Biah Kita, Kita Bina

 

Apabila kita menyebut berkenaan ‘Biah Solehah’, janganlah kita menyempitkan minda kita bahawa ia hanya sekadar harus menjaga pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Jika kita melihat maksud ‘Biah Solehah’ secara ringkas, ia membawa maksud persekitaran atau suasana yang baik mengikut ruh Islam. Maka, apa-apa perkara, sebagai contoh menjaga kata-kata, bertegur sapa, menutup aurat dan perkara yang boleh mewujudkan suasana yang baik mengikut ruh Islam juga perlu dalam melahirkan biah yang solehah. Tidak dinafikan, menjaga pergaulan diantara lelaki dan perempuan juga termasuk perkara untuk melahirkan biah solehah (suasana yang baik).

 

Saya yakin ramai yang dapat membezakan perkara yang baik dan buruk, serta perkara yang patut dilakukan untuk melahirkan suasana yang baik ini. Cuma mengapa kita masih lagi tidak berjaya untuk melahirkan atau mengekalkan biah solehah dalam kehidupan kita?

 

Antara punca masih lagi berlakunya kerosakan dan kesalahan dalam perkara ini adalah kerana kita tidak nampak peri pentingnya kewujudan ‘Biah Solehah’ ini. Di sini saya akan kongsikan kenapa perlu untuk kita melahirkan dan hidup di dalam biah yang solehah.

 

  1. Suasana untuk berubah menjadi lebih baik.

 

Ramai yang pasti pernah mendengar kisah daripada sebuah hadis, seorang lelaki telah membunuh 99 orang. Dipendekkan cerita, apabila dia bertemu dengan seorang yang berilmu, dia bertanyakan adakah masih layak untuk dia bertaubat. Orang berilmu tersebut menyuruh lelaki tersebut pergi ke sebuah tempat yang dipenuhi dengan manusia yang beribadah kepada Allah dan jangan pulang ke tempat asal yang buruk.

 

Dari sini kita dapat belajar keperluan untuk berada di dalam kelompok yang baik untuk mengubah diri menjadi baik. Mungkin ada di antara kita yang tidak bernasib baik, dilahirkan dan dibesarkan di dalam suasana yang tidak membolehkan mereka untuk menjadi baik. Mereka takut akan suara yang berkata-kata sekiranya mereka cuba untuk berubah. Jadi perlunya untuk bersama-sama dengan kelompok yang baik supaya bukan sahaja dapat mengelakkan diri daripada dihalang menjadi baik, tetapi juga untuk mendapatkan sokongan sekiranya hampir tersungkur di tengah jalan.

 

  1. Saham akhirat.

 

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: ”Apabila anak Adam itu mati, maka terputuslah amalnya, kecuali (amal) dari tiga ini: sedekah yang berterusan, pengetahuan yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan dia.” (HR Muslim)

 

Satu perkara yang ingin saya sentuh adalah berkenaan amal jariah. Mungkin ada segelintir manusia yang memahami amal jariah dari sudut menderma. Sebagai contoh, menyumbang untuk membina masjid dengan harapan mendapat pahala yang berterusan selagi mana masih ada orang lagi yang menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan. Namun, adakah anda bersetuju sekiranya saya mengatakan biah solehah juga boleh dijadikan amal jariah kita?

 

Sebagai contoh, sekiranya kita membuat sesuatu perkara yang baik seperti membaca al-Quran dan ada orang yang melihat kita melakukan perkara tersebut seterusnya ada yang turut melakukan perkara tersebut kerana melihat perbuatan kita. Maka diharapkan kita dapat memperoleh ganjaran daripada apa yang orang tersebut lakukan hasil daripada perbuatan kita. Dan menjadi kebimbangan sekiranya perkara yang salah disisi syarak menjadi perkara harian sehingga hilangnya rasa bersalah kerana telah dinormalisasikan.

 

Usaha untuk melahirkan biah solehah ini bukanlah usaha yang patut dilakukan secara seorang diri. Namun, usaha ini memerlukan kesedaran dan pemahaman dalam setiap individu dan diterjemahkan kepada amal. Amal ini perlu untuk digerakkan secara beramai-ramai supaya ia dapat menjadi satu suasana yang baik. Peringkat PERUBATAN mahupun PERUBATAN Cawangan banyak telah menggerakkan usaha dengan harapan dapat terbinanya suasana yang mana kita dapat untuk sama-sama melaksanakan apa yang dituntut oleh agama. Jadi saya tinggalkan satu soalan untuk sama-sama kita tanyakan kepada diri kita.

 

Apakah biah yang ingin kita tinggalkan untuk generasi di sini setelah kita pulang nanti?

Muhammad Faris bin Mohd Mokhlis,

Tahun 6 Perubatan Universiti Mansurah,

Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah 2019/2020

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *