Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurniaNya, kita berpeluang merasai nikmat yang paling berharga iaitu nikmat Iman dan Islam. Marilah kita turut bersama-sama mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah Taala:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَه
وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya)!
(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan ‘Tempah Di Sini’ (TDS) merupakan salah satu perkhidmatan yang ada di bawah PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) dalam menjadi wakil kepada ahli untuk membuat tempahan kenderaan dengan Ammu Toha khususnya.

Namun pada sesi kali ini, PERUBATAN Cawangan Mansurah telah mengambil langkah untuk menghazafkan perkhidmatan ini berikutan kemampuan ahli yang mampu untuk berhubung terus dengan Ammu Toha atau mana-mana perkhidmatan ammu lain yang ada di Mansurah tanpa melalui TDS. Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang drastik kerana sebelum ini, Unit TDS telah membuat beberapa langkah pra-hazaf secara berfasa seperti mengehadkan serta menutup tempahan pada beberapa fasa pada musim peperiksaan.

Berikutan dengan penutupan perkhidmatan TDS, PCM akan mengeluarkan beberapa hebahan berkaitan penerangan dan pencerahan susulan tentang teknikal-teknikal yang diperlukan oleh ahli sebagai garis panduan dalam membuat tempahan kepada ammu Toha mahupun perkhidmatan selain daripada ammu Toha.

Antara penerangan dan garis panduan yang bakal dikeluarkan adalah:

1-Panduan ayat bahasa Arab yang boleh digunakan untuk menempah pengangkutan.
2-Senarai pilihan perkhidmatan pengangkutan yang ada di Mansurah.
3-‘Frequently Asked Questions (FAQ)’ berkaitan masalah tempahan pengangkutan.

Kesemua penerangan dan garis panduan ini akan dikeluarkan mengikut garis masa yang telah dirancang oleh Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL) dalam tempoh yang terdekat. Sehubungan dengan itu, BSAL sangat mengharapkan agar ahli cakna akan perkara ini dan sentiasa mengikuti hebahan-hebahan yang bakal dilakukan oleh pimpinan dari semasa ke semasa. Sebarang persoalan boleh disalurkan kepada pimpinan AJKT semasa.

PCM sentiasa berusaha memastikan kebajikan ahli Mansurah terus terjaga dan diharapkan semua ahli sentiasa berada dalam jagaan Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

#HidupkuIlmu
#PCMOneBigFamily

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“Bersama Menjaga Kebajikan, Bersatu Membina Insan”
Disediakan oleh,

 

 

 

 

 

 

Muhammad Fathi Yaqin bin Che Lokman,
Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar,
PERUBATAN Cawangan Mansurah 2020/2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *