hubungan sesama insan seterusnya menghubungkan ikatan silaturahim. Melalui hubungan silaturahim ini kita mampu saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

Amalan menziarahi dan bersilaturahim perlu diusahakan walau apa alasannya sekalipun. Jika ada panggilan atau jemputan daripada rakan untuk berkumpul dan bertemu, janganlah kita menolak. Jika tiada aral melintang, jangan tangguhkan lagi untuk bersilaturahim. Semoga dengan usaha menguatkan ikatan silaturahim sesama manusia ini dapat mengukuhkankan lagi kedudukan umat Islam di muka bumi.
Biro Kebajikan dan Perumahan ,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *