KEPENTINGAN UNTUK MENYUSUN MASA

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(al-Isra’ :1-3)

 

Begitulah yang tercatat di dalam al-Quran tentang berharganya sebuah masa, dan dengan hanya melakukan apa yang tercatat di dalam ayat tersebut mampu mengeluarkan seseorang dari dilanda kerugian. Di dalam sebuah hadis juga disebutkan, bahawa masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka masa itulah yang akan memotong kita.Oleh itu, maka wajarlah kita memperhatikan semula kepentingan untuk menyusun masa yang diluangkan dalam kehidupan seharian ini.

 

Aku merupakan seorang pelajar kejuruteraan tahun akhir disebuah universiti awam di Barat Malaysia, dan seperti pelajar perubatan yang lainnya aku mempunyai jadual pelajaran yang agak ketat. Tambahan pula, aku seorang yang giat dalam pelbagai kelab yang ditubuhkan di dalam univeriti dan di kawasan setempatku.

 

Kringg…kring…sebuah panggilan memasuki telefon bimbitku.”Ya ibu, kan Farid sudah kata nanti Farid lapang Farid pulanglah ke kampung ya untuk jenguk ayah”. Ibu hanya mengiyakan dengan penuh kehampaan. Namun diceruk hatinya masih penuh dengan harapan menanti kepulangan aku setelah hampir 2 tahun tidak melawat mereka.

 

Ayahku berumur sekitar 60 tahun. Sudah 5 tahun ayah dilanda suatu penyakit yang menyebabkan ayah susah untuk bergerak tanpa bantuan orang sekeliling. Hanya ibuku yang menjaga ayah setelah kematian abangku 8 tahun lepas. Namun ibu juga bergelut untuk menyara ekonomi keluarga dengan menjual karipap secara kecil kecilan. Namun rezeki Allah itu amat luas, karipap buatan ibu itu amat tular dikalangan penduduk kampung kerana intinya yang pelbagai dan unik seperti sambal bilis dan serunding ayam halus.

 

“Farid, prestasi akademik kau makin merudum”, sebut Azmi rakan karibku, melahirkan kerisauannya. “Tidak mengapa, aku akan buat yang lebih baik pada masa akan datang”, balasku. Namun hakikatnya, aku tetap terus mengabaikan pelajaranku selepas itu.

 

“Awak tahu tidak bila anak kita tu akan balik menjenguk kita?”, soal bapa kepada ibuku. Ibu mengalihkan pandangannya ketepi seakan akan termenung mencari jawapan. “Entahlah”, jawab ibuku pendek.”Cuba awak tengok gambar Farid waktu kecil ini, rupanya saling tidak tumpah seakan awak”, tambah ayahku sambil mengusap-usap gambarku ketika kecil dahulu.

 

Solat dan ibadah yang lain, kerja persatuan, waktu tidurku semuanya menjadi tunggang langgang. Ketua Kelab juga acap kali memarahiku kerana kerap kali ponteng ke perjumpaan yang diadakan. Aku tetap bersahaja meneruskan hidupku bagaikan tiada apa-apa serius yang berlaku, sedangkan hidupku bagaikan sedang di hancurkan perlahan-lahan oleh diriku sendiri. Waktu lapang yang ada pula aku gunakan untuk tidur, bermain permainan video dan berfoya-foya bersama rakan-rakanku di kedai-kedai makan.

 

Pada suatu hari, ayah kehabisan ubat yang diperlukannya dan perlu mendapatkannya segera di farmasi. Farmasi itu terletak agak berhampiran dengan kawasan rumahku dan agak dekat untuk ayah berjalan ke sana. Namun pagi itu, ibu pula masih sibuk menjual karipap pada waktu itu untuk menghabiskan kesemua karipap yang dibuatnya pagi tadi.

 

Dalam kesibukan diriku menghabiskan sisa-sisa kerja yang bertangguh, tiba-tiba terdetik dihatiku akan rindu kepada kedua ibubapaku. Mungkin aku sudah terlalu lama meninggalkan kampung halamanku. Beberapa kelompok air jernih jatuh dari mataku.

 

“Tidak mengapa, aku mampu pergi ke farmasi itu sendiri”, tekad ayahku. Namun tidak lama kemudian, ayah terjatuh kerana tersadung sebatang kayu lalu kepalanya menghempap sebuah batu besar yang ada sehingga berlumuran darah. Osman,seorang jemaah masjid yang mengenali ayahku kebetulan sedang lalu di situ. Osman segera menghubungi ambulans bagi membawa ayahku ke hospital memandangkan begitu banyak darah yang keluar daripada kepalanya dan keadaan ayahku yang tidak sedarkan diri.

 

“Alhamdulillah akhirnya laku kesemua kuih aku hari ini”, detik hati ibuku. Lalu ibu mengira kesemua duit yang diperolehinya dan memasukkannya kedalam sebuah dompet khas bagi menyimpan duit-duit keuntungan.Tiba-tiba datang seorang lelaki yang berumur 30an dengan bersenjatakan pisau menghulur pisau itu kepada ibuku.

 

“Serahkan kesemua duit yang ada kalau tidak ingin nyawa kau melayang”, jerit lelaki tersebut dengan bengis.Tolong…tolong…jerit ibuku berkali-kali, mengharapkan rintihannya didengari orang berdekatan.

 

Dushhh…satu tumbukan tepat ke muka penjahat tersebut datang dari arah tepi. Tumbukan itu tidak lain tidak bukan adalah daripadaku.Nasib menyebelahi kerana aku tiba di situ dan menyaksikan kejadian tersebut tepat pada waktu kejadian berlaku. ”Nah kau rasakan”, gertakku. Namun penjahat tersebut terus menghayun pisaunya kearahku. Pisau itu menyiat tanganku, dan membuat tanganku mendapat luka yang agak dalam. Aku hanya mampu mengetap bibirku, menahan kesakitan yang dirasakan. Darah mulai mengalir deras hingga melumuri hampir ke seluruh lenganku. Mungkin kerana terlalu panik dengan keadaan yang berlaku, penjahat itu segera lari meninggalkan kami kerana tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya itu.

 

Farid! ibu memanggilku. Lantas ibu segera memelukku erat sehingga beberapa ketika melepaskan rindunya yang mendalam.”Ibu, maafkan Farid baru sempat ingin pulang menjenguk”, bisikku. “Mari kita ke hospital, dalam juga luka Farid ini”,pinta ibuku pula.

Lalu kami pun segera menahan teksi untuk ke hospital.

 

Ketika sedang mendaftar di kaunter, sebuah ambulans berhenti di perkarangan hospital. Bunyi siren yang kuat menangkap perhatianku. Lalu kumpulan paramedik tersebut bergegas mengeluarkan troli bagi membawa pesakit untuk di bawa ke ruang kecemasan. Alangkah terkejutnya aku kerana orang tersebut amat aku kenali. Aku berlari-lari anak mengejar mereka dengan perasaan yang sangat terkejut.

 

 

“Ayah..”, jeritku. Namun kumpulan paramedik tersebut begitu pantas memasuki sebuah bilik bagi melakukan bantuan kecemasan kepada ayahku. “Maaf ye encik tidak boleh masuk ke ruang ini”, rayu salah seorang dari mereka. Aku yang awalnya terkejut dengan apa yang kulihat sebentar tadi, mulai bercampur dengan perasaan sedih dan hampa. Aku hanya mampu melutut diluar pintu bilik tersebut lalu menanti di luar sehingga mereka selesai.”Selamatkan ayahku Ya Allah”, rintihku.

 

Encik Osman pula datang kemudiannya. “Sabarlah, kita doa yang terbaik untuk dia ya”, pujuknya bagi menenangkanku. “Ini dompet ayah kamu, saya kutip tadi kerana terjatuh sewaktu kejadian berlaku”. Encik Osman menghulurkan sebuah dompet coklat kepadaku. Ayah masih menggunakan dompet yang aku hadiahkan tiga tahun lepas sewaktu kali terakhir kami bertemu. Aku membuka dompet tersebut dan ternampak gambarku sewaktu kecil dahulu bersama dengan ayah. Aku tersenyum ringkas. Lalu aku mengeluarkan gambar itu untuk mengusapnya. Di belakang gambar itu terdapat sebuah nota ringkas, “Ayah sayang Farid selamanya”. Aku mulai sebak.

 

Setelah puas menunggu dengan perasaan yang amat gelisah, seorang doktor yang masih berpakaian ‘scrub’ datang menemuiku. “Encik anak kepada pakcik tersebut ke ?”, soal doktor tersebut mencari kepastian.”Ya saya”, jawabku. “Saya harap encik dapat bersabar ya dengan apa yang akan saya sampaikan”. Aku mengangguk tanda berserah diri. “Kami sudah mencuba sebaik mungkin untuk selamatkan ayah encik, namun Allah lebih menyayanginya”. Faktor umur dan penyakit ayah yang sedia ada membuatkan keadaannya lebih sukar untuk diselamatkan. Air mata mulai membasahi pipiku. Tidak aku sangka pandangan terakhir di pintu hospital tersebut adalah pandangan terakhirku kepada ayah sebelum menemui ajal.

 

Aku masuk ke ruangan pembedahan untuk melihat jenazah ayah. Lalu perlahan-lahan mendekatkan wajahku ke wajah arwah mengucup dahinya. Mungkin seketika ku merasa cintanya bagai dibelai mimpi sempurna. Sudah amat terlambat bagiku untuk membalas semula jasanya kepadaku. Aku menyesal kerana tidak mengatur untuk pulang dengan lebih awal. “Innalillahi wainna ilaihi rajiun.Maafkan Farid ayah”, sebutku perlahan.

 

Masa yang berlalu itu, tidak akan pernah kembali walau sejauh mana kita berlari mengejarnya. Aku sedar aku tidak akan mampu mengubah masa silam, namun aku mampu untuk membaiki masa hadapanku. Mulai saat itu aku berazam untuk menjaga ibuku dengan sepenuh hatiku dan lebih mendisiplinkan diri dalam urusan seharianku. Aku ingin mengubah segala kekusutan hidupku menjadi sesuatu yang indah suatu hari nanti.

 

Terkadang kita terleka dalam menguruskan waktu dalam hidup kita. Dan yang lebih parah adalah kita terlupa untuk meluangkan waktu untuk orang yang kita sayangi. Moga apa yang berlaku dapat menjadi peringatan berharga buat diriku kelak.

 

Nukilan,

Jabatan Bendahari merangkap Biro Ekonomi,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *