Di dalam islam, menuntut ilmu itu adalah wajib.

Ilmu amat penting dalam membimbing kita menjalani kehidupan seharian.

Sabda Nabi S.A.W,

طَلَبُ العِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَىْ كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya : Menuntut ilmu fardu (wajib) ke atas setiap Muslim (baik lelaki ataupun perempuan).
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Banyak kelebihan yang dinukilkan di dalam Al-Quran mahupun hadis berkenaan darjat orang yang berilmu. Antaranya :

  1. “Katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” [Surah Az Zumar: 9]
  2. 2. “Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kalian serta orang-orang yang menuntut ilmu beberapa darjat” [ Surah Al-Mujadalah: 11 ]
  3. “Jika seorang anak Adam (manusia) meninggal, maka seluruh amalannya terputus kecuali dari tiga hal : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya” [ H.R. Muslim ]
  4. “Barangsiapa yang menjejaki suatu jalan dalam rangka mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” [ H.R. Ibnu Majah & Abu Daud ]

Oleh itu, bergembiralah wahai penuntut ilmu!

Apa yang membezakan adat dan ibadat adalah niat. Bagi kita pelajar sains kesihatan, niat umpama diagnosis, tersilap diagnosis maka tersilaplah rawatan yang diberikan. Tersilap rawatan boleh mengakibatkan kematian. Begitulah gambaran tentang betapa pentingnya nilai sebuah niat dalam kehidupan seorang Muslim terutamanya kita pelajar Muslim sains kesihatan.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan itu mengikut apa yang diniatkan” (H.R Imam Bukhari dan Muslim)

Maka, ayuh kita ambil peluang pada permulaan sesi pengajian kali ini dengan membetulkan niat kita. Belajarlah kerana Allah. Semoga hasil daripada kita belajar ini mampu memberikan manfaat buat agama, diri, keluarga, negara, umat Islam dan manusia di seluruh dunia amnya.

Di sini ada satu panduan ringkas untuk kita semua amalkan berkenaan dengan niat, semoga bermanfaat. Bermula esok, selepas saja selesai membaca doa bangkit daripada tidur, berniatlah, “ Ya Allah, semoga segala perbuatan baik yang akan aku lakukan pada hari ini semuanya adalah untukMu dan maafkan aku sekiranya ada perbuatan buruk yang aku lakukan nanti tanpa sengaja. “

Semoga ikhlas menyusul setiap perbuatan harian kita dan diganjarkan pahala dengan hanya niat yang betul. Jom kembali ke universiti!

Sumber :
– Al-Quran
– Hadis
– Kitab Taalim Mutaalim, Bab 1 dan 2

#KembalikeUniversiti
#JiwaMahasiswa
#PCMOneBigFamily

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *