Keadaan cuaca pada musim panas kali ini sangat terasa terutama sekali bagi pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Meskipun keadaan cuaca kadangkala boleh mencecah sehingga 45 darjah Celcius tetap tidak menghalang aktiviti seharian yang memerlukan urusan di luar rumah dan menyebabkan kita  terdedah dengan cahaya matahari yang panas dan terik.

Namun, sejauh mana kita menyedari bahawa lebih lama kita terdedah dibawah sinaran matahari tanpa perlindungan lebih banyak kemudaratan yang akan memberi kesan kepada kita dalam jangka masa panjang?

Rata-rata komuniti kita tahu mengenai bahaya sinaran matahari yang dikenali sebagai sinaran ultraviolet (UV) namun tahukah anda mengenai 2 jenis sinaran UV yang paling merbahaya dan merupakan penyebab utama kepada kanser kulit?

Sinaran matahari mengeluarkan 3 jenis sinaran iaitu UVA, UVB dan UVC namun hanya UVA dan UVB yang akan dikupas dalam karangan ini kerana kedua-dua sinaran ini yang paling banyak memberi kesan kepada manusia.

Sedikit pencerahan mengenai sinaran UV, meskipun sinaran ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun kedua sinaran ini mempunyai jarak gelombang (wavelength) yang tersendiri dimana jarak gelombang UVA lebih panjang (320-400nm) dan hampir 95% sinaran ini diserap masuk kedalam kulit hingga ke lapisan kedua menyebabkan sinaran UVA ini lebih merbahaya kerana ia menyebabkan kulit hilang keanjalan dan menyebabkan kedutan pra matang dan juga kanser kulit. UVA juga boleh menembusi permukaan kaca dan sentiasa ada meskipun cahaya matahari ditutupi awan.

Sinaran UVB pula mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek (290-320nm) dan tidak menembus masuk kedalam kulit dan tidak menerombos permukaan kaca namun sinaran ini yang menyebabkan kemerahan kulit (sunburn) dan penuaan kulit pra-matang. Sinaran ini mampu menyebabkan kemerahan kulit dalam masa 15 minit sekiranya terdedah tanpa perlindungan.

Kesan-kesan lain yang disebabkan oleh sinaran UV ini juga adalah photo-keratitis dan photo-konjunctivitis, radang bola mata dan kelopak mata sekiranya terdedah secara berpanjangan. Katarak juga boleh disebabkan akibat terdedah kepada sinaran UV yang keterlaluan.

Setelah kita mengetahui mengenai bahaya dan kesan sinaran ini, penting untuk kita tahu bagaimana untuk melindungi diri kita daripada terlalu terdedah kepada sinaran UV ini. Berikut merupakan sedikit perkongsian mengenai langkah-langkah mencegah sinaran UV :

  1. Elakkan diri daripada terlalu terdedah dibawah cahaya matahari pada pukul 10 pagi sehingga 4 petang kerana cahaya matahari sangat terik ketika waktu ini.
  2. Elakkan memakai pakaian yang banyak mendedahkan tubuh badan.
  3. Memakai kaca mata hitam yang mempunyai perlindungan UV dan memakai topi yang mampu melindungi bahagian kepala dan leher daripada cahaya matahari.
  4. Memakai losyen pelindung matahari berspektrum luas bersamaan SPF sekurang-kurangnya 15, 15 minit sebelum keluar rumah.

Musim panas ini bukanlah satu penghalang untuk melakukan aktiviti di luar rumah namun perlu bagi kita untuk mengetahui bahaya silent killer  yang disebabkan oleh sinaran cahaya matahari dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri kita daripada kesan jangka masa panjang yang disebabkan oleh sinaran UV ini.

 

Sumber Rujukan :

  1. Paula’s choice skincare, Perbezaan antara UVA dan UVB,https://www.paulaschoice.com/expert-advice/skincare-advice/sun-care/the-difference-between-uva-and-uvb-rays.html
  2. 30 Julai 2014, Adult Congenital Heart Disease Centre, UPMC Health Beat, Perbezaan antara UVA dan UVB, https://share.upmc.com/2014/07/infographic-abcs-uv-difference-uva-uvb-uvc/
  3. 24 Mei 2013, John H Epstein, Skin Cancer Foundation, UVA & UVB, https://www.skincancer.org/prevention/uva-and-uvb

 

Nur Farah Najwa binti Hassim,
Bakal Tahun 6 Perubatan Cawangan Mansurah,
Jabatan Setiausaha Agung dan Jabatan Kebajikan & Kemanusiaan, PERUBATAN

 

Sebarang aduan, muhasabah atau cadangan boleh layari pautan berikut:
http://tinyurl.com/eaduanPCM

#PCMOneBigFamily
#JiwaMahasiswa

“Bridging the Community ”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Biro Penerbitan & Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Mansurah,
2019/2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *