وقيل : من طلب شيئا وجد وجد، ومن قرع الباب ولج ولج وقيل : ما بقدر تتعنى تنال ما تتعنى

 

      Ada yang berkata : “Barangsiapa bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu pastilah akan ketemu, dan barangsiapa mengetuk pintu bertubi-tubi pasti dapat memasuki, dan dikatakan lagi : sejauhmana usahamu begitulah pula tercapai cita-citamu”

 

Kunci kejayaan adalah kesungguhan dan himmah yang luhur. Daripada kesungguhan ini akan melahirkan usaha, daripada usaha perlu disulami dengan istiqamah dalam mengulangkaji berulang kali. Namun begitu, kita tetap perlu menjaga dan menghormati hak kepada diri sendiri.

 

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “ Dirimu itu adalah kenderaanmu, maka santunilah ia.”

 

Untuk sebuah kereta berfungsi pada tahap yang maksimum dan tempoh yang optimum, kereta tersebut memerlukan penyelenggaraan yang terbaik. Begitu juga diri kita, untuk memberikan hasil yang terbaik perlu dijaga rohani dan jasmani diri kita dengan ramuan yang digariskan oleh Islam.

 

Akan tetapi! Panas terik mentari tidak akan kekal selamanya, pasti suatu hari akan datangnya ribut mahupun hujan yang membasahi bumi. Begitulah diri kita sebagai manusia, kesungguhan kita tidak akan berterusan, akan ada naik dan turunnya. Kemalasan akan tiba juga pada diri kita sesekali.

 

Dalam kitab Taalim Mutaalim ini, ada disebutkan bahawa malas boleh berlaku disebabkan pemakanan yang berlebihan. Dalam sebuah hadis ada menyebut : Tiga golongan yang dibenci Allah bukan kerana dia berdosa iaitu orang yang pelahap makan, orang yang kikir dan orang yang sombong.

 

Disarankan kepada kita untuk memakan roti kering, zabib dan bersiwak bagi melancarkan hafalan dan kefasihan ilmu di samping merupakan sunnah Nabi S.A.W juga.

 

Selain itu, malas juga boleh terjadi akibat kita jarang menghayati kemuliaan dan keutamaan ilmu. Kerana itu, hendaklah kita sentiasa mengingatkan diri tentang kelebihan-kelebihan orang yang menuntut ilmu supaya kita terus mempunyai kekuatan untuk bangun esok harinya ke kuliah.

 

Apakah cara terbaik dalam mengulangkaji pelajaran? Sampai di sini sahaja perkongsian pada hari ini, nantikan perkongsian seterusnya!

 

Sumber :

– Hadis

– Kitab Taalim Mutaalim, Bab 5

 

#JiwaMahasiswa

#PCMOneBigFamily

#KembalikeUniversiti

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

Biro Akademik

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *