Pernahkah anda fikirkan bagaimana satu pasukan bola sepak yang terdiri daripada sebelas orang pemain mampu untuk memenangi suatu perlawanan? Sedangkan perwatakan, kebolehan dan cara permainan mereka berbeza. Adakah disebabkan kebolehan seorang pemain sahaja mampu membuat satu  pasukan tersebut untuk menang? Ataupun faktor kehebatan pengurus pasukan dalam menyusun strategi mampu memenangkan mereka? Tidak mustahil dan tidak salah. Sekiranya seorang sahaja pemain mampu menjuarai sesuatu pasukan maka apakah keperluan  sepuluh orang lagi pemain? Walau sehebat mana strategi yang disusun oleh pengurus yang berpengalaman sekalipun tidak mampu untuk membuahkan hasil selagi pelaksanaannya tidak baik. Jadi jawapan yang paling tepat adalah perkara yang asas iaitu kerjasama!

Sepertimana yang selalu disebutkan oleh siri animasi wonderpets, “Apa yang penting? Kerjasama!”.

Walaupun bunyinya agak cliche, tetapi tidak dapat ditolak ini adalah unsur penting dalam menyatukan sesebuah pasukan. Jika kita lihat kepada skop yang lebih meluas sama ada rakyat sesebuah negara mahupun ahli dalam sesebuah organisasi, boleh kita anggap kerjasama sama nilainya dengan perpaduan. Perpaduan sangat penting apabila sesebuah negara mahupun organisasi mahu mencapai matlamatnya atau haja tuju mereka. Maka jika ambil contoh satu pasukan bola sepak tadi, apa yang menyatukan mereka adalah satu kefahaman yang jelas bahawa mereka perlu untuk menjaringkan gol bagi menjuarai perlawanan. Nah, jika masing-masing faham bahawa matlamatnya adalah sama maka semua akan faham tugas mereka bagi mencapai kepada matlamat tersebut menyebabkan kemenangan akan lebih mudah untuk dikecapi.

Bagaimana pula dengan Islam? Adakah Islam tidak menekankan perpaduan?

 

Jauh sekali tidak. Islam adalah agama yang menitikberatkan perpaduan. Di manakah buktinya? Di sebut dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 13,

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan kamu.”

 

Tetapi mengapa kita lihat pada hari ini seolah-olah umat Islam berpecah-belah? Sedangkan agama kita dan matlamat kita sama, iaitu mencari keredaan Allah S.W.T?

Persoalan yang menarik. Sedarkah kita bahawa pada zaman kegemilangan para sahabat dan juga Rasulullah S.A.W, Islam sangat digeruni oleh musuh kerana semangat dan kefahaman yang jitu membuatkan mereka tidak mampu untuk dikalahkan. Bagaimana pula dengan zaman sekarang? Kini kita bukan lagi di era peperangan secara fizikal bagi mendapatkan tanah jajahan dan sebagainya, namun kita berperang dengan serangan pemikiran yang meracuni umat-umat Islam pada hari ini.

Betul ke? Tidak nampaklah pula serangan pemikiran ni, semua benda baik sahaja. Ini perasaan sahaja agaknya.

 

Memanglah tidak nampak, kerana serangan ini berbentuk halus. Adakah jika musuh menyerang mereka akan memaklumkan ini adalah serangan secara terbuka? Tidak bukan? Secara logik sekalipun jika hendak melakukan serangan perlulah mempunyai strategi-strategi yang tertentu jadinya perlu untuk kita berhati-hati kerana digusari kita sendiri telah terjerat dengan serangan tersebut. Dan serangan-serangan pemikiran ini sebenarnya sudah merebak dikalangan masyarakat Islam sama ada kita sedar ataupun tidak. Sehinggakan ia menjadi satu bentuk normalisasi dan tidak lagi dipandang pelik oleh masyarakat umum.

 

Jadi apakah serangan-serangan pemikiran ini?

 

Serangan pemikiran ini disebut sebagai idealisme. Ada pelbagai idealisme yang mula merebak dikalangan masyarakat manusia sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang. Dan umat Islam sendiri tidak terlepas daripada terpedaya dengan idealisme-idealisme ini. Apakah contoh idealisme-idealisme yang ada? Antaranya adalah sekularisma (pemisahan agama daripada kehidupan seharian), nasionalisma (kepentingan bangsa dan kaum melebihi Islam), kapitalisma (pemilikan harta secara tunggal), sosialisma (kebendaan melebihi segalanya), hidonisma (hiburan yang melampau), Liberalisma(kebebasan tanpa sempadan) dan lain-lain lagi.

Percambahan pemikiran sebeginilah yang menyebabkan kini kita lihat walaupun di kalangan Islam sendiri ada yang tidak bersefahaman dan menyebabkan perpecahan. Berbalik kepada contoh pasukan bola sepak tadi, jika ada seorang daripada pemain pasukan tersebut berpendapat bahawa mereka hanya perlu memasukkan bola ke gawang gol sendiri sahaja untuk memenangi perlawanan tersebut, bukankah pemahaman tersebut akan membantutkan kemenangan itu? Itu baru seorang, bagaimana pula jika ada dua ataupun tiga orang yang berfikiran sedemikian? Lagi susah untuk pasukan tersebut mendapat kemenangan bukan? Bagai duri dalam daging.

 

Setelah kita kenal pasti apakah penyakit itu, sudah pasti langkah seterusnya adalah merawat bukan? Jadi bagaimana rawatan ini sebenarnya?

 

Ia tidak lain dan tidak bukan berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 138 iaitu,

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

 

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

 

Islam hadir membawakan solusi kepada kita dalam segenap perkara. Perkara tersebut kadang tidak kena dengan nafsu kita kerana nafsu ini memang diciptakan tertarik kepada keseronokan sahaja, maka hadirlah satu perkara yang disebut sebagai tarbiah iaitu pendidikan. Pendidikan yang bagaimana pula? Pendidikan yang mendidik nafsu kita agar mampu menundukkan nafsu tersebut. “Alah, susahlah. Dah la tidak seronok.” pasti akan ada yang menyatakan perkara tersebut. Seronok itu mungkin adalah perkara yang sementara sahaja kesannya mana mungkin nak dibandingkan dengan kesan kita melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini. Yakinkah kalian yang melaksanakan suruhan Allah adalah perkara yang langsung tidak menyeronokkan? Siapakah yang boleh memberikan jaminan tersebut?

 

Sebagaimana pepatah melayu ada menyebutkan alah bisa, tegal biasa. Kita juga sebegitu semasa kecil nak disuapkan sayur memang akan menolak sama ada dimuntahkan kembali ataupun merajuk untuk tidak makan langsung tetapi mengapa apabila kita meningkat dewasa kita makin boleh menerima kewujudan sayur tersebut di dalam makanan kita. Dimanakah perbezaannya? Perbezaannya adalah kerana kita dididik untuk memastikan ada sayur itu dalam pemakanan kita dan kita diajar bahawa sayur itu mempunyai khasiatnya kepada tubuh kita dan ini juga sebenarnya adalah satu bentuk pendidikan.

 

Perpaduan ini penting untuk kita fokuskan bagi menjamin tercapainya matlamat kita sebagai umat Islam iaitu mengejar reda Allah S.W.T dalam apa sahaja pekerjaan kita. Sanggupkah kita melihat lebih banyak perpecahan dikalangan umat Islam? Bagaimana pula generasi yang akan datang? Apa yang akan berlaku kepada mereka sekiranya generasi sekarang kurang didikan agamanya? Maka makin ramai masyarakat yang akan rosak akhlak, pemikiran dan sahsiahnya.

 

Adakah kita yang akan membaikpulih ia semula? Ataupun kita yang akan turut sama menyumbang kepada pepecahan tersebut? Sama-sama kita renungkan.

Muhammad Qaiyim bin Muhamad Fahmi

Naib Pengerusi I merangkap Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar PCM 19/20.

Tahun 6 Perubatan Universiti Mansurah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *