Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (al-Maidah: 32).

Tanggal 12 Mei setiap tahun, merupakan detik terpenting bagi meraikan petugas kesihatan yang mendominasi sebahagian besar daripada dunia klinikal. Mereka ini diumpamakan sebagai lilin yang membakar diri, sanggup berkorban masa demi menjaga pesakit supaya sembuh seperti sedia kala dengan izin Allah. Biar pun masa terhad bersama keluarga tersayang, setiap hari mendengar celoteh pesakit dan bebanan rutin kerja yang memeningkan, mereka tetap ikhlas dan sabar dalam memberikan khidmat dan rawatan yang terbaik. Merekalah Jururawat!

Sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini, mari kita lihat serba sedikit fakta tentang jururawat.

Info: Hari Jururawat Antarabangsa

  • Disambut setiap tanggal 12 Mei.
  • Diraikan sempena ulang tahun kelahiran pengasas kejururawatan moden, Florence Nightingale.
  • Florence dikenali sebagai ‘The Lady with the lamp’ kerana pada zaman perang Crimean (1853 hingga 1856) beliau selalu melawat pesakit (tentera) pada waktu malam dengan lampunya untuk melihat pesakit yang memerlukan bantuan.
  • Dianjurkan Majlis Kejururawatan Antarabangsa (ICN), berpusat di Geneva sejak 1899.
  • Hari ini ia disambut sebagai mengenang jasa jururawat yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, bertungkus-lumus siang dan malam dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam sejarah awal Islam, seorang srikandi yang bernama Rufaidah binti Sa’ad dinobatkan sebagai jururawat Islam yang pertama. Beliau dibesarkan dari kaum Khazraj dan merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam ketika di Madinah.

Sumbangan beliau dalam dunia kejururawatan sangat besar nilainya. Selain daripada merawat tentera Islam di medan perang seperti perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar dan lain-lain, Rufaidah mengetuai pasukannya menjadi jururawat yang berdedikasi dan juga turun ke dalam komuniti untuk menyelesaikan masalah sosial yang memberikan kesan kepada kesihatan komuniti.

 

Kepada para jururawat, berkhidmatlah dengan ikhlas dan terus berbakti demi agama dan negara. Sesungguhnya, kerja mulia ini akan menjadi medan pahala yang berpanjangan jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

 

Selamat Hari Jururawat buat semua insan yang bergelar Jururawat!

Nukilan,

Pelajar Perubatan,

Universiti Mansurah, Mesir.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *