بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

31 Disember 2018 – Sebuah pertemuan rasmi telah diadakan antara wakil PERUBATAN Cawangan Mansurah(PCM) bersama Education Malaysian Egypt (EME) yang diwakili Encik Aizal Anual, Pengarah EME dan Encik Ahmad Buhairi, Setiausaha Pendidikan (Pertama) EME, bagi membincangkan beberapa masalah berkaitan pelajar di Universiti Mansurah.

 

Pertemuan yang berlangsung di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) tersebut telah disertai oleh wakil PCM yang diwakili oleh Timbalan Pengerusi PCM, saudari Nur Syahirah Jamaluddin, Timbalan Ketua Biro Akademik (BCAD) saudari Khairunnisa Nabilah Subari dan turut serta Penasihat PCM, saudara Muhammad Fayyadh Md Amin.

Dalam pertemuan ini, pihak PCM telah menyuarakan beberapa masalah yang dihadapi oleh sebahagian pelajar Universiti Mansurah terutamanya berkaitan masalah fail pendaftaran pelajar. Untuk makluman semua, pihak Fakulti Perubatan telah mengeluarkan surat amaran kepada 45 orang pelajar untuk disekat daripada menduduki peperiksaan akhir pada Januari ini sekiranya masalah fail ini belum diselesaikan. Pihak PCM telah menerangkan kepada pihak EME tentang tindakan yang diambil oleh pihak universiti rentetan daripada masalah ini dan cuba mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak EME.

 

Pihak PCM telah membawa senarai nama pelajar yang terlibat dalam masalah ini yang diperolehi daripada pihak fakulti dan senarai tersebut telah diserahkan kepada pihak EME untuk dilakukan semakan dan diselaraskan dengan pihak EME. Terdahulu, pihak Biro Akademik telah pun mengadakan pertemuan secara individu dengan pelajar yang mempunyai masalah fail ini dalam membantu mereka untuk menyelesaikan masalah fail ini. Pihak PCM turut melampirkan masalah dan situasi yang berbeza bagi setiap pelajar kepada pihak EME.

 

Pihak EME turut menjelaskan kepada wakil PCM tentang proses terkini urusan fail yang dilakukan dan masalah serta kesukaran yang berlaku dalam setiap proses tersebut.

Pihak PCM telah menggesa pihak EME supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin sebelum bermulanya peperiksaan akhir semester agar pelajar yang terlibat dapat menduduki peperiksaan. Beberapa cadangan penyelesaian telah diutarakan daripada kedua-dua pihak dalam membantu kepada masalah ini dan diharapkan usaha ini akan berjalan dengan baik.
Sehubungan dengan itu, pihak PCM menyeru kepada mereka yang mempunyai masalah fail ini untuk bekerjasama dengan BCAD dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan baik. Biro Akademik akan terus mengemas kini perkembangan masalah ini dari semasa ke semasa. Pihak PCM mengucapkan terima kasih kepada pihak EME kerana sudi bekerjasama membantu dalam hal ini.
Beberapa perkara turut diajukan seperti perkembangan akreditasi sistem baharu universiti di Mesir yang melibatkan pelajar tahun 1, makluman tidak rasmi untuk jemputan ke majlis graduasi pelajar perubatan dan beberapa perkara yang lain.
Di kesempatan ini juga, pihak PCM menasihati agar ahli PCM terus fokus dalam mengulang kaji pelajaran dengan sebaiknya dan belajar bersungguh-sungguh dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba nanti.
Sama-sama kita doakan supaya setiap urusan ini dapat diselesaikan dengan baik.

 

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

#PCMOneBigFamily
#JiwaMahasiswa

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2018/2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *