Kehadiran tarikh keramat bagi rakyat Malaysia iaitu tanggal 31 Ogos bakal menjelang tidak lama lagi. Hari istimewa ini mempunyai sejuta makna dan kisah untuk kita hayati. Nikmat kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil titik peluh dan darah pejuang yang menuntut kemerdekaan bumi umat Islam.  Seharusnya kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada para pejuang kemerdekaan bumi umat Islam.

 

Kebanyakan perjuangan kemerdekaan bumi umat Islam dipelopori oleh ulama Islam yang beramal dengan ilmu dan mempunyai semangat cintakan tanah air. Tahun 2019 merupakan tahun yang ke-62 ulang tahun kemerdekaan rakyat Malaysia. Sudah sekian lama kita telah bebas daripada belenggu penjajah secara fizikal. Bagaimana pula dari sudut pemikiran kita? Adakah sudah bebas? Malang sekali, masih ramai antara kita masih mempunyai pemikiran barat yang liberalisme, sekularisme dan lain-lain yang bertentangan dengan syiar Islam.

 

Sehubungan itu, dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai maksud merdeka yang sebenar, ulama berperanan memberikan sumbangan pemikiran dalam membentuk pandangan umat Islam ke arah yang lebih baik. Kemerdekaan negara perlu dikaitkan dengan keperluan memerdekakan diri daripada belenggu kejahilan dan sikap negatif kepada keilmuan dan akhlak Islam supaya nikmat kebebasan dan keharmonian hidup bermasyarakat yang dikecapi sejak sekian lama terpelihara.

 

Selain itu, ulama juga berperanan menyampaikan kepada umat Islam tentang perbezaan antara konsep kebebasan berlandaskan agama dan kebebasan berasaskan nafsu manusiawi semata-mata. Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya:

“Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”. (Muttafaqun ‘Alaih)

 

Ulama juga mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam kepada umat manusia dalam segenap aspek. Jika ada ulama yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka mereka bukan ulama yang sebenar.

 

Kefahaman hidup seperti budaya, politik, ekonomi dan lain-lain daripada perspektif Islam hendaklah menjadi cabang ilmu yang diajar oleh ulama kepada orang ramai. Mereka berperanan melurus dan menjernihkan umat daripada saki-baki fahaman jahiliyyah, khurafat dan perkauman yang masih tebal yang boleh menghakis akidah Islam.

 

Tambahan pula, adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dalam kalangan hamba-Nya ialah ulama”.

 

Sikap dan perilaku ulama yang sebenar adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya supaya menjadi ikutan masyarakat setempat. Ulama bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.

 

Pada era pasca kemerdekaan ini, kita mestilah menjadikan ulama sebagai tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu usaha menghalang ulama daripada menyampaikan ajaran agama adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau mengetepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha memadamkan sinar agama Allah di mana jua. Usaha para ulama yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama.

 

Ulama juga sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah. Ini kerana Allah telah memerintahkan dalam surah ali-Imran ayat 104:

“Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”

 

Akhir sekali, peranan dan kedudukan ulama sangat penting dalam masyarakat, seharusnya kita menghormati dan menghargai ulama kita yang soleh dan bertakwa. Kewajipan kita adalah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama. Ini tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 32:

“Demikianlah (ajaran Allah), sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati (orang yang beriman)”.

Justeru kita mesti menyokong dan bekerjasama dengan ulama untuk menobatkan syiar Islam melalui dakwah dan perjuangan Islam.

 

Mohamad Hazwan Akmal bin Norazman,
Tahun 4 Perubatan Universiti Mansurah,
Jabatan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *