|Kepentingan Memilih Pemimpin|

Islam melakar sirah betapa pentingnya perihal memilih pemimpin. Ketika wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat Muhajirin dan Ansar berhimpun di Thaqifah Bani Sa’idah. Tujuan perhimpunan itu adalah untuk memilih Khalifah (Ketua Negara) sebagai ganti kepada Rasulullah SAW yang telah wafat.

Perhimpunan itu dilakukan setelah selesai menunaikan solat jenazah Rasulullah SAW dan sebelum mengebumikan jasad Baginda. Perkara ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan memilih pemimpin dalam ajaran Islam, sehingga lebih diutamakan daripada mengebumikan jasad Rasulullah SAW.  Menjadi perbincangan pada waktu itu adalah kerana Rasulullah SAW tidak pernah menyebut siapakah penggantinya, kerana itu berlaku syura (mesyuarat) bagi memilih pengganti baginda. Cara dalam memilih pemimpin adalah bergantung kepada keadaan semasa, oleh sebab itu cara pemilihan pemimpin pada zaman para sahabat berbeza. Rasulullah hanya meninggalkan prinsip, iaitu syura. Memilih ketua merupakan perkara yang disebut sebagai politik dan politik ini menjadi sebahagian daripada syariat Islam.

Ketua tidak hanya untuk sesebuah negara, bahkan ketua juga termasuk di kawasan kediaman, sesebuah organisasi dan lain-lain hatta sekecil-kecil perkara Islam ajarkan kepada kita untuk mempunyai ketua bagi setiap permusafiran yang minimanya tiga orang.

“Apabila kamu keluar bermusafir tiga orang, hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi ketua”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam melayari bahtera kepimpinan, tidak hanya ketua sahaja yang menggerakkan sesuatu urusan, tetapi  turut dibantu oleh pembantu yang setia dan pendokong yang sanggup berkorban demi mencapai matlamat agar Islam sampai kepada setiap individu.

 

Mengapa penting memilih pemimpin?

Mereka yang memimpin ialah mereka yang bakal menguruskan sesebuah organisasi untuk melaksanakan tanggungjawab  iaitu  menyebarkan Islam kepada setiap individu dan menegakkan keadilan. Jika tersilap memilih pemimpin, sama ada pemimpin yang lemah daripada sudut pengurusan, ilmu atau akhlak, maka matlamat yang unggul tersebut mustahil untuk dicapai.

 

Siapa pula yang akan memilih pemimpin?

Ahli. Setiap ahli mempunyai kuasa besar dalam hal ini. Oleh sebab itu, ahli merupakan elemen penting dalam pemilihan tampuk pimpinan. Tidak cerdik ahli dalam memilih pemimpin jika hanya melihat daripada sudut karismatik yang menipu sahaja. Sekiranya ahli mengambil sikap berlepas diri dalam proses pemilihan ini, bermakna mereka telah mengabaikan tangungjawab sebagai ahli. Memilih pemimpin bukan perkara yang remeh, sebab itu perlunya memilih pemimpin yang mempunyai  kriteria kepimpinan.

 

Pelbagai cara yang boleh dilakukan dalam memilih pemimpin, antaranya ditentukan pengganti oleh ketua semasa, melalui syura dan juga melalui pilihan raya dengan cara mengundi. Proses pilihan raya adalah cara pelantikan yang sinonim dengan majoriti manusia pada hari ini. Mengundi bukan  sahaja memilih pemimpin untuk ahli, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik pemimpin untuk melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar  yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri ahli melalui kekuasaan dan suara. Mengundi juga adalah hakim terhadap sesebuah organisasi dengan melakukan hisbah di sepanjang kepimpinannya.

Konsep ini berdasarkan firman Allah dalam Surah ali-Imran, ayat 104

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”

 

Besarnya tanggungjawab pemimpin, tidak kurang juga ahli yang memilihnya kerana kedua-duanya sama-sama menyambung sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang paling besar. Pentingnya sinergi antara ahli dan pimpinan dalam melaksanakan misi yang telah digariskan, iaitu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan demi mencapai matlamat yang utama. Pemimpin juga layak menerima ketaatan, kesetiaan dan nasihat daripada ahli.

Apabila kamu dipilih, jadilah yang terbaik. Apabila kamu ingin memilih, pilihlah yang terbaik. Hanya muslim yang  tidak pedulikan maruah muslim selainnya sahaja yang tidak mahu mengundi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Wallahu ‘alam

Mahasiswi tahun 6

Perubatan Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *