[AZAM]

Aku Zahirkan Azam Membara


Bismillahirahmanirrahim,

Selamat kembali ke sesi pengajian yang baharu bagi semua pelajar jurusan sains kesihatan di bumi kinanah, Mesir. Pastinya seribu satu perasaan telah hadir ke dalam  jiwa sejurus pihak universiti mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai tarikh bermulanya sesi pengajian yang baharu. Sesetengahnya menanti dengan semangat yang menggunung dan sesetengahnya mengeluh hiba dek kerana keseronokan cuti musim panas yang masih membelenggu jiwa. Namun demikian, hakikat sebagai seorang penuntut ilmu harus diteruskan demi melestarikan impian ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Sesungguhnya jerih perih dan penggemblengan kudrat mereka tiada nilai yang boleh dihitung untuk dibayar kembali.

kesempurnaan peribadi terletak pada kesempurnaan kemahuan.”

Peribadi, HAMKA                            

Coretan dari tokoh ulama kelahiran Indonesia ini menjelaskan bahawa individu yang mempunyai peribadi yang baik sentiasa mempunyai kemahuan yang teguh dan jelas. Kesemua kemahuan ini pula tidaklah dapat dikecapi atau digapai hanya dengan angan –angan kosong tetapi ia memerlukan api semangat yang sentiasa membakar iaitu keazaman . Dalam konteks kita sebagai mahasiswa/wi, tunggak utama yang memandu semangat dan kemahuan tidak lain adalah keazaman yang tinggi pada permulaan sesi pembelajaran. Keazaman yang tinggi lagi  jitu mampu menjadikan seseorang itu lebih jelas tujuan seterusnya cerah jalan dalam membuat keputusan. Oleh itu, anasir – anasir lain yang boleh melarikan fokus mampu ditepis dengan sebaiknya.  Adakah keazaman yang tinggi benar-benar mampu memandu satu jiwa ke arah kemahuannya?.

               

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahqaaf, 35

 

Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari Rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka. pada hari mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka (merasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari. (inilah) suatu pelajaran yang cukup, Maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik.

 

Kita sering diperdengarkan mengenai kisah para rasul ulul azmi sejak berada di bangku persekolahan lagi. Namun, siapakah mereka?. Allah telah menurunkan beberapa ayat al-Quran mengenai mereka untuk dijadikan ibrah atau pedoman bagi manusia sejagat. Dalam lakaran sirah para anbiya’, kelima – lima orang rasul pilihan ini iaitu Ibrahim, Nuh, Isa, Musa dan Muhammad SAW telah menempuh pelbagai mehnah dan tribulasi yang dasyat sehingga memecah logik akal manusia semata-mata untuk menyampaikan risalah tauhid pada suatu masa dahulu. Semangat yang tidak pernah luntur dan goyah ini semestinya adalah manifestasi daripada keazaman yang tinggi sewaktu menerima wahyu dari Rabb Azza Wajall lagi. Kesannya pada hari ini, kita sebagai mahasiswa/wi muslim khususnya masih dapat merasa kemanisan nikmat iman dan Islam tanpa peru merasai secebis pun penderitaan mereka.

Di samping itu, dalam rakaman sirah peperangan Badar terdahulu,  dapat dilihat nilai keazaman dan cita-cita luhur sekalian kaum Muslimin yang sanggup menyertai perang tersebut demi pertahankan kesucian agama Islam. Walaupun pada hakikatnya mereka mempunyai jurang perbezaan bilangan ahli tentera yang jauh lebih kecil berbanding kaum Musyrikin. Hal ini kerana timbulnya rasa tanggungjawab dalam diri secara tulus dan tingginya rasa kebergantungan kepada Allah pencipta sekalian alam. Sebagai natijah, kaum muslimin berjaya memenangi perang tersebut dengan keizinan dan bantuan dari Rabb. Kita dapat mengambil intipati dari sirah ini bahawa, individu yang telah jelas azamnya akan lebih merasa tanggungjawab ke atas diri mereka seterusnya membugar rasa tawakkal yang lebih tinggi kepada Allah.

 

Firman Allah

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩

Artinya:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. karena itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
(Ali Imran (3): 159).

 

Akhir kalam,  tiada jalan mudah dan tiada jalan singkat demi mencapai matlamat yang dicita melainkan dengan azam yang terus meningkat. Buat para mahasiswa/wi yang masih terlena, bangunlah!!!  Masih belum terlambat untuk mula mencorak azam kejayaan kita. Justeru itu, saya menyeru kepada semua agar teruskan bersemangat dalam menuntut ilmu dan sentiasa perbaiki diri ke arah yang lebih baik.

 

Ahmad Yazid bin Ab. Rahim,
Tahun 4 Perubatan Mansurah,
Ketua Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Mansurah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *