“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr:1-3)

Demikianlah pesanan Allah SWT di dalam kitab-Nya yang menjadi panduan dan pegangan mukmin. Kita dinasihati agar memenuhi seluruh waktu hidup dengan amalan-amalan kebaikan. Dalam surah ringkas ini juga Allah SWT mengingatkan bahawa antara golongan yang rugi ialah orang yang tidak menggunakan kesempatan masa hidupnya untuk mentaati perintah dan hukum-hakam-Nya tanpa mengira tinggi atau rendah kedudukan mereka.

 

Baginda Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda:

“Rebutlah lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  • Masa hidup sebelum datang kematian
  • Masa sihat sebelum sakit.
  • Masa lapang sebelum sibuk.
  • Masa muda sebelum tua.
  • Masa kaya sebelum miskin.”

 

 

Bahkan bukan surah dan hadis ini sahaja yang menekankan tentang kepentingan masa tetapi masih banyak lagi hadis, kalam ulama yang menekankan tentang pentingnya kita sebagai umat Islam untuk menjaga masa.

Masa amat penting dalam sebuah kehidupan seorang manuisa. Oleh itu setiap muslim berkewajipan untuk menjaga masa-masanya dengan penuh teliti agar masa yang ada itu mampu meningkatkan prestasi iman, amalan dan perlaksanaannya.

Antara kewajipan muslim terhadap masa adalah:

1) Menjaga masa.

Tugas utama yang dipikul oleh setiap orang Islam ialah menjaga masa. Masa sepatutnya perlu diberi perhatian lebih melebihi harta benda. Setiap detik yang berlalu seharusnya digunakan untuk agama dan kebaikan ummah. Orang yang mengsia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah. Ada pepatah Arab yang mengatakan “Waktu itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya semasa ke semasa, dia pula yang memotong kamu.”

Dengan demikian generasi para sahabat sentiasa bekerja demi mempertingkat prestasi hidup mereka dari semasa ke semasa. Hari ini mesti lebih baik daripada semalam dan hari esok mesti lebih baik daripada hari ini. Hinggakan ada antara sahabat yang berkata, “Siapa yang pada hari-hari mendatangnya masih kurang baik daripada hari-hari yang lepas, maka dia masih lemah. Siapa yang pada hari mendatangnya lebih buruk daripada hari-hari yang lepas, maka dialah orang yang terkutuk.”

2) Pembaziran masa.

Sebenarnya ketidakmatangan mentadbir masa adalah lebih berbahaya daripada ketidakmatangan dalam menguruskan harta benda. Golongan yang membazirkan masa sepatutnya dihukum lebih berat daripda golongan yang membazir wang ringgit kerana harta benda yang hilang boleh dicari namun masa yang hilang tidak boleh dicari ganti.

“Buang masa” adalah satu istilah yang sering kita dengar dalam kalangan remaja Islam masa kini di pusat membeli belah, pusat permainan online, di kafe-kafe hipster dan sebagainya. Bahkan bukan golongan muda sahaja malah golongan tua juga terpalit sama. Mereka duduk berjam lamanya di meja dadu, di hadapan papan catur mahupun gadjet masa kini. Soal halal dan haram tidak lagi diendahkan. Terkadang sehingga terlepasnya waktu-waktu solat, dan lupa akan segala kewajipan yang lain.

Apabila ditanya, tanpa rasa bersalah dijawab “kami hendak menghabiskan masa”. Beginilah dengan ringkas jawapan mereka yang tidak mahu diganggu. Mereka tidak menyedari bahawa orang yang membuang masa dengan percuma, sebenarnya telah menganiyai dirinya sendiri. Tiada siapa yang boleh berindak ke atas golongan ini melainkan mereka sendiri yang sedar akan akibat dan bahayanya pembaziran masa.

 

3) Pengisian masa kosong.

Nikmat waktu lapang merupakan salah satu nikmat yang sering dilupakan oleh manusia. Masa kosong merupakan satu perkara yang tidak akan berkekalan dan waktu inilah yang perlu diisi, sama ada dengan perkara kebaikan ataupun keburukan. Oleh itu, sungguh beruntung bagi mereka yang mengisi waktu lapangnya dengan perkara kebaikan dan berbalik pada lawannya.

Sesetengah alim ulama yang sahih ada berkata: “Waktu kekosongan dan kelapangan dari kesibukan merupakan nikmat yang besar. Jika seseorang hamba mengambil kesempatan waktu kekosongan ini untuk memuaskan hawa nafsu, maka orang ini dikatakan telah mengkufurkan nikmat. Oleh itu, Allah SWT akan menjadikan dirnya sentiasa runsing, kerana hatinya sudah tidak bersih.”

Masa kekosongan bagi seorang pemuda yang mewah dengan kebendaan lebih bahaya kerana dengan masa yang kosong dan wang ringgit yang ada padanya itu, lebih mudah menyebabkannnya terjerumus ke jurang maksiat.

 

4) Peredaran masa buat pengajaran.

Setiap detik peredaran masa, dari siang bertukar malam, sewajarnya diambil sebagai pengajaran bagi orang yang beriman. Masa pasti akan terus berkisar. Malam dan siang silih berganti. Sepanjang detik-detik perjalanan masa, seorang muslim tidak seharusnya lalai daripada berfikir untuk mendapat pengajaran daripada pertukaran masa tersebut.

Melalui masa, ada perubahan alam yang dapat dilihat dengan mata dan ada pula yang tidak diketahui oleh sesiapapun.  Sebagai contoh, proses benih yang menjadi bunga serta proses kejadian manusia yang bermula dengan ovum dan sperma sehinggalah lahirnya seorang bayi. Status manusia juga ada yang dari muda ke tua, dari sihat menjadi sakit serta dari suka menjadi duka, semuanya merupakan hasil daripada perubahan masa. Dari detik-detik peredaran inilah yang mendatangkan pengajaran buat mereka yang menggunakan akal fikiran. Adapun, akan ada golongan yang pasif, dimana siang dan malam yang bersilih ganti tidak mendatangkan sebarang erti buat mereka.

 

Itulah antara kewajipan muslim terhadap masa. Konklusinya, kita sebagai umat Islam yang mengatakan cinta dan sayang terhadap Allah, Rasulullah serta agama ini perlu membuktikan bahawa kita benar-benar memaksudkan perkara tersebut melalui nikmat masa yang telah dikurniakan kepada kita.

Ingatlah bahwa antara salah satu ketentuan yang tidak akan berubah pada masa, ialah yang mana setiap hari dan setiap detik, masa tetap akan berlalu. Detik-detik masa yang telah hilang tidak akan pernah datang lagi dan berhubung dengan masa, semua, manusia akan disoal jawab di hadapan Allah SWT di hari kiamat kelak.

Akhir kalam, pengarang kitab “Al-Hikam” pernah berkata: “Sungguh malu jika kamu berada di dalam kekosongan dan keringanan dari berbuat kerja tetapi kamu masih tidak mahu datang mendampingi diri dengan Allah SWT”.

 

Wallahua’lam.

 

Karimah Nadiah binti Razali,

Tahun 5 Kuliah Perubatan Universiti Mansurah,

Timbalan Ketua Biro Pembangunan Insan,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2019/2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *