PERANAN MAHASISWA TERHADAP MALAYSIA

 

Teguh rapuhnya ekonomi dan masyarakat dalam sesebuah negara banyak dipengaruhi oleh anak-anak muda kini khususnya mahasiswa yang diharap dapat memimpin dan membimbing keluarga serta masyarakat lalu membentuk sebuah negara maju dan berdaya saing di persada dunia.

Universiti ialah satu institusi yang mencorak masa depan masyarakat dan negara. Namun demikian, sebagai mahasiswa yang kompeten dan intelektual, kita sewajarnya menggunakan universiti atau mana-mana persatuan sebagai satu medium untuk meningkatkan kemahiran diri yang tidak dapat kita perolehi di dalam kelas. Negara amat memerlukan anda sebagai pelajar yang holistik dan seimbang dengan menggunakan keupayaan dan potensi diri untuk terus memacu kecemerlangan negara.

Sebagai contoh, sewaktu menguruskan sesuatu program, pelbagai kemahiran yang diperlukan, antaranya seperti berkomunikasi antara ahli jawatankuasa pelaksana, peserta dan pihak atasan. Jika berlaku sebarang masalah pula, keadaan ini dapat menguji kemahiran berfikir kita secara kreatif dan kritis bagi mengatasi masalah tersebut. Dalam pada itu, proses pendokumentasian juga penting untuk dipelajari bagi memastikan kelancaran program-program yang akan datang. Semua kemahiran ini mampu dilatih secara tidak langsung apabila kita memanfaatkan posisi kita sehabis baik dalam menyumbang kepada masyarakat melalui sebarang medium yang sudah tersedia ada sewaktu kita menjadi mahasiswa.

Selain itu, mahasiswa berperanan memberi kesedaran tentang peri pentingnya penjagaan aspek sosial dan pergaulan dalam kalangan masyarakat melalui kempen kesedaran, misalnya melalui kempen “Mind Your Gap” yang pernah dilakukan oleh PERUBATAN. Hal ini menjadi lebih penting untuk diketengahkan dalam masyarakat kita secara amnya apabila kita mengamati statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara bahawa 4992 kanak-kanak tidak sah taraf telah dilahirkan oleh remaja perempuan berumur 18 tahun ke bawah pada tahun 2017. Tambahan pula, keruntuhan akhlak remaja seperti pergaulan bebas, melepak, rempit dan sebagainya kini kian membimbangkan. Ekoran itu, kita sebagai mahasiswa haruslah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang polimik ‘klise’ ini melalui pelbagai alternatif yang ada, antaranya ialah dengan menyebarkan risalah dan memberi penerangan tetang penyakit-penyakit bawaan hubungan seksual bebas seperti AIDS dan Sifilis.

Sebagai mahasiswa yang matang dan berfikiran jauh, kita sewajarnya memanfaatkan kehidupan berkampus dengan mengadakan diskusi-diskusi atau wacana yang membentuk sahsiah dan jati diri dalam kalangan mahasiswa yang lain. Diskusi seperti ‘Retak Menanti Belah’ dan ‘Malaysia Tanah Airku’ jelas dapat memupuk semangat patriotisme dalam sanubari mahasiswa-mahasiswa yang lain. Hal ini kerana, diskusi merupakan perbincangan dua hala yang bukan hanya melibatkan panel-panel pengisi bahkan penonton juga dapat berbincang sekali dalam majlis tersebut secara profesional.

Dari kaca mata yang lain, sebagai mahasiswa yang proaktif, kita sewajarnya mengambil cakna tentang isu-isu semasa seperti hubungan dua hala negara, ekonomi dan pembangunan. Oleh itu, kita dapat mengetahui setiap perkembangan negara dan dapat menilai pentadbiran negara seperti naik turun nilai ringgit, pembikinan kereta nasional kedua bersama Jepun, pembinaan lebuh raya alternatif utara selatan dan sebagainya. Setelah menilai, maka kuasa kita adalah untuk mengundi parti yang selayaknya mentadbir negara mengikut acuan negara Islam yang sebaiknya.

Akhir kalam, sememangnya mahasiswa yang kompeten dan bermanfaat amat diperlukan daripada segenap aspek komuniti mahupun negara bagi menjamin kemaslahatan bersama. Rentetan itu, dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar ini, sebagai mahasiswa kita haruslah menyahut cabaran untuk membangunkan serta memajukan struktur ekonomi, pendidikan mahupun sosial agar Malaysia mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi bersama negara-negara maju yang lain.

 

 

 

 

 

 

Biro Sukan dan Aktiviti Luar,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *