Kata Imam Hasan al-Basri: Tiada satu haripun bila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu: “Wahai anak Adam! Aku masa yang baru. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi, aku tidak akan kembali lagi hinggalah sampai ke hari kiamat nanti.”

 

Jika dihayati dengan teliti, bait kata di atas merupakan suatu nasihat yang menyeru kita untuk memanfaatkan masa sebaiknya. Bukan itu sahaja, kita juga boleh melihat rata-rata pepatah Melayu, Arab mahupun Cina, masing-masing ada menyebutkan tentang kepentingan penggunaan masa untuk dipraktikan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

 

Masa merupakan satu-satunya modal yang tiada pulangan semula kerana itulah masa menjadi harga termahal di dunia ini. Tiada seorang pun manusia yang mampu membeli masa lampau apatah lagi masa hadapan. Lantas, menjadi suatu kepuasan bagi seseorang apabila dia mampu melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat. Ini menunjukkan kebolehan individu tersebut untuk memaksimumkan penggunaan modal masa yang sebenarnya bukan dalam kawalan dirinya.

 

Tidak dapat tidak, apabila berbicara soal masa, fikah keutamaan akan diketengahkan dalam menjadi timbangan antara prioriti mahupun kehendak diri. Dalam urusan prioriti pula, akan dibahagikan lagi kepada beberapa klasifikasi agar tidak tersilap percaturan bagi setiap prioriti yang telah disusun rapi.

 

Sebagai seorang manusia yang bergelar muslim, kita dilahirkan dengan banyaknya amanah yang sememangnya terpundak ke atas diri seperti belajar, berdakwah, bermasyarakat, berkebajikan dan sebagainya. Maka, sejajar dengan itu, lahirlah ‘muwasafat tarbiyah’ atau dalam erti kata yang lain, sifat-sifat yang perlu dididik dalam diri setiap muslim. Salah satu sifat tersebut ialah tersusun urusannya. Latih dan bentuklah diri kita menjadi seorang yang mampu menyusun dan mengatur segala urusan dengan rapi dan elok, agar setiap detik masa yang berjalan itu dipenuhi dengan manfaat kebaikan, sehingga mana kita dapat menuai hasilnya di hari akhirat sana iaitu ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

 

Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Asr yang bermaksud:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah al-Asr 103: 1-3]

 

Sedar atau tidak, mana mungkin Allah yang sifatnya Maha Bijaksana akan menciptakan sesuatu perkara itu dengan sia-sia tanpa ada hikmah di sebaliknya. Lihatlah kepada setiap penciptaan yang berlaku secara berperingkat. Ini jelas membuktikan bahawa setiap sesuatu urusan mahupun perkara perlu ada perancangan yang kemas dan teliti agar natijah yang terhasil itu lengkap dan sempurna, serta mampu memberikan impak yang terbaik. Begitu juga dengan kita hari ini, lazimi diri untuk menyusun jadual dan perancangan pada keesokan harinya agar masa kita tidak terbazir dek hanya memikirkan tugasan-tugasan yang bertimbun kerana pembahagian masa yang masih lompong sana sini.

 

Dalam surah al-Hasyr ayat ke-18 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap insan memperhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”.

 

Jelas sekali ayat ini menceritakan bahawa Allah itu sangat teliti, maka kita sebagai ciptaan-Nya juga perlu melatih diri agar menjadi seorang yang teliti terutamanya dalam perkara-perkara melibatkan masa dan pengurusan diri kerana hakikatnya, setiap apa yang kita lakukan, perkatakan, mahupun sekecil-kecil lintasan hati, semuanya akan menjadi catatan malaikat kanan dan kiri sebagai bekalan pada hari perhitungan di akhirat kelak.

 

Kita diberi kehidupan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan asasi diri tetapi yang lebih utama adalah untuk memenuhi tuntutan Ilahi. Atas sebab tuntutan yang terlalu banyak itulah, pentingnya sebagai seorang individu muslim itu menyusun, mengatur dan meneliti setiap rutin, perancangan dan urusan yang akan dilakukan  pada setiap detik masa dan hari yang ada dengan sangat baik dan semampu mungkin. Waktu itu ibarat pedang, jikalau kita tidak memotongnya, dia akan memotong kita!

 

Akhir kata, saya akhiri kalam ini dengan sebuah hadis daripada Muaz Bin Jabal yang bermaksud : “Setiap hamba di hari kiamat tidak dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal siasat tentang empat  perkara :

1) Tentang umur, di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu.

2) Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu.

3) Tentang harta, daripada mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya.

4) Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya.”

 

Wallahua’alam.

Diyana Fatin ‘Izzati binti Kamarulzaman.

Timbalan Jabatan Setiausaha PCM 19/20.

Tahun 4 Perubatan, Universiti Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *