[Artikel : Apa Peranan Mahasiswa di Malaysia ? ]

 

“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah”

 

 

Mahasiswa dalam skop perbincangan kali ini melingkupi kelompok pelajar yang berada di puncak tertinggi pendidikan. Mereka dikategorikan sebagai golongan yang sangat berpengaruh kerana berada di tahap pendidikan yang tertinggi. Maka, mereka ini secara tidak langsung menjadi contoh dan ikutan buat generasi akan datang.

 

Antara peranan mahasiswa ialah memartabatkan dan menguasai ilmu pengetahuan. Dalam menempuh alam universiti, mahasiswa tidak akan lari daripada konsep penguasaan ilmu. Bahkan ia merupakan salah satu tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa yang berwawasan untuk membantu masyarakat seterusnya menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Namun begitu, perlu diingat bahawa ilmu tersebut juga perlu diamalkan. Ilmu yang bermanfaat merupakan ilmu yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

 

Seterusnya, mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan. Adat patah tumbuh hilang berganti, begitu juga dengan tongkah kepimpinan. Sedar atau tidak, sebenarnya apabila mahasiswa melibatkan diri dengan aktiviti persatuan secara tidak langsung dapat melatih sifat kepimpinan dalam diri seseorang. Selain dapat mendidik disiplin, ia juga dapat mengasah skil berkomunikasi dengan masyarakat. Maka, tidak dapat dinafikan pemuda yang berketerampilan tinggi lebih berpotensi untuk memimpin masyarakat seterusnya dapat melaksanakan perintah Allah, mengamalkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

 

Selain itu mahasiswa yang cemerlang ialah insan yang menjiwai agama. Hal ini kerana, Islam seharusnya menjadi pedoman untuk seorang pemuda dalam menguruskan kehidupan sehariannya. Seorang muslim perlu ingat, agama Islam bukan perkara tambahan malah ia adalah keperluan asas seseorang individu. Andai agama dipandang enteng, hasilnya kita boleh lihat keadaan anak muda sekarang yang makin bebas pergaulannya, perlakuan yang melampaui batas dan penggunaan kata-kata yang kesat. Islam bukan hanya ibadat semata-mata bahkan Islam adalah syumul yang merangkup seluruh kehidupan.

 

Peranan mahasiswa juga adalah sebagai wakil masyarakat untuk bersuara sekaligus menjadi titik penting dalam mewujudkan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. Namun begitu, suara masyarakat ini bukan bermaksud sewenang-wenangnya melemparkan bicara tapi perlu kepada penelitian yang berasaskan pada bukti yang kukuh. Kalau melihatkan kepada situasi di Malaysia, sudah banyak medium untuk rakyat bersuara tapi malangnya mereka menggunakan medium-medium ini dengan cara yang salah. Oleh itu, sebagai mahasiswa merangkap suara masyarakat setempat seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik buat ikutan orang ramai. Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat mereka seharusnya meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah kerana pertolongan Allah itu sentiasa ada buat hamba-hambaNya yang beriman.

 

“…Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat”

(Surah al-Baqarah: ayat 214)

 

Kesimpulannya, mahasiswa memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan yang baik dan cerah. Pasakkan minat dan kefahaman berkenaan tujuan hidup di muka bumi Allah ini. Setiap individu mempunyai peranan masing-masing, jadi kita sebagai mahasiswa yang cakna perlu tahu dan hadam peranan-peranan tersebut. Peranan kita bukan sekadar menjadi pelajar bahkan lebih daripada itu. Anak, pelajar dan seorang dai yang mudah-mudahan dapat mendidik orang lain dengan pemahaman yang benar.

 

Maisarah binti Aminuddin,

Tahun 3 Perubatan Mansurah,

Timbalan Ketua Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *