Untuk mendapatkan sesuatu yang berkualiti, kita perlu melakukan pemilihan. Pilihan yang tepat dapat membantu kehidupan kita. Begitu juga dalam menuntut ilmu. Dalam kitab Taalim Mutaalim, ada dinyatakan berkenaan pemilihan bermula daripada ilmu, guru dan juga sahabat.

Bagi penuntut ilmu, kita haruslah memilih mana-mana ilmu yang terbaik dan amat diperlukan dalam kehidupan juga agama kita pada masa kini dan masa hadapan. Dan ilmu yang perlu dipelajari terlebih dahulu ialah ilmu tauhid iaitu ilmu mengenal Allah lengkap dengan dalilnya. Di Mesir, PERUBATAN ada menyediakan kelas tafakuh, maka ayuh belajar ilmu agama seiring dengan ilmu perubatan.

Dalam memilih guru pula hendaklah mengambil yang lebih alim, warak dan juga lebih tua usianya. Namun begitu, tidak kiralah guru muda atau tua yang mengajar kita di universiti, kita tetap harus menghormati mereka kerana merekalah yang membuka jalan ilmu kepada kita dalam bidang yang diceburi.

Selain itu, kita juga harus memilih sahabat yang mampu membangkitkan semangat belajar kita. Jangan pula memilih sehingga timbul perpecahan, berkawanlah dengan semua dan berubahlah bersama-sama. Semoga kita menjadi sahabat yang memiliki akhlak yang baik dan mampu berpimpin tangan ke syurga.

Sebagai penuntut ilmu, kita juga harus memuliakan ilmu. Antara maksud memuliakan ilmu ialah memuliakan ahli ilmu, memuliakan guru serta memuliakan kitab ilmu yang dipelajari.
Ali bin Abi Talib pernah berkata :

“Saya adalah hamba kepada orang yang telah mengajariku walaupun satu huruf. Terserah kepadanya samada saya mahu dijual, dimerdekakan ataupun tetap menjadi hambanya.”

Kata-kata ini menggambarkan betapa tingginya darjat mereka yang mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Kita juga dituntut untuk menghormati kitab atau buku pelajaran kita. Antara adab dengan kitab ialah berwuduk apabila ingin mengambil kitab dan memulakan pembelajaran, tidak membentangkan atau menghalakan kaki ke arah kitab, menulis dengan jelas dan mengelakkan menggunakan warna merah dalam kitab.

Ada sebuah kisah, di mana pada suatu malam, Syeikkhul Syamsul Aimmah as-Sarkhasyi mengulangkaji pelajarannya. Kebetulan pada malam itu, beliau mengalami sakit perut. Untuk itu, beliau telah berwuduk sebanyak 17 kali dalam satu malam kerana mempertahankan prinsip dan adabnya dalam menuntut ilmu iaitu supaya belajar dalam keadaan suci.

Subhanallah, betapa mulianya akhlak mereka yang terdahulu dalam menuntut ilmu. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka semua mampu belajar sehingga berbelas pelajaran dalam satu hari dan mahir lebih daripada satu bidang kepakaran.

Oleh itu, untuk memperoleh keberkatan, ayuh kita menjaga adab kita dengan ilmu, guru, buku dan sahabat seperjuangan dalam menuntut ilmu! Semoga rahmat Allah mengiringi kita semua.

Sumber :
– Al-Quran
– Hadis
– Kitab Taalim Mutaalim, Bab 3 dan 4

#JiwaMahasiswa
#PCMOneBigFamily
#KembalikeUniversiti

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *