[ KENYATAAN RASMI | FASA TAWAKUF ]

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam atas segala nikmat iman dan Islam yang telah dikurniakan kepada kita sebagai bekalan menempuhi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana atas usaha Baginda, sehingga hari ini kita masih menikmati keindahan Islam yang sebenar-benarnya.

Tanpa kita sedar, masa pantas meninggalkan kita. Bersyukurlah kerana kita masih lagi berpeluang bertemu dengan Ramadan pada tahun ini. Bergelar sebagai mahasiswa sains kesihatan, seringkali kita diuji dengan pelbagai ujian dalam menjalankan aktiviti harian termasuklah juga ujian dalam menghadapi peperiksaan. Maka, seperti tahun-tahun sebelum ini, kini tiba masanya untuk mahasiswa sains kesihatan diuji kefahaman, penguasaan dan kemahiran dalam subjek yang dipelajari.

Oleh yang demikian, PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) memberikan seluas-luas ruang dan peluang buat ahli PCM untuk memanfaatkan masa yang ada dalam mempersiap diri bagi menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. PCM akan menghentikan seketika pergerakan dan beberapa program selama 1 bulan 21 hari. Pergerakan dan program PCM akan ditangguhkan bermula 9 Mei 2019 sehingga 1 Julai 2019.

Buat pengetahuan semua, daripada pihak PERUBATAN telah memutuskan beberapa bentuk program yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian program dan keadaan semasa. Antaranya ialah:

1. Program berbentuk kecemerlangan akademik yang melibatkan sasaran yang kecil.

2. Pembawaan Smart Circle yang tidak memberi fokus kepada silibus.

3. Akiviti semasa seperti solat jenazah, solat hajat dan kutipan derma kilat yang melibatkan kebajikan ahli.

4. Aktiviti-aktiviti berkala yang berskala kecil (termasuk mesyuarat).

5. Program/aktiviti sepanjang fasa Exam Fever Campaign (EFC) dan fasa IHRAM sempena menyambut bulan Ramadan.

Kami mewakili barisan pimpinan PCM menyeru kepada semua ahli agar bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain dalam menyusun strategi dan membudayakan perkongsian ilmu sebagai persediaan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Berusahalah bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan natijah kerana apa yang dinilai di sisi Allah adalah usaha yang dilakukan, bukan keputusan peperiksaan semata-mata. Jangan lupa untuk bertawakal kepada Allah agar apa yang dilakukan berdasarkan petunjuk dan hidayah daripada-Nya.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah ali-Imran, ayat ke 159.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menjaga hubungan dengan Sang Pencipta di samping hubungan sesama manusia lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Moga ada keberkatan dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Sehebat mana usaha yang kita lakukan untuk menempuhi peperiksaan pada kali ini, jangan dilupakan kebergantungan kita semua kepada Allah. Peperiksaan hanyalah wasilah. Niat menuntut ilmu adalah untuk mengeluarkan diri daripada kejahilan. Namun wasilah perlulah dibuat sehabis baik supaya terbukti niat yang kita tetapkan.

Seeru ‘ala Barakatillah.

#JiwaMahasiswa
#PCMOneBigFamily

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Afiqah binti Zulkifili,
Naib Pengerusi II merangkap Biro Sukan dan Aktiviti Luar,

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Qaiyim bin Muhamad Fahmi,
Naib Pengerusi I merangkap Biro Sukan dan Aktiviti Luar,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2019/2020

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *